Tuesday, January 22, 2013

Maksiat batin 5


Bakhil dan kasihkan harta

Adapun bakhil dan kasihkan harta itu sifat yang dicela oleh syarak iaitu sebesar-besar perkara yang membawa kebinasaan di dalam negeri akhirat kerana:

1. Firman Allah Taala: Dan jangan kamu menyangka orang yang kikir dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Taala daripada anugerahNya adalah lebih baik bagi mereka, bahkan ia kejahatan bagi mereka, lagi akan dikalungkan ke leher mereka pada hari kiamat apa yang mereka kikirkan.( Al-I’imraan: 180 )

2. Sabda nabi saw : Takutlah pada kikir, kerana sesungguhnya ia membinasakan orang-orang dahulu sebelum kamu.

Dan lawan kikir itu ialah murah hati iaitu sifat kepujian yang dipuji oleh syarak . Seperti firman Allah Taala : Sesiapa yang dipeliharakan dirinya daripada kikir, maka merekalah yang mendapat kemenangan di akhirat.( Al-Hasyr: 9)

Sabda nabi saw :  Murah hati adalah sejenis pohon kayu yang tumbuh di dalam syurga, maka tiada orang yang masuk ke syurga itu melainkan orang yang murah hati. Dan kikir itu adalah sejenis pohon kayu yang tumbuh di dalam api neraka, maka tiada orang yang masuk ke neraka itu melainkan orang yang kikir.

Sabda nabi saw : Orang yang murah hati yang jahil adalah terlebih kasih kepada Allah Taala daripada seorang ahli ibadat yang kikir.

Orang jahil yang murah hati adalah terlebih baik daripada orang yang banyak berbuat ibadat tetapi kikir sekalipun ia alim.

Dan sabda nabi saw : Allah tiada menjadikan auliaNya melainkan berdasarkan baik hati dan elok perangai.

3. Dan sabda nabi saw : Tiada masuk syurga orang yang kikir, orang yang memperdayakan orang, orang yang khianat dan orang yang jahat perangai di dalam hatinya.

4. Imam al-Ghazali juga berkata : Ketahuilah bahawa asal kikir itu ialah kasihkan harta dan ia dicela oleh syarak kerana orang yang tiada memiliki harta tiada nyata kikirnya , tetapi bila ia kasihkan pada harta kikirnya nyata, dan yang demikian itu dicela oleh syarak. Terkadang ada orang pemurah tetapi ia sayangkan harta, ia bermurah hati dengannya agar dikata orang kemurahannya lalu dipujinya, maka yang demikian dicela pula oleh syarak kerana sayangkan harta itu melalaikan daripada berzikir kepada Allah dan memalingkan muka hatinya kepada dunia, yang demikian ditegah oleh syarak.

5. Firman Allah Taala : Janganlah harta benda dan anak-anak kamu itu, melupakan kamu daripada berzikir kepada Allah. (Al-Munaafiquun : 9)

6. Dan sabda nabi saw : Kasih kepada harta dan kemuliaan itu menumbuhkan sifat munafik di dalam hati seperti air menumbuhkan sayur-sayuran.

Imam al-Ghazali juga berkata : Harta itu adakalanya dipuji oleh syarak dan adakalanya dicela oleh syarak. Dan yang dipuji oleh syarak itu ialah harta yang dibuat sedekah, harta yang dibuat bekalan ibadat haji dan sekalian yang dibelanjakan pada jalan akhirat. Dan harta yang dicela oleh syarak ialah harta yang dibelanjakan kepada berbuat maksiat dan yang dibelanjakan untuk kesukaan nafsunya yang tiada membawa faedah akhirat.

Wallaahu a’lam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani.

No comments:

Post a Comment