Monday, September 5, 2016

Anas bin Malik Al-Anshori (3)

Anas bin Malik atau Unais (panggilan manjanya ketika kanak-kanak) baru berumur 10 tahun ketika beliau bertuah, mula berkhidmat dengan nabi saw. Beliau hidup bersama dan di bawah jagaan nabi sehingga baginda saw bertemu menghadap Allah Taala.

Oleh itu jangka masa beliau bersama baginda genap 10 tahun. Ketika itulah tegukan pertama hidayah yang berjaya membersihkan dirinya. Anas peka dengan hadis nabi saw dan ia memenuhi dadanya. Beliau mengetahui keadaan, kisah, rahsia dan sifat mulia baginda yang tidak diketahui oleh orang lain.

Anas bin Malik dilayan baik oleh nabi saw. Hinggakan anak pun tidak dapat merasai layanan sebegitu daripada bapanya.
Beliau dapat mengecapi kecantikan sifat mulia dan keagungan keperibadian baginda saw yang didambakan dunia.

Ayuh kita biarkan Anas menceritakan beberapa gambaran menarik tentang layanan nabi saw yang beliau rasai. Kerana beliau lebih mengetahui dan gambarannya lebih kuat.

Kata Anas bin Malik:

Rasulullah saw merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang.

Suatu hari baginda meminta saya pergi menyelesaikan satu urusan. Lalu saya pun keluar. Sedangkan ketika itu saya pergi bermain dengan rakan sebaya di pasar. Maka saya tidak pergi ke tempat yang rasulullah maksudkan. Sesampainya saya ke tempat rakan-rakan saya, saya rasa ada orang berdiri di belakang saya dan dia memegang baju saya……..Saya pun berpaling, saya lihat rasulullah tersenyum seraya bertanya: Wahai Unais, adakah kamu telah pergi ke tempat saya suruh tadi?.

Saya rasa bersalah dan saya berkata: Baiklah. Saya akan pergi sekarang juga wahai rasulullah.

Demi Allah! Saya telah berkhidmat dengan nabi saw selama 10 tahun. Tidak pernah sekali pun rasulullah saw berkata: Mengapa kamu buat begitu…jika saya melakukan sesuatu. Apabila saya tidak melakukan sesuatu, baginda juga tidak pernah berkata: Mengapa kamu tidak melakukannya……..

Wallahu ’alam

Dr.Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006 ms 3-4

No comments:

Post a Comment