Sunday, September 4, 2016

Anas bin Malik Al-Anshori (2)

Pada suatu pagi yang berembun segar dan suasana yang tenang berseri, terdengar orang berlaung: Muhammad dan sahabatnya telah hampir sampai dengan Yatsrib.

Orang ramai segera bergegas menuju jalan yang akan dilalui oleh nabi pembawa hidayat dan kebaikan……

Mereka berlumba-lumba  untuk sampai, kelompok demi kelompok. Golongan kanak-kanak turut  menyelit dan mencelah gerombolan tersebut. Jelas tampak di wajah mereka raut kegirangan yang memenuhi perasaan keanakan mereka.

Rasulullah saw dan sahabatnya Abu Bakar sampai. Unta yang dinaiki berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak.

Wanita dan anak-anak kecil yang berada di rumah, naik ke tingkat atas. Mereka tertinjau-tinjau dari jauh kearah rasulullah saw. Mereka tertanya-tanya: Yang manasatu dia….yang mana satu dia.

Itulah hari yang tidak dapat dilupakan. Hinggakan kenangan itu masih terus basah dalam ingatan Anas walaupun umurnya telah menjangkau lebih 100 tahun.

Tidak berapa lama rasulullah saw berada di Madinah, Ghumaisho’ binti Milhan, ibu Anas datang bertemu baginda. Beliau turut membawa bersama anaknya, Anas yang masih kecil tersebut. Anas berlari-lari di hadapannya. Rambutnya terjurai di dahinya.

Setibanya di hadapan nabi saw, beliau memberi salam.

Wahai rasulullah….semua lelaki dan wanita Anshor telah   memberi hadiah kepadatuan. Namun saya tiadaapa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini….Ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu…, kata ibu Anas kepada nabi saw.

Rasulullah saw amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan tersenyum manis. Bagindamengusap-usap kepala Anas. Nabi saw menyentuh anak rambut Anas dengan hujung jarinya. Lalu, baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.

Wallahu ’alam

Dr. Abdul Rahman Ra’fat al-Basha
65 Gambaran Kehidupan Sahabat
Pustaka Salam, 2006 ms 2-3

No comments:

Post a Comment