Wednesday, July 11, 2012

Keris itu masih di tanganmu

Keris itu masih di tanganmu
untuk menyambung perjuangan
yang sewaktu-waktunya
engkau terpaksa mengalah
hati terhiris luka
suara terpaksa membisu
diam mematahkan fitnah
berlembut mencari hikmah

Jika terlalu pahit kau rasai
kembalilah kepada realiti
perjuangan itu pasti ada ranjau durinya
perjuangan itu pasti ada liku-likunya
perjuangan itu pasti ada pahit getirnya
perjuangan itu pasti ada rebah bangunnya
jika genting janganlah kau putuskan
jika tegang janganlah kau rentapkan
jika retak janganlah kau hancurkan
jika putus janganlah kau hanyutkan
jika bocor janganlah kau karamkan

Ketika kini engkau teruji erti ketabahan
setia seorang musuh tikaman seorang sahabat
jujur seorang seteru fitnah seorang kerabat
kerana sewaktu-waktunya
yang diam mentertawakan kita
yang mengangguk membenci
yang berpura-pura rajin bersuara
yang menentang menjadi sahabat
yang bijak merendahkan suara
yang berhemah memanjatkan doa
yang setia rela mengorbankan dirinya.

Keris itu masih di tanganmu
untuk menyambung perjuangan
setelah engkau menjahit dengan ketajamannya
seharusnya engkau telah belajar dan mahir
menepis tikaman mencemburui persahabatan
kerana yang mengatur kejatuhan
bukanlah musuh tetapi muslihat seorang teman.



( Ahmad Sarju, DBP 2000 )

No comments:

Post a Comment

Post a Comment