Thursday, July 12, 2012

Orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila menerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan, dan dalam konteks makanan ruji kita itu nasi, apabila diberi nasi maka hilanglah rasa lapar itu.

Kedua-dua sifat iaitu lapar dan dahaga menunjukkan bahawa seseorang itu memerlukan air dan makanan. Apabila berasa dahaga, diberinya air; apabila lapar, diberinya nasi.

Maksud pepatah ini; seseorang yang memperoleh apa yang dihajatinya.

Ilmu dapat memberikan banyak perkara yang kita hajati. Kita harus menerima hakikat bahawa sesetengah daripada kemewahan atau kesenangan disumbangkan oleh ilmu yang kita miliki. Apakah yang manusia mahukan di dunia ini? Manusia mahukan kemewahan, manusia mahukan kesenangan, manusia mahukan kawan-kawan, manusia mahukan harta dan lain-lain.

Apa sahaja yang diingini manusia itu kebanyakkannya boleh diperoleh apabila seseorang itu mempunyai wang. Namun bagi memperoleh wang, mereka harus mempunyai ilmu. Hanya ilmulah sahaja ‘lesen’ bagi mendapatkan sesuatu di dunia ini. Dengan ilmu, kita dapat mencorak keinginan kita menjadi suatu realiti.

Ilmu dapat menjamin masa depan seseorang itu. Ilmu yang baik dapat memberi pulangan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Berkaitan dengan peribahasa ni, Rasulullah saw ada bersabda :

Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia berilmu.

Apa yang dapat kita fahami ialah ilmu menjamin kebahagiaan kita di dunia mahu pun di akhirat. Seseorang akan mendapat apa yang diimpikannya di dunia sekiranya dia mempunyai ilmu. Pekerjaan yang baik, kemuliaan di sisi manusia lain, keluarga dan kehidupan yang mulia dan segala macam keinginan dan kehendak manusia yang pelbagai.

Seseorang yang inginkan kehidupan yang baik di akhirat tempat tinggal yang abadi pula perlu juga berilmu. Pengetahuan tentang aqidah, ibadah dan akhlak perlulah seiring untuk ditimba sebagai bekal menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah SWT.

Banyak para ilmuan dan cendekiawan Islam terdahulu yang dapat diteladani dan dijadikan contoh. Melalui pengalaman hidup mereka, kejayaan demi kejayaan yang mereka peroleh hasil usaha dalam menuntut ilmu bermula dari awal lagi. Ternyata mereka lahir sebagai ilmuwan dan orang yang berjaya dan pencetus kepada kebangkitan dalam pelbagai bidang ilmu.

Kesimpulannya, ilmu merupakan aset yang paling penting buat manusia untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akirat. Di dunia, dengan ilmu kita memperoleh kejayaan, dengan kejayaan kita memperoleh wang, dengan wang kita boleh memiliki apa-apa sahaja yang kita mahukan. Manakala bagi pengamal ilmu tentang agama Islam yang menguatkan lagi iman mereka akan menjadi penyelamat ketika di akhirat kelak.

Wallahu’alam.


( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment