Wednesday, July 4, 2012

Jauhari juga yang mengenal manikam

Pepatah jauhari juga yang mengenal manikam bermaksud bahawa sesuatu ilmu itu hanya diketahui oleh pakarnya.

Di dunia ini manusia belajar untuk mendapatkan ilmu. Ilmu yang diperolehi digunakan untuk pelbagai maksud. Ada sesetengah manusia itu belajar semata-mata untuk menghadapi peperiksaan. Ada juga mereka yang belajar itu sekadar memenuhi impian pihak lain seperti ibu bapa, keluarga dan sebagainya.

Banyak juga yang menuntut ilmu agar mereka menjadi mahir dalam sesuatu bidang. Banyak fakulti atau bidang ilmu di universiti. Bidang-bidang ini menjurus kepada penumpuan kepada bidang tertentu secara  spesifik. Bidang-bidang secara spesifik ini menjadikan seseorang itu pakar atau mahir di dalam bidangnya.

Sekiranya seseorang itu mahir di dalam sesuatu bidang beliau :

a)  Mampu atau boleh melaksanakan pekerjaan yang berkaitan bidang yang diceburinya atau dengan   kata lain mencapai impian atau cita-citanya.
b)   Mengelak daripada pihak lain memperdayakannya.
c)   Memanfaatkan pihak lain dengan kepakaran yang beliau miliki.

Kemahiran atau kepakaran  dalam sesuatu bidang amat penting kerana sebagai manusia, kita memerlukan antara satu sama lain. Agak mustahil bagi seseorang itu mengetahui semua perkara dalam hidupnya. Namun asalkan rajin menimba dan mencari ilmu, kita mampu lahir sebagai seorang ilmuan yang pakar dalam pelbagai bidang seperti Ibn Sina, al-Khindi, al-Khawarizmi dan lain-lain. Dengan usaha belajar dan menuntut ilmu, menjadikan kita pakar dan mahir dalam bidang yang dikhususkan. Kemahiran dan ilmu tersebut perlu dimanfaatkan kepada masyarakat dan disebarkan.

Allah SWT telah berfirman:

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali beberapa orang laki-laki yang kami beri wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang-orang yang berilmu (Ahladz dzikri)  jika kamu tidak mengetahui
                                                                                                   ( al-Nahl:43)

Dalam ayat ini, Allah SWT memberi panduan kepada manusia (orang musyrik) pada masa itu yang tidak mengetahui tentang Islam agar bertanya kepada ‘ahl zikr’ iaitu orang yang mempunyai pengetahuan tentang Islam dalam kalangan Nabi dan para sahabat. Mereka dijadikan tempat rujukan kerana mereka mendalami agama dengan sebaiknya sehingga dapat mengajar dan menerangkan kepada orang lain pula.

Orang yang berilmu akan menjadi rujukan dan tempat untuk bertanya kemusykilan berdasarkan bidang yang menjadi kepakarannya. Sebagaimana peribahasa di atas juga, hanya jauhari yang mengenal manikan. Sekiranya beliau tidak mempunyai ilmu dan cara-cara untuk mengenali permata, sudah pasti beliau tidak akan dapat membezakannya seperti orang lain.

Selain  itu ayat al-Quran ini menunjukkan kepada kita bahawa perlunya kelompok umat Islam yang mahir dalam pelbagai bidang seperti bidang agama, kemahiran, sosial, politik dan ekonomi supaya dapat membimbing keluarga dan masyarakat menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Kesimpulannya; usaha untuk menyedarkan diri mahir dan hebat dalam sesuatu bidang agar kita mampu memberi yang terbaik untuk umat. Jika kita buntu dalam menyelesaikan sesuatu, maka rujuk dan bertanyalah kepada ahlinya (orang yang mahir dalam bidang itu) agar hidup sentiasa disuluh cahaya kebenaran yang hakiki.

Wallahu’alam.

 ( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment

Post a Comment