Wednesday, July 11, 2012

Alah bisa tegal biasa

Pernahkah anda melihat seorang pakar ular bermain dengan ular peliharaannya? Pemain ular biasa dipatuk ular berkali-kali, sehingga dia telah terbiasa dengan patukan ular-ularnya  itu. Pemain ular sudah terbiasa dengan bisa-bisa ular. Dia sudah alah kepada bisa.

Alahnya kepada bisa kerana sudah menjadi kebiasaan kepadanya. Alah bisa tegal biasa atau alah kepada bisa kerana biasa. Bagi mencapai ke tahap alah kepada bisa, seseorang pemain ular harus berlatih berkali-kali. Beliau harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya agar ular-ularnya itu patuh kepada arahannya.

Pepatah alah bisa tegal biasa bermaksud sesuatu yang dilakukan secara kerap akan menjadi mudah.

Seseorang pelajar yang cemerlang seharusnya tidak berputus asa dalam proses pembelajaran. Pelajar-pelajar mungkin menghadapi kegagalan, namun itu semua bukan akhir kepada segala-galanya.

Kita semua tidak dilahirkan bijak kepada subjek matematik. Kita semua dianugerahkan dengan akal fikiran yang sama. Perbezaan di antara kita semua adalah usaha. Usaha itu hendaklah berterusan agar mencapai tahap biasa kepada subjek atau permasalahan.

Tanpa usaha yang berterusan itu, kita mendapati sesuatu subjek itu begitu  sukar dan akhirnya kita sendiri tidak berminat dengan subjek tersebut. Bagi mencapai ke tahap biasa kepada subjek-subjek tertentu, para pelajar haruslah :

a)      Membuat kerja rumah
b)      Membuat latihan atau mengulang kaji
c)      Berbincang dengan kawan-kawan
d)      Bertanya kepada guru atau rakan-rakan

Semua pelajar tidak dilahirkan pandai atau bodoh. Kita menjadi bodoh apabila kita sombong dengan enggan berusaha. Usaha yang berterusan akan menjadikan kita semua terbiasa dengan sesuatu keadaan. Rajin berusaha menjadikan kita semakin matang dan boleh menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Terbiasa dengan melakukan kerja rumah, menjawab soalan-soalan tahun–tahun terdahulu akan memudahkan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Peribahasa ini menerangkan bahawa usaha berterusan yang dilakukan dalam sesuatu pekerjaan akan menjadikannya mahir dan sudah terbiasa dengan apa yang dilakukan itu. Dari perspektif Islam, peribahasa ini bertepatan dengan konsep istiqamah iaitu konsisten dan berterusan dalam melakukan sesuatu perkara.

Antara ayat al-Quran yang menyebut perihal istiqamah antaranya :

Oleh itu hendaklah engkau (wahai Muhammad), sentiasa teguh di atas jalan yang betul seperti mana diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hokum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

                                    ( Hud : 112 )

Perintah ini juga dinyatakan Rasulullah saw dalam dialognya kepada Abu Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi apabila ditanya dengan berkata : Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan saja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau!. Jawab Rasulullah saw;  katakan, aku beriman kepada Allah SWT lalu istiqamahlah.

                                    (HR : Muslim)

Melakukan sesuatu secara berterusan dan tidak mengenal putus asa bukan perkara yang mudah dan harus menuntut kesabaran, keazaman dan keyakinan bahawa dia mampu mencapai apa yang diinginkan. Untuk menjadi seorang yang pandai, bukan sesuatu  yang senang. Namun berbekalkan nikmat pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT, kesihatan dan pelbagai lagi kemudahan maka ia tidak menjadi alasan kepada kita untuk mengatakan ‘susah’ dan ‘tidak’ kepada sesuatu perkara.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran :

Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia (Allah) mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, supaya kamu bersyukur.

                                    ( al-Nahl : 78 )

Kesimpulan; sentiasa berusaha yang bersungguh-sungguh adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan yang sebenar. Tidak perlu berasa selesa dengan apa yang ada kerana perkara itu adalah musuh.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment