Wednesday, July 11, 2012

Rosak tapai kerana ragi.

Tapai adalah sejenis makanan orang-orang Melayu yang biasanya dihidangkan di majlis-majlis keramaian atau kenduri kendara. Ada pelbagai jenis tapai seperti tapai ubi dan tapai beras. Antara bahan utama membuat tapai adalah ragi yang digunakan untuk memeram ubi atau beras. Sekiranya ragi tidak mengikut sukatan yang sepatutnya, maka pembuatan tapai tidak akan menjadi.

Pepatah, rosak tapai kerana ragi bermaksud pekerjaan yang dibuat sambil lewa atau tidak berhati-hati akan memberikan akibat yang buruk.

Bagi menjadikan seseorang pelajar itu cemerlang, mereka hendaklah meninggalkan perkara-perkara berikut:

  1. Malas belajar

a)      Sikap malas belajar harus dibuang jauh-jauh dalam diri seseorang pelajar
b)      Sikap cintakan ilmu menjadikan seseorang pelajar itu menjadi lebih yakin dan rajin untuk menuntut ilmu.

  1. Menonton televisyen atau bermain komputer secara berlebih-lebihan

a)      Televisyen dan komuter adalah medium yang baik untuk mendapatkan ilmu.
b)      Malangnya, banyak pelajar yang telah tersalah guna sehinggakan menghabiskan masa berjam-jam lamanya di depan televisyen dan computer
c)      Perbuatan ini akhirnya merugikan pelajar kerana mereka tidak belajar, mengantuk dan kurang rehat.

  1. Berfoya-foya dan membuang masa dengan rakan-rakan

a)      Seseorang pelajar itu harus pandai memilih rakan
b)      Rakan yang baik mendorong kita untuk melakukan perkara yang baik-baik serta mendorong kita untuk mencapai kecemerlangan.

Seseorang pelajar itu seharusnya berfikir jauh ke hadapan. Mereka jangan melakukan perkara-perkara yang mendorong diri mereka menjauhkan diri daripada menambah ilmu pengetahuan.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin memberi panduan antara adab-adab seorang penuntut ilmu iaitu hendaklah dia menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurniaan hati dan jiwa menyebabkan pelajar sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci.

Rasulullah saw juga berpesan dalam sabdanya:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, katanya: Rasulullah saw telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan  Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tiada kena mengena (tidak berfaedah) dengannya.

                                                                        (HR: al-Tarmizi )

Selain itu, seorang pelajar harus pandai memilih teman untuk dijadikan sahabat seperjuangan. Realiti segelintir anak muda pada hari ini rosak akhlaknya dan terjebak dalam pelbagai gejala sosial dan salah satu faktornya adalah pengaruh rakan sebaya. Sahabat menjadi cermin kepada diri kita. Dalam hal ini, mari kita renung katakata Saidina Ali bi abi Talib iaitu:

Jika engkau ingin mengetahui tentang seseorang, lihatlah temannya, kerana setiap orang itu akan meneladani temannya.

Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh atau bercampur aduk dengan perkara yang salah, maka juga memberi kesan kepada hasil yang akan diperoleh. Maka, seorang pelajar harus meninggalkan perbuatan dan amalan yang tidak mendatangkan manfaat serta mendatangkan kebinasaan kepada dirinya.

Kesimpulan, berhati-hatilah dengan apa yng ada di sekeliling kita kerana bimbang akan mempengaruhi dan merosakkan hati dan fikiran. Muhasabah diri setiap hari agar kita mampu menperbaiki kesilapan dan menghindarkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan diri dan masa depan kita.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment