Wednesday, March 6, 2013

Puisi Permata Budi (15)


Kembalilah kepada perpaduan

Telah kita susur sungai pahit
pantai getir ruang yang pijar
kita telah berkali-kali
menepis tikaman lidah
mencabut daripada fitnah
membalut luka berdarah
kita pertahankan erti maruah.

Pisau dendam masihkah terhunus tajam
berkilau memancar di serata sudut
atau benih fitnah ditabur telah bercambah
di lubuk hati nurani bangsa
masih adakah pendekar terus dipuja
tak berupaya membuka penindasan
kerana kemenangan bukan miliknya
terpaksa menyerah kepada hukum alam.

Telah kita jahit luka demi luka
dengan benang keinsafan
luka yang merebak
terlalu sulit untuk diubati
onak duri menajamkan runcingnya
membenam lembing curiga
mengasah benih permusuhan
telah merobek warkah perpaduan.

Pisau dendam yang masih terhunus tajam
di tangannya  masih tergenggam
sanggupkah kita membiarkan permusuhan itu
tumbuh di mana-mana
yang kemudiannya merebakkan api kemelut
memusnahkan jambatan persaudaraan
dengan kata-kata tak terikat dengan etika
berlangsungnya kuasa daripada yang berkuasa.

Saudara-saudaraku
dendam bukan langkah bestari
yang mengharumkan bumi pertiwi
ladang wawasan warisan kita
dendam bukanlah impian kudus
dendam sekadar api amarah
impian rakus suara ancaman
yang menakluki jiwa kerdil
dendam adalah pisau, adalah pedang
adalah tikaman demi tikaman
yang sering tetancap
di dada bangsa sendiri.

Saudara-saudaraku
kembalilah kepada perpaduan
perpaduan yang menyuburkan persaudaraan
perpaduan yang menjernihkan segala sengketa
perpaduan yang menjalin ikatan
perpaduan yang mengukuhkan tali muslimin
padamkanlah segala sengketa
yang sekian lama meraja di hati
kerana kekuatan bangsa, keunggulan negara
bermula dari benih suci, persaudaraan murni
luhur dan abadi.

Ahmad Sarju
Jun 1993

No comments:

Post a Comment