Sunday, July 8, 2012

Belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang

Seorang ibu atau bapa akan sungguh gembira apabila melihat anaknya menurut perintah tanpa banyak bersoal jawab. Ibu bapa akan lebih gembira jika anaknya melakukan sesuatu tanpa disuruh seperti mengemas katil, melipat dan menjemur baju dan sebagainya. Belum disuruh sudah pergi seperti belum pun ibu bapa suruh menjerang air, anaknya sudah pun pergi menjerang air. Belum dipanggil sudah datang – umpama belum pun ibu atau bapa memangil untuk mengemas meja makan, anak tersebut sudah datang untuk membantu.

Maksud pepatah ini ialah orang yang rajin, atau orang yang tidak memerlukan suruhan dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.

Orang yang rajin tahu apabila mereka harus melakukan sesuatu. Orang yang rajin ialah orang yang berdisiplin. Sebagai seorang pelajar, disipin berikut harus dipatuhi :

a)  Datang awal ke sekolah – apabila tiba  awal ke sekolah, seseorang pelajar itu lebih bersedia. Biasanya mereka yang datang awal ke sekolah telah datang awal pada awal tahun dan mendapat posisi  yang baik di dalam kelas. Posisi yang baik  memberikan pandangan dan pendengaran yang sesuai untuk pelajar tersebut.
b)  Bersedia sebelum ke sekolah – pelajar yang cemerlang akan bersedia menyiapkan kerja sekolah serta bersedia dengan subjek baru yang akan diajar pada hari tersebut.
c)  Bersedia awal untuk peperiksaan – pelajar cemerlang tidak menunggu saat akhir untuk membuat persediaan peperiksaan.

Rajin tidak akan datang dengan begitu sahaja. Rajin adalah disiplin dan disiplin seharusnya dipupuk. Disiplin itu ialah amalan dan amalan itu harus dilakukan. Jika sesuatu perkara itu tidak diamalkan secara berterusan maka kita akan merasa kekok. Kekok melakukan sesuatu akan menimbulkan rasa malas.

Allah SWT telah berfirman :

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyng dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melihat segala sesuatu yang kamu kerjakan.

                                    (al-Baqarah : 110)

Sikap rajin merupakan salah satu sifat yang paling perlu dalam diri kita terutama bagi seorang pelajar. Rajin membuat kerja sekolah, rajin membantu guru akan menambahkan keberkatan kepada seorang pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment