Tuesday, July 10, 2012

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa

Tidak ada ruginya apabila kita berbuat baik dengan orang lain. Sekiranya orang  berbudi atau membuat kebaikan, tidak ada salahnya jika berbahasa yang baik pula dengannya. Kebaikan tersebut berkemungkinan dibalas dengan perkara yang lebih baik. Berkemungkinan budi bahasa yang telah ditunjukkan dibalas dengan hidangan yang enak-enak. Hidangan enak yang diberi itu dapatlah kita merasainya.

Peribahasa orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa membawa maksud sekiranya seseorang itu telah berbudi kepada kita, seharusnya kita membalas budi orang tersebut.

Seorang yang cemerlang akan membantu guru-guru dan rakan-rakan sekelas. Memadam papan putih, membantu guru-guru membawa buku-buku, menunjuk-ajar rakan-rakan sekelas antara kebaikan yang boleh diberikan.

Budi yang boleh ditunjukkan oleh seorang pelajar cemerlang adalah :

a)  Bersyukur dan berterima kasih kepada Maha Pencipta.
b) Berterima kasih kepada ibu bapa, adik beradik, guru guru dan rakan-rakan.
c)  Menunjukkan rasa terima kasih seperti akur perintah, hormat menghormati dan sebagainya.
d)  Memberikan hadiah kepada mereka yang telah membantu kita.

Sekali atau dua kali orang suka menolong kita tanpa berkira. Sekiranya kita tidak berterima kasih dengan mereka, itu sahajalah pertolongan yang bakal kita terima. Sebaliknya jika kita mengucapkan terima kasih, bermanis muka, memberi hadiah dan sebagainya atas pertolongan yang diterima, sudah pasti orang suka untuk menolong kita pada masa hadapan.Guru-guru tidak meminta sebarang balasan, namun keceriaan dan minat kita terhadap pelajaran menjadikan guru-guru bersemangat untuk menyampaikan ilmu kepada kita.

Allah SWT mengajak kita agar melakukan kebaikan kepada makhluk di bumiNya lebih-lebih lagi sesama manusia. Allah SWT berfirman :

Sesungguhnya Allah memerintahkan supaya berlaku adil dan membuat kebaikan.

                                    ( al-Nahl : 90 )

Manusia dapat hidup dengan tenang dan aman sekiranya mereka saling berbuat kebaikan di muka bumi ini. Sebagai seorang pelajar, kita perlu melakukan kebaikan terhadap orang di sekeliling sama ada ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan dan juga kepada masyarakat. Ini kerana perbuatan tersebut ialah salah satu cara untuk membalas budi mereka yang telah berbakti dan berkurban untuk kita. Sebagaimana peribahasa di atas, kita wajar membalas kebaikan yang telah diberikan oleh orang lain kepada kita.

Abdullah bin Abbas pernah meriwayatkan bahawa : Suatu ketika, Rasulullah saw masuk ke bilik air (untuk membuang hajat), maka aku menyediakan air bersih untuk beliau gunakan untuk berwuduk. Ketika selesai dari hajatnya, baginda bertanya, Siapakah yang telah meletakkan (air wuduk) ini? Kemudian baginda diberitahu bahawa akulah yang telah melakukannya. Maka baginda saw membalas kebaikanku dengan berdoa, Ya Allah, berikanlah dia (Ibnu Abbas) pemahaman dalam agama..

                                    (HR : Bukhari no. 134)

Kisah di atas menjadi dalil bahawa perlu untuk kita membalas budi dan kebaikan insan lain dengan pelbagai bentuk kebaikan walaupun dengan hanya berdoa kepadanya. Selain itu, ucapan terima kasih dan penghargaan juga merupakan antara cara untuk kita membalas budi seseorang. Rasulullah saw bersabda:

Barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah SWT.

                                    (Shahih sunan al-Tirmidzi no:1954)

Oleh itu jelas kepada kita bahawa saling berbuat kebaikan sesama manusia amat digalakkan dalam Islam. Sikap ini akan melahirkan kasih sayang dan hubungan yang erat di antara satu sama lain.

Kesimpulannya, marilah kita tanamkan sifat-sifat redha, bersyukur dan sentiasa berterima kasih kepada Allah SWT, pemberi segala nikmat dan rahmat. Tidak dilupakan juga berterima kasihlah kepada insan-insan yang hidup di sekeliling kita terutamanya ibu dan ayah, guru-guru dan rakan-rakan yang membantu kita. Sikap dan sifat yang kita pamerkan kepada mereka mencerminkan akhlak kita sebagai seorang anak yang soleh dan hamba yang taat kepada Tuhannya.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment

Post a Comment