Saturday, February 21, 2015

Penyampai radio

Tugasan di taman syurga; bertanggungjawab kendali program ilmu agama daripada ulama terkenal dunia

Peluang bertemu ulama, pendakwah serta mendengar majlis ilmu setiap hari disebabkan kerjaya sebagai penyampai Radio IKIMfm, menyebabkan Norhayati Paradi,33 menolak tawaran kerja dengan pendapatan lebih lumayan kerana cintakan bidang itu.

Bagi Penerbit Kanan Rancangan dan Penyampai Radio IKIMfm itu, sejak memulakan kerjaya dalam bidang itu di satu-satunya stesen radio Islam negara ini pada tahun 2009, beliau berpeluang bertemu ulama dan setiap hari dalam kehidupannya dipenuhi dengan pengisian ilmu.

Tiada yang lebih membahagiakan daripada bekerja dalam suasana penuh pengisian agama. Jika saya berkerja di tempat lain, belum tentu dapat berjumpa ulama dan tokoh agama hebat yang tidak semua orang berpeluang bertemu mereka, katanya yang pernah mengendalikan program bersama ulama Amerika Syarikat dan Australia, Sheikh Muhammad Yahya alNinowy dan Imam Afroz Ali.

Bercerita pengalamannya menceburi kerjaya penyampai radio, anak jati Johor ini berkata, ketika itu beliau bekerja sebagai Penolong Eksekutif Grafik di stesen radio sama.

Tak sangka diterima
Ketika itu, beliau berkata, tawaran sebagai Penerbit Radio dibuka dan saya memohon. Tidak sangka diterima kerana semua calon perlu menjalani uji bakat. Katanya, dia sebenarnya seorang yang pemalu. Ketika di sekolah sering mengelat jika disuruh membuat sebarang persembahan di hadapan khalayak.

Malam sebelum uji bakat, saya tidak boleh tidur kerana terlalu gementar. Alhamdulillah, rezeki saya dan terpilih sebagai penyampai. Saya masih ingat antara slot pertama adalah membaca berita. Banyak kesilapan dilakukan. Saya menggelabah kerana bukan saja perlu membaca berita tetapi terpaksa mengendalikan butang mixer di hadapan, selain memantau monitor. Memang kelam kabut.

Memanglah sebelum ke udara saya berkali-kali membuat latihan tetapi apabila butang on dihidupkan, semuanya hilang dan menggigil dibuatnya. Itulah antara pengalaman manis paling berharga tidak dapat saya lupakan, katanya.

Di Radio IKIMfm, Norhayati berkata, tugas penerbit dan penyampai memerlukan mereka mengendalikan program dari A hingga Z.

Banyak dipelajari
Daripada penyediaan hinggalah selesai dan pada masa sama memikul tanggungjawab sebagai penyampai radio, berbanding di stesen radio lain yang tugas penerbit dilakukan individu berbeza.

Banyak benda dipelajari ketika mula-mula mengendalikan program. Segala jenis peralatan perlu dimahirkan. Memang mula-mula ada juga kesilapan, tetapi Alhamdulillah masuk bulan keenam, saya dapat memahirkan diri, katanya.

Mengendalikan program Dinihari mulai jam 2 hingga 6 pagi, memberikan masa kepadanya mengasuh anak sulungnya yang ketika itu berusia lima bulan. Selesai tugas jam 6 pagi dan waktu siangnya diperuntukkan menjaga bayinya.

Saya bersyukur dengan pembahagian waktu kerja itu membolehkan saya bergilir dengan suami menjaga bayi kecil kami, kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga lapan tahun. Ketika mengendalikan program Dinihari, katanya, beliau terpaksa berinteraksi dengan pendengar dan mengisi slot itu dengan lagu yang dipilih.

Bagi mengelak menerima panggilan tidak diingini atau tidak senonoh, lazimnya topik serius dibincangkan.

Bapa menegur
Pendengar lebih berfikir jika topik lebih serius. Cuma apabila slot, Sampaikan, saya perlu meneliti ucapan pendengar mengikut kesesuaian, katanya. Suaminya, Mohd Fazil Ismail,33 serta ibu bapa, Paradi Rabu, 72 dan mak,Ngademi Ma’som,71 adalah antara pengkritik bagi setiap program kendaliannya.

Pada peringkat awal, bapa menegur kerana banyak kesilapan yang dilakukan dan sebutan tidak lancar. Kini, suami akan memberi komen atau memberikan cadangan lebih baik supaya tiada kesilapan dilakukan, katanya.

Bukan hanya menyumbang idea dan tenaga di konti, kerjayanya turut membawanya berinteraksi dengan pendengar secara berdepan jika ada program karnival yang dianjurkan Radio IKIMfm di luar.

Yang kelakarnya, orang ramai lebih mengenali nama bapa saya. Bila saya memperkenalkan diri sebagai Norhayati, orang ramai akan menyebut nama bapa saya, Paradi. Saya bangga juga kerana nama bapa dikenali kerana keunikan nama jawanya, katanya.

Kerjayanya turut membawanya ke negara luar termasuk ke Sepanyol baru-baru ini menerusi program Pengembara Muslim Cordoba.

Kembara ke Sepanyol benar-benar menginsafkan. Kita sering terlepas pandang terhadap saudara Islam yang tinggal di negara bukan Islam tidak boleh mendedahkan identiti sebagai umat Islam.Masyarakat Islam di sana, terpaksa menyembunyikan identiti sehingga terpaksa mengunakan dua nama. Nama Sepanyol dan nama Islam. Mereka tertindas dalam diam. Beruntung sungguh kita di Malaysia, katanya.

Terbit beberapa program lain
Jika tidak sibuk mengendalikan program secara langsung di konti, Norhayati turut terbabit dalam menerbitkan beberapa program termasuk Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dinamika dan Dimensi.

Lazimnya ketika mengendalikan slot Warna Pagi bermula jam 6 hingga 10 pagi, kami penyampai mengambil masa sekitar 15 minit ketika Program Tafsir al-Quran ke udara kira-kira jam 6.30 pagi untuk menunaikan solat Subuh, katanya.

Berasal dari Simpang Renggam, Johor, Norhayati mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Benut, Pontian sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi Mara (UITM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai Artis Berjadual di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Radio Televisyen Malaysia. Ketika di RTM, dia mengendalikan kajian terhadap RTM yang dan perlu keluar bertemu kumpulan fokus. Pada tahun 2007, beliau ditawarkan berkhidmat sebagai Penolong Eksekutif Grafik di Radio IKIMfm dan selepas dua tahun beliau ditawarkan ke jawatannya sekarang.

Walaupun saya bukan berlatar belakangkan bidang agama dalam pendidikan tetapi bekerja dengan satu-satu radio Islam di negara ini membolehkan saya meraih ilmu agama dan seolah-olah universiti kehidupan bagi diri ini. Saya bersyukur kerana kerjaya ini sentiasa membuka ruang untuk mendalami ilmu agama, katanya yang kini menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Komunikasi di Universiti Malaya (UM).

Wallahu a’lam.

Mona Ahmad
Selebriti Agama
Berita Harian
7 Disember 2014

No comments:

Post a Comment