Saturday, May 5, 2012

Pemergian



Sayyid Qutb sebelum digantung kerana perjuangannya, menulis surat kepada adiknya Aminah Qutb. Beliau antaranya menyebut: “Matahari terbit, matahari juga tenggelam. Bumi pula beredar mengelilinginya. Kehidupan itu bercambah di sana dan sini. Setiap sesuatu itu terus bertambah. Ini bertambah pada bilangan dan jenis. Ia bertambah dari segi jumlah dan cara.

Jika kematian itu dapat berbuat sesuatu, sudah pasti kehidupan (alam) ini terhenti. Namun kematian hanya kekuatan yang kerdil dan halus dibandingkan kehidupan yang besar, merata dan mendasar.

Dari kekuatan Allah Yang Maha Hidup, kehidupan itu bercambah dan berkembang. Apabila kita hidup untuk diri kita semata, maka kelihatan kehidupan ini singkat dan kerdil. Ia bermula sejak kita sedar dan berakhir bersama umur kita yang terhad. Adapun, jika kita hidup untuk orang lain iaitu hidup untuk sesuatu idea maka sesungguhnya kehidupan itu panjang lagi  dalam. Ia bermula dari mana bermulanya keinsanan. Ia terus melebar selepas kita meninggalkan muka bumi ini..”

……………“Tiada seorang yang melintasi kubur saudaranya yang mukmin yang dia kenalinya dahulu di dunia, lalu memberi salam, melainkan dia (si mati) mengenalinya dan menjawab salamnya” (riwayat Ibn ‘Asakir dll, dinilai sahih oleh Ibn al-Mubarak, ‘Abd al-Barr, ‘Abdal-Haq al-Ashbili, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan lain-lain).
Semua kita akan melalui perkara yang sama. Kematian. Amalan kita akan dibawa dan ditimbang. Sesiapa yang kebaikannya mengatasi keburukannya dia berjaya.

Firman Allah: (maksudnya) “Sesiapa yang berat timbangan kebaikannya, maka dia dalam kehidupan yang senang lenang” (al-Qari’ah: 6-7). Demikian kita harapkan diri kita dan diri sahabah-sahabah kita yang pergi terlebih dahulu. Kita telah bersahabat di dunia ini. Semoga ALLAH mengekalkan persahabatan ini di kehidupan yang akan datang. Kita tidak berjumpa dengan sahabah-sahabah di dataran maksiat ataupun kejahatan.

Kita mengenali mereka kerana perjuangan dan Islam. Kita harap dan berdoa agar ada habuan kita seperti hadis Nabi s.a.w: "Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba ALLAH adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada Hari Kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi ALLAH". Para sahabat bertanya:

"Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?". Jawab Nabi: "Mereka itu golongan yang cinta mencintai dengan roh ALLAH, tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi ALLAH, sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita". Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) "Ketahuilah sesungguhnya wali-wali ALLAH tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita" (Hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Wallahu’alam.

( Dr. Maza; Sinar Harian Mei 2012 )

No comments:

Post a Comment