Petikan ucapan perasmian
….sejarah telah menyaksikan
kejayaan nabi Muhammad saw mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar serta
keunikan strategi mengintergrasikan pelbagai kaum termasuk suku-suku Yahudi dan
Nashrani telah berjaya membentuk dan membawa Madinah menjadi sebagai sebuah
negara yang membawa imej kecemerlangan Islam. Demikian jua hal, beta melihat
kejayaan ini turut berkait rapat dengan nilai kepimpinan baginda dalam mengurus
masyarakat majmuk berlainan latar belakang dan puak. Sebagai pemimpin baginda
diiktiraf sebagai seorang yang bijak mentadbir, bijak mengatur strategi
membentuk kesepaduan, membina infrastruktur, mengurus, pengurus
yang teliti dan penuh diplomasi serta pakar dalam kemanusiaan dan ilmu
pengetahuan.
Tepatlah seperti kata para
sejarahwan bahawa kemunculan umat Islam ibarat bintang yang dalam sinarnya
terkandung khazanah peradaban ilmu pengetahuan, nilai jati diri, kebijaksanaan
dan kefahaman yang menyumbang secara tekal kepada kelangsungan tamadun ummah
yang dirasai sehingga ke hari ini.

Dengan budaya sederhana dan
berimbang ini baginda berjaya membentuk perpaduan dan kekuatan di kalangan umat
Islam dan mengukuhkan perhubungan dengan bukan Islam di sebalik perbezaan yang
wujud. Beta yakin sekiranya kita dapat menghayati pendekatan wasatiyyah maka
perpaduan akan dapat dicapai dan kecemerlangan akan menjadi kenyataan. Ingatlah
kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan banyak
menyumbang ke arah memajukan lagi sosiol ekonomi negara kita yang tercinta.
Para hadirin sekalian,
akhir-akhir ini beta melihat terdapat segelintir penganut Islam mudah
terpengaruh dengan fahaman luar dan asing, yang dibawa masuk ke dalam
masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan
Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini. Di satu sudut
perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu
yang remeh dan kecil kerana hanya melibatkan isu cabang dan ranting. Namun
ingatlah, cara ianya dibahas, dipertikai, dibincangkan secara sinis dan melulu
boleh mengundang perbalahan, mencetuskan polemik dan boleh mengakibatkan perpecahan serta
kegelisahan awam.

Hadirin sekalian, bersempena
dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, beta menyeru sekalian rakyat
agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan dan membina kekuatan
ummah bagi memajukan agama, bangsa dan negara. Marilah kita sama-sama
menjayakan setiap usaha memperkukuh persaudaraan, pembaharuan dan perubahan
dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar oleh nabi Muhammad saw……
Wassalam
Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
Masjid Putra, Putrajaya
14 Jan 2014.
No comments:
Post a Comment