Friday, September 16, 2016

Langkah akhir seorang tokoh agama

LANGKAH ulama tersohor, Datuk Dr Haron Din meninggalkan Malaysia pada minggu lalu nyata langkahnya yang terakhir di tanah air tercinta ini.Sudah tertulis, perjalanannya berakhir awal pagi Jumaat di negara Uncle Sam ketika sedang menerima rawatan bagi masalah jantung yang dihidapinya sejak sekian lama.Menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 76 tahun, Haron Din meninggalkan seorang isteri, Datin Khatijah Din dan lima orang anak.

Allahyarham lahir pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis dan merupakan anak ketiga daripada 10 orang adik-beradik manakala ibu bapanya merupakan guru al-Quran di kampung tersebut.Beliau menerima pendidikan awal dengan kedua ibu bapanya sebelum ditempatkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali, Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan Kolej al-Islamiah, Klang, Selangor.Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965) dan ditawarkan Biasiswa Persekutuan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir (1966-1968).

Setelah memperoleh Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran sebelum kembali ke Mesir untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Doktor Falsafah.Beliau pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985).

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB; Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia; Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti; Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan; Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank; Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd; Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis dan Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting.

Perjalanan politik Allahyarham bermula ketika berusia 34 tahun sekitar tahun 1974 dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (1975-1983).Beliau turut  pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan Pas Pusat; Ahli Majlis Syura Ulamak Pas; Timbalan Mursyidul Am Pas dan yang terakhir ialah sebagai Mursyidul Am Pas hingga ke akhir hayatnya.Allahyarham juga merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa') iaitu sebuah klinik rawatan Islam alternatif yang terkenal dalam kalangan umat Islam.

Darussyifa', yang ditubuhkan pada 17 April 1988 di Bangi kini memiliki lebih daripada lima cawangan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan.Pada 2010, Allahyarham dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 Selangor.Mempunyai bakat dalam bidang penulisan, Allahyarham telah menulis beberapa buku ilmiah termasuk Manusia dan Islam, Falsafah Pendidikan Islam, Obor Islam, Tasawur Islam dan Hudud dalam Perundangan Islam.

Bersedihlah dengan kematian ulama Nabi bersabda:

 
إن الله لا يَقْبِضُ العلمَ انتزاعاً ينتزعُه من العباد، ولكنْ يقبِضُ العلم بقبض العلماء، حتى إذا لم يبقَ عالماً؛ اتَّخذ الناس رؤوساًَ جُهَّالا، فسُئِلوا ؟ فأفتوا بغير العلم، فضلّوا وأضلوا.

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengangkat ilmu dgn sekaligus dari manusia. Tetapi ALLAH akan mengangkat ilmu dengan mematikan para ulama. Hingga ketika tidak ada lagi seorang berilmu (di kalangan mereka), manusia mengangkat para pemimpin yang jahil. Mereka ditanya, dan mereka pun berfatwa tanpa ilmu. Hingga akhirnya mereka sesat dan menyesatkan” (Riwayat Bukhari).

Al-Fatihah.

Raziatul Hanum A. Razak
Sinar Harian online
16 September 2016

No comments:

Post a Comment