Perkataan Asma’ul-Husna yang
digunakan bagi menggambarkan semua nama-nama Allah yang Maha Indah lagi Maha
Mulia menunjukkan bahawa semua nama-nama tersebut adalah indah kesemuanya.
Kehidupan adalah cermin ketuhanan yang paling indah dan paling halus. Cermin
kepada sesuatu yang indah adalah indah juga. Cermin yang memancarkan keindahan
sesuatu yang indah akan juga menjadi indah. Segala sesuatu yang indah yang
mengenai cermin tersebut, akan menjadi indah juga.
Oleh itu, dari sudut hakikat,
segala yang menimpa kehidupan ini adalah juga indah kerana ia sebenarnya
menampil dan memperlihatkan buatan ukiran yang indah bagi nama-nama Allah yang
indah itu.
Jika kehidupan terus menerus
berada dalam keadaan sihat alafiat, nescaya ia akan menjadi sesuatu yang
mempunyai kekurangan dan tidak sempurna. Bahkan sedikit sebanyak kehidupan akan
merasa ketiadaan dan sia-sia. Oleh itu, ia akan mengalami keazaban dan kesempitan.
Nilai kehidupan akan merudum. Kelazatan dan kesenangan umur akan bertukar
menjadi kesakitan dan penuh dukacita.
Oleh itu, manusia akan terperosok
ke dalam lumpur kebodohan atau sarang permainan dan porak peranda yang akan
merampas segala kelazatan hidup meskipun sebelum umurnya berakhir. Ia adalah
umpama seorang banduan yang memusuhi umurnya sendiri yang berharga itu lalu
membunuh dirinya dengan segera kerana mahu menamatkan tempoh tahanannya.
Tetapi kehidupan yang berlangsung
dalam keadaan dipenuhi dengan pelbagai pertukaran dan perubahan serta mengalami
keadaan dalam berbagai-bagai bentuk dan peringkat, maka kehidupan itu akan
merasa bahawa ia mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi. Kehidupan seumpama
ini akan menatijahkan bahawa umurnya adalah penting dan memberikannya kelazatan
yang menakjubkan. Hinggakan kamu akan dapati seseorang itu tidak mahu umurnya
berlalu meskipun dia mengalami pelbagai jenis kesulitan dan musibah. Dia
sedikit pun tidak mengeluh dan menyesalnya. Dia berkata: Harap-harap, janganlah
matahari tenggelam dan janganlah malam berlalu.
Sebaliknya, kamu boleh bertanya
kepada seorang kaya yang tidak berbuat apa-apa. Segala yang diingini
diperolehinya dengan mudah. Tanyalah kepadanya: Bagaimana keadaanmu? Kamu pasti
akan mendengar dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang menggambarkan
kesakitan dan penyesalan. Seperti : Aah…..kenapa
lambat benar masa ini berlalu? Mahukah kamu datang kepada saya dan kita mencari
suatu permainan yang boleh mengisi masa kita ini? Marilah kita bermain terup
sekejap! Atau kamu mungkin akan mendengar berbagai-bagai pengaduan yang
nenunjukkan dia adalah seorang yang mempunyai angan-angan yang panjang.
Seperti: Perkerjaanku ada kekurangan. Alangkah baiknya jika aku berbuat begini
atau begini……..
Tetapi jika kamu bertanya kepada
seorang fakir yang tenggelam di dalam musibah atau seorang fakir yang giat
berkerja: Bagaimana keadaanmu? Maka jika dia seorang yang mendapat petunjuk,
dia akan berkata: Aku berada dalam keadaan baik. Alhamdulillah! Segala pujian bagi
Allah. Ribuan kesyukuran buat Tuhanku. Aku sentiasa berusaha. Alangkah baiknya
jika matahari tidak tenggelam dengan cepat agar aku dapat menghabiskan kerjaku.
Waktu amat cepat berlalu. Umur juga berlalu tanpa henti. Meskipun sebenarnya
aku berada dalam keadaan kesusahan dan kesulitan, tetapi ia tetap akan berakhir
juga. Semua perkara berada di atas landasan yang sama.
Dengan perkataan sedemikian,
lelaki fakir ini sebenarnya menggambarkan tentang nilai dan kepentingan umur di
samping rasa dukacitanya terhadap umur yang melarikan diri daripadanya. Oleh
itu, dia mengetahui bahawa kelazatan umur dan nilai kehidupan hanya diperolehi
dengan kesukaran dan kesulitan. Manakala kerehatan, kemewahan dan kesihatan
hanya menjadikan kehidupan ini pahit dan membebankan kerana ia akan menyebabkan
seseorang itu bercita-cita agar dapat menyelamatkan diri daripadanya dengan
segera.
Wahai saudaraku yang sakit!
Ketahuilah bahawa punca segala musibah dan kejahatan bahkan punca segala dosa
ialah ketiadaan sebagaimana yang telah
dibuktikan dengan bukti yang kukuh dan terperinci. Ketiadaan adalah keburukan dan kegelapan sepenuhnya.
Maka keadaan-keadaan berhenti yang merupakan kerehatan dan
ketenangan dalam bentuk yang sama selama-lamanya adalah amat menyerupai dengan ketiadaan dan kesia-siaan. Kehampaan dan kerupaan ini menjadikan kehidupan ini
diselaputi dengan kegelapan yang wujud pada ketiadaan dan menjadikannya berada
dalam keadaan keluh kesah dan kesempitan. Manakala keadaan, pergerakan dan
perubahan pula, maka ia adalah kewujudan dan menjadikan kehidupan itu dirasai
kewujudannya. Kewujudan adalah
keadaan kebaikan dan cahaya yang sejati.
Oleh kerana inilah hakikatnya,
maka penyakit yang berada pada diri kamu sebenarnya adalah tetamu yang
diutuskan kepadamu untuk melaksanakan tugasnya yang banyak. Dia bertugas
membersihkan, menguatkan dan mempertingkatkan kehidupanmu serta mengarahkan
seluruh jentera lain yang berada pada dirimu agar membantu anggota badan yang
sakit. Dia juga menampilkan ukiran segala nama-nama Allah Yang Maha Pembuat
lagi Maha Bijaksana. Tugasnya akan berakhir tidak lama lagi, insya-Allah. Ia
akan pergi melaksanakan tugasnya yang lain pula. Ia akan berkata kepada keadaan
sihat : Marilah ke sini sekarang untuk
menggantikan tempat aku selamanya. Mulakan semula tugas kamu. Inilah tempat
kamu. Terimalah dan tinggallah di sini dalam keadaan baik.
Wallahu a’lam.
Badiuzzaman Said Nursi
Tips cemerlang untuk pesakit, 2009