Friday, January 24, 2014

Khutbah Nikah

Segala puji hanya bagi Allah, kami memujiNya, memohon pertolongan dan ampunan kepadaNya. Kami berlindung kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Sesiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Sesiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawa tidak ada yang lain berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Tidak ada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad saw ialah rasulNya. Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.

Sebentar lagi anakanda berdua akan menempuh akad nikah, perjanjian yang membawa status baru, iaitu sebagai pasangan suami isteri secara sah menurut ketentuan agama. Ada beberapa hal yang perlu selalu ingat mengenai status baru ini.

Pertama, pernikahan ialah ibadah. Pernikahan tidak sekadar sebuah upacara untuk mengumumkan kepada orang ramai tentang baru ini. Oleh itu, menjadi sangat penting bahawa sejak dari niatnya anakanda berdua harus selalu meletakkan peristiwa ini sebagai wujud pelaksanaan ketaatan andanda berdua kepada Allah SWT dan rasulNya. Jadi dalam pernikahan ini, ada sebuah amanah daripada Allah dan rasulNya. Tekadkanlah dalam hati anakanda berdua, sejak dari awalnya untuk menjaga amanah ini hingga ajal tiba.

Kedua, al-Quran mengajar kita semua bahawa melalui pernikahan, seharusnya wujud rasa dan suasana kasih sayang, sebuah kebahagian, sebuah surgawi di dunia. Keluarga ialah sebuah komitmen, sebuah wahana untuk mewujudkan kebahagiaan bukan kekecewaan, kesedihan, kegelisahan, kelesuan dan seumpamanya.

Ada tiga indikator dalam konteks waktu tentang hadirnya kebahagiaan dalam hidup seseorang. Pertama, terhadap masa lalunya. Dia tidak pernah menyesali atau kecewa berpanjangan. Masa lalu diterima dengan istighfar dan rasa syukur. Permohonan ampun didasari kelemahan manusiawi, diiring dengan keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang. Rasa syukur yang dilandasi kesederhanaan bahawa sekalipun berat cubaan dan kesulitan, nikmat Allah selalu lebih banyak dibanding semua itu.

Kedua, selalu bersikap tabah dan jangan mudah menyerah kalah. Selalu yakin bahawa setiap satu kesulitan selalu tersedia sekurang-kurangnya dua buah kebaikan. Tingkatkan kesabaran dan ketekunan dalam usaha yang disertai dengan doa daripada kerendahan hati seseorang hamba sebagai bekal. Jadikan sabar dan solat sebagai pembantumu.

Ketiga, kita tidak tahu takdir yang disurati Allah untuk kita. Namun anakanda haruslah bersikap optimis. Jadikanlah kebahagiaan sebagai visi abadi anakanda berdua dalam membangun kehidupan berkeluarga.

Ingatlah bahawa Iblis tidak suka manusia hidup bahagia. Sebagai musuh abadi manusia, iblis sang pewaris neraka akan terus merosakkan kebahagiaan yang menjadi milik manusia, anak keturunan Adam, para calon pewaris syurga. Dalam hal kehidupan berkeluarga, salah satu benteng terkuat untuk menjaga kebahagiaan ialah kemaafan. Kemaafan ialah salah satu senjata ampuh dalam membangun rumah tangga bahagia dan benteng untuk menyekat usaha iblis untuk menghancurkan kebahagiaan anak-anak Adam. Teratas daripada itu, kemaafan ialah jalan menuju taqwa.

Berdasarkan fitrah manusia, agama mengatur tanggungjawab, peranan dan fungsi anakanda berdua dalam kehidupan berkeluarga. Menurut ketentuan agama, suami memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Jadi tanggungjawab terbesar dan terberat adalah menjaga agar bahtera keluarga selalu berjalan menuju visi abadi iaitu kebahagiaan dunia akhirat dan terhindar daripada seksa api neraka. Sempurnakanlah dan tunaikanlah hal tersebut dalam perjalanan anakanda berdua membangun rumah tangga. Semoga terus dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Fungsi pakaian selain untuk keindahan adalah juga untuk menutupi aurat. Maka suami isteri harus saling menutupi kelemahan pasangannya. Seandainya anakanda melihat kelemahan pada pasangan anakanda, maka berdoalah agar di sebalik kelemahan itu, terdapat kebaikan yang tidak terduga.

Tingkatkanlah bakti anakanda berdua kepada ayah dan ibu yang telah dengan penuh kasih sayang dan kesabaran menghantar anakanda berdua hingga ke jenjang untuk memulai hidup baru. Anakanda perlu ingat bahawa cinta dan kasih sayang mereka tidak akan pernah pudar, walaupun anakanda berdua kini telah mendirikan rumah tangga sendiri.

Wallahu alam.

Anis Ayuni
Cinta yang kurasa

No comments:

Post a Comment