Wednesday, July 11, 2012

Kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar manakan berbau

Kemenyan ialah sejenis getah pokok yang digunakan untuk mengeluarkan asap. Kemenyan dilihat seperti ketul-ketul batu. Dihancurkan sedikit dan ditaburkan di atas bara api bagi mengeluarkan asap. Asapnya berbau wangi dan kebiasaannya digunakan di dalam perubatan tradisional. Kemenyan masih digunakan oleh orang-orang Melayu dan India di negara ini.

Pepatah ini bermaksud menjadi perbuatan yang sia-sia jika seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan tidak diajar kepada orang lan.

Menuntut ilmu ada caranya. Ilmu yang dimiliki tidak boleh dinikmati sendirian, sebaliknya ilmu tersebut harus dikongsi bersama.

Mungkin banyak dalam kalangan para pelajar yang  tidak sedar bahawa apabila kita mengajarkan sedikit ilmu yang kita miliki, kita akan lebih faham berbanding sebelumnya.

Di samping itu, ilmu yang disebarkan oleh kita, kemudiannya disebarkan oleh orang lain, kelak kita akan mendapat ganjaran daripada Yang Maha Esa.

Tiada gunanya apabila seseorang itu memiliki seluas lautan ilmunya, tetapi tidak dimanfaatkan. Manfaatkanlah ilmu demi kesejahteraan umat manusia sejagat

Rasulullah saw bersabda :

Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.

                        ( HR : Bukhari )

Baginda Rasulullah saw tidak pernah berhenti daripada menyampaikan agama kepada manusia. Selepas kewafatan baginda, para sahabat dan tabiin pula yang menyambungnya sehingga ilmu Allah itu berkembang dengan luasnya pada hari ini. Semua ilmu yang kita miliki adalah ilmu dari Allah SWT, sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi.

Pengajaran daripada hadis di atas ialah perlunya untuk menyampaikan ilmu itu yang dimiliki kepada orang lain walaupun sedikit, walau sepatah asalkan dapat diketahui dan tersebar. Sebenarnya, ilmu yang dikongsikan itu tidak akan mengurangkan ilmu kita walau sedikit tetapi semakin bertambah kefahamannya, semakin terpahat diingatannya.

Malah ganjaran pahala yang besar juga dijanjikan bagi sesiapa yang menyampaikan ilmu dan ianya diamalkan oleh orang lain. Sabda Rasulullah saw :

Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang  mendoakannya.

                                    ( HR : Muslim )


Oleh itu, sebagaimana peribahasa di atas, kemenyan yang besar pun, andai tidak dibakar, tidak akan berbau. Begitulah juga dengan ilmu, sebanyak mana pun yang dimiliki, tidak memberi manfaat yang besar andai tidak disampaikan kepada orang lain.

Kesimpulannya, ilmu yang kita dapat dan peroleh haruslah kita sampaikan kepada orang lain agar kita dan orang yang mendengar sama-sama beroleh manfaat. Jangan sombong dengan ilmu yang ada kerana semuanya datang dari Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT tidak suka pada orang yang kedekut ilmu.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment