Friday, July 6, 2012

Kita baru mencapai pengayuh, orang sudah tiba di seberang

Apabila seseorang yang mahu menyeberang sungai, dia boleh menggunakan perahu atau sampan. Pengayuh atau pendayung digunakan bagi menggerakkan sampan atau perahu itu. Ada orang yang terlalu pantas sehinggakan belum sempat kita mencapai pendayung, dia sidah pun sampai ke seberang.

Maksud pepatah ini adalah orang yang bijak dan proaktif akan mendahului orang lain di dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Seseorang pelajar yang berjaya mempunyai nilai –nilai kecemerlangan berikut :

  1. Bertakwa kepada Allah SWT
a)      Pelajar semestinya bersyukur serta mengingati bahawa manusia  itu telah dijadkan oleh Allah SWT. KepadaNyalah kita berserah dan kepadaNyalah tempat kita meminta.
b)      Allah SWT berkuasa untuk melakukan apa sahaja.Oleh itu, jaglah diri kita agar terhindar dari segala macam bencana.

  1. Mematuhi disiplin
a)      Pelajar harus berdisiplin dalam melaksanakan segala tugasan yang telah diberikan oleh guru-guru
b)      Pelajar-pelajar harus berdisiplin ketika berada di sekolah.
c)      Apabila kita melanggar disiplin dan dikenakan tindakan sedikit sebanyak akan menjejaskan penumpuan semasa belajar dan semasa menghadiri peperiksaan.

  1. Bijak mengurus masa
a)      Semua orang diberikan 24 jam sehari. Kejayaan mengurus masa diukur dengan cara kita membahagikannya serta menjadikannya bermanfaat.

  1. Mementingkan kesihatan diri
a)      Pelajar yang bersedia dalam akademik akan gagal atau kurang bermaya ketika menjawab soalan jika tidak sihat atau sakit ketika menghadapi peperiksaan.
b)      Menjaga kesihatan merupakan satu tindakan pencegahan yang baik.

  1. Mempunyai cita-cita dan berwawasan tinggi
a)      Mereka yang mempunyai cita-cita adalah mereka yang mahu berjaya.
b)      Cita-cita mendorong seseorang itu untuk terus berjaya.

  1. Konsisten melaksanakan sesuatu
a)      Mereka yang konsisten dalam melaksanakan sesuatu akan berasa bahawa kerja yang dilakukannya itu mudah dan ringan.

Orang yang ingin berjaya perlu memiliki sifat sebagaimana yang diterangkan di atas. Agama Islam menuntut umatnya supaya rajin berusaha, sentiasa bersemangat dan pantas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Antara langkah untuk menjadi orang yang proaktif adalah menghidupkan iman di dalam hati. Sebagaimana nilai-nilai kecemerlangan yang dinyatakan di atas, perkara asas ialah taqwa kepada Allah SWT dalam erti kata menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT.

Hakikatnya, tiada jalan mudah di dunia ini. Kalau hendak berjaya dalam peperiksaan kita dituntut untuk mengorbankan banyak daripada masa kita di hadapan meja belajr dan berkawan dengan buku. Sama juga halnya dalam menghidupkan iman dalam hati. Perlu ada usaha yang berterusan agar graf iman kita terus meningkat selari dengan pertambahan umur. Kalau ditakdirkan untuk jatuh pun semoga tidak jatuh sampai ke paras negatif.

Antara cara untuk menghidupkan hati ialah :

a)      Menghidupkan hati melalui pembaharuan taubat, bacaan al-Quran, menghadiri majlis ilmu, sedekah dan lain-lain lagi. Hati kita ini milik Allah SWT, maka pohonlah padaNya agar kita dikurniakan hati yang mudah untuk menerima kebenaran, yang mudah untuk mengingatiNya dalam setiap tindakan.
b)      Menghidupkan fitrah dalam diri. Bersahabat itu fitrah. Penat, letih, suka, duka itu fitrah. Ingin menjadi baik itu fitrah. Cuma bagaimana kita mahu menghidupkan fitrah itu perlulah mengikut landasan syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Gilap fitrah diri kita sebagai manusia. Insya Allah kita mampu untuk bergerak menjadi seorang yang proaktif.

Allah SWT telah berfirman :

Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran. (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

                                                ( an-Nisaa’ : 32 )

Kesimpulannya; satu minit yang sudah berlalu tidak mungkin mampu untuk kita ulang kembali pada masa hadapan. Tetapi satu minit itu pasti akan kita temui ketika di akhirat nanti di hadapan Allah SWT bilamana seluruh amalan dan perbuatan kita dibentangkan, dihitung dan dihisab satu persatu setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun yang kita gunakan di atas dunia. Kerana masa manusia boleh berjaya dan kerana masa juga manusia boleh gagal. Orang yang bijak adalah orang yang menghormati masa dan menjaganya dengan sempurna.

Wallahu’alam.

 ( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment