Saturday, July 7, 2012

Belakang parang pun kalau diasah nescaya tajam

Parang boleh digunakan untuk memotong kayu dan benda-benda yang keras. Bahagian hadapannya dipanggil mata. Mata ini apabila diasah akan menjadi tajam. Mata parang diasah mengunakan batu pengasah. Jka mata parang makin menipis, maka kerja-kerja mengasah akan menjadi mudah. Belakang parang mempunyai permukaan yang sedikit tebal. Sukar untuk mengasah belakang parang kerana sifatnya – besi dan tebal. Namun, jika berusaha mengasah belakang parang, lambat laun parang akan menjadi tajam.

Pepatah ini bermaksud seseorang yang dianggap bodoh itu akan menjadi pandai jika diasuh dengan berhemah.

Semua orang dijadikan sama sahaja. Dalam satu keluarga. Ada adik beradik yang pandai, dan ada yang kurang pandai. Jika dilihat tingkah laku, amalan dan kesungguhan mereka barulah kita tahu kenapa adik beradik tersebut berbeza tahap pencapaian mereka.

Seseorang pelajar itu harus mempunyai matlamat hidup bagi memberi faedah-faedah berikut kepadanya :
a)      Memberi pnduan arah dan tujuan
b)      Mendorong dan menyuntik semangat diri
c)      Pengurusan masa yang lebih baik
d)      Sebagai panduan untuk menyemak diri sendiri
e)      Menyedarkan diri sendiri

Tidak ada ada mereka yang bodoh kecuali mereka yang mencari kebodohan untuk mereka sendiri. Seorang yang merasakan dirinya bodoh serta membiarkan dirinya begitu akan terus menjadi bodoh. Seseorang yang merasakan dirinya bodoh dan mahu memperbaiki dirinya serta berusaha mencapai matlamatnya (iaitu memperbaiki dirinya) akan terus mendapat kecemerlangan.

Manusia diciptakan Allah SWT dan dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan kekurangan. Namun hakikatnya sewaktu dilahirkan kita adalah insane yang tidak mengetahui sesuatu pun sebelum kita diajar dan dididik oleh ibu bapa.

Allah SWT telah berfirman :

Dan Allah SWT mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia ( Allah) mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, supaya kamu bersyukur.

                                                ( al-Nahl : 78 )

Apa yang dapat kita fahami ialah, manusia sejak lahir lagi tidak dikurniakan dengan apa-apa kelebihan dari sudut pengetahuan dan kepandaian. Hanya setelah mendapat didikan daripada keluarga dan berbekalkan pancaindera itulah, kita belajar untuk memahami sesuatu perkara. Namun tidak dinafikan adakalanya tahap kefahaman dan kebijakan seseorang itu tidak sama. Walaupun begitu, seseorang pelajar yang merasakan dirinya bodoh dan ketinggalan dalam pelajarannya tidak boleh terus berfikiran begitu. Bangkitlah untuk mencari kelebihan yang ada dalam diri sendiri yang mungkin belum dijumpai.

Seseorang yang mengenali dirinya sendiri tidak akan berpuus asa untuk terus memajukan diri. Berbekalkan usaha yang gigih dan sentiasa berfikian positif, dia akan mampu menjdi pelajar yang cemerlang. Kadang kala kita cepat untuk menyalahkan takdir dan menyerah kepada keadaan tanpa memberi ruang untuk diri berusaha sehabis mampu.
Oleh itu jangan menyerah kalah sebelum berusaha dengan bersungguh-sungguh. Sesuatu yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan kita mahir dan pandai. Begitulah juga dalam menuntut ilmu, tidak seorang pun yang lahir dalam kalangan kita terus pandai menulis dan membaca. Kita melalui proses pendidikan yang sama. Cuma  yang membezakannya ialah kemampuan diri dan usaha kita untuk menggapainya. Ayuh katakan pada diri bahawa anda seorang pelajar yang mampu berjaya dan cemerlang seperti orang lain.

Kesimpulan, sebenarnya manusia ada satu kuasa yang sangat hebat dan luar biasa iaitu kuasa untuk membuat pilihan. Maka pilihlah untuk menjadi yang terbaik dan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya kerana Allah SWT sentiasa memotivasikan hambaNya.

FirmanNya :

Balasan yang kemudian itu, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakanNya sehingga mereka mengubah apa yang ada pada mereka sendiri, Dan ingatlah, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

                                                                        ( al-anfaal : 58 )

Oleh itu jika kita usaha untuk mengubah diri kita pasti  Allah SWT akan membantu kita mencapainya.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment