Tuesday, January 7, 2014

Ini cukup untukmu

Seorang doktor hati bernama Syaqiq al-Balkhi pernah bertanya kepada muridnya, Hatim al-Asham: Apa yang kamu perolehi dariku sejak berguru kepadaku selama 30 tahun? Hatim al-Asham menjawab: Ada enam perkara yang aku pelajari :

1.  Aku melihat ramai manusia berada dalam keraguan berkenaan urusan rezeki. Mereka begitu kedekut terhadap harta yang dimiliki dan rakus terhadap harta orang lain. Maka aku bertawakkal kepada Allah, kerana Dia berfirman: Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allahlah yang memberi rezekinya….(Surah Hud:6)

Kerana aku termasuk haiwan melata, maka aku tidak menyibukkan hatiku dengan apa yang telah dijamin oleh Tuhan Yang Maha Kuat dan Maha Kukuh.

2. Aku melihat ramai manusia mempunyai  teman sebagai tempat mengutarakan rahsia dan mengeluhkan urusan mereka. Tetapi, teman tersebut ternyata tidak dapat menjaga rahsia dan tidak dapat melawan had takdir. Maka, aku mengangkat amal solehku sebagai teman, agar ia menjadi penolongku pada Hari Hisab, dan menguatkanku di hadapan Allah SWT, serta menemaniku ketika aku melewati sirat.

3. Aku melihat setiap manusia memiliki musuh. Ternyata orang yang mencaciku bukanlah musuhku, bukan pula orang yang zalim, ataupun orang, yang berbuat buruk kepadaku. Sebab, kadang-kadang dia dapat memberikan petunjuk dengan kebaikan-kebaikannya, sementara keburukanku telah memberatkan diriku. Sesungguhnya, musuhku ialah ketika aku menjalankan ketaatan kepada Allah, dia mengajakku untuk berbuat maksiat. Aku sedar ternyata dia adalah iblis dunia dan hawa nafsu, maka aku menjadikan mereka sebagai musuh. Aku membentengi diri daripada mereka. Aku membuat persiapan untuk melawan mereka dan aku tidak akan membiarkan satu pun dari mereka mendekat kepadaku.

4. Aku melihat bahawa setiap makhluk hidup pasti dicari oleh Malaikat Maut. Maka, aku melapangkan diriku untuk bertemu dengannya. Sehingga, ketika dia datang, aku dapat pergi bersamanya tanpa ada rintangan.

5. Aku melihat manusia saling membenci dan mencinta, dan melihat orang yang mencintai tidak memperolehi apa pun daripada kekasihnya. Maka, aku merenungkan penyebab cinta dan benci. Lalu aku tahu bahawa sebabnya ialah syahwat. Maka, aku pun membersihkannya dari diriku.

6. Aku melihat setiap orang yang memiliki tempat tinggal akan meninggalkan tempat tinggalnya. Dan tempat kembali setiap orang yang memiliki tempat tinggal ialah kubur. Maka, aku pun menyiapkan diriku dengan melakukan amal kebaikan semampuku yang nantinya akan membahagiakanku di tempat baruku yang di belakangnya ada surga dan neraka.

Syaqiq al-Balkhi kemudiannya berkata: Cukup bagimu pelajaran itu dan amalkan sampai kamu mati.

Wallahu alam.

Syeikh Mahmud Al-Misri
The Power of Smile

No comments:

Post a Comment