Segala puji hanya bagi Allah,
kami memujiNya, memohon pertolongan dan ampunan kepadaNya. Kami berlindung
kepada Allah daripada kejahatan diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami.
Sesiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya.
Sesiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.
Aku bersaksi bahawa tidak ada
yang lain berhak disembah dengan benar kecuali Allah. Tidak ada sekutu bagiNya
dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad saw ialah rasulNya. Wahai orang-orang
yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya dan
janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.
Sebentar lagi anakanda berdua
akan menempuh akad nikah, perjanjian yang membawa status baru, iaitu sebagai
pasangan suami isteri secara sah menurut ketentuan agama. Ada beberapa hal yang
perlu selalu ingat mengenai status baru ini.
Pertama, pernikahan ialah ibadah.
Pernikahan tidak sekadar sebuah upacara untuk mengumumkan kepada orang ramai
tentang baru ini. Oleh itu, menjadi sangat penting bahawa sejak dari niatnya
anakanda berdua harus selalu meletakkan peristiwa ini sebagai wujud pelaksanaan
ketaatan andanda berdua kepada Allah SWT dan rasulNya. Jadi dalam pernikahan
ini, ada sebuah amanah daripada Allah dan rasulNya. Tekadkanlah dalam hati
anakanda berdua, sejak dari awalnya untuk menjaga amanah ini hingga ajal tiba.
Kedua, al-Quran mengajar kita
semua bahawa melalui pernikahan, seharusnya wujud rasa dan suasana kasih
sayang, sebuah kebahagian, sebuah surgawi di dunia. Keluarga ialah sebuah
komitmen, sebuah wahana untuk mewujudkan kebahagiaan bukan kekecewaan,
kesedihan, kegelisahan, kelesuan dan seumpamanya.
Ada tiga indikator dalam konteks
waktu tentang hadirnya kebahagiaan dalam hidup seseorang. Pertama, terhadap
masa lalunya. Dia tidak pernah menyesali atau kecewa berpanjangan. Masa lalu
diterima dengan istighfar dan rasa syukur. Permohonan ampun didasari kelemahan
manusiawi, diiring dengan keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun, Pengasih dan
Penyayang. Rasa syukur yang dilandasi kesederhanaan bahawa sekalipun berat
cubaan dan kesulitan, nikmat Allah selalu lebih banyak dibanding semua itu.
Kedua, selalu bersikap tabah dan
jangan mudah menyerah kalah. Selalu yakin bahawa setiap satu kesulitan selalu tersedia
sekurang-kurangnya dua buah kebaikan. Tingkatkan kesabaran dan ketekunan dalam
usaha yang disertai dengan doa daripada kerendahan hati seseorang hamba sebagai
bekal. Jadikan sabar dan solat sebagai pembantumu.
Ketiga, kita tidak tahu takdir
yang disurati Allah untuk kita. Namun anakanda haruslah bersikap optimis.
Jadikanlah kebahagiaan sebagai visi abadi anakanda berdua dalam membangun
kehidupan berkeluarga.
Ingatlah bahawa Iblis tidak suka
manusia hidup bahagia. Sebagai musuh abadi manusia, iblis sang pewaris neraka
akan terus merosakkan kebahagiaan yang menjadi milik manusia, anak keturunan
Adam, para calon pewaris syurga. Dalam hal kehidupan berkeluarga, salah satu
benteng terkuat untuk menjaga kebahagiaan ialah kemaafan. Kemaafan ialah salah
satu senjata ampuh dalam membangun rumah tangga bahagia dan benteng untuk
menyekat usaha iblis untuk menghancurkan kebahagiaan anak-anak Adam. Teratas
daripada itu, kemaafan ialah jalan menuju taqwa.
Berdasarkan fitrah manusia, agama
mengatur tanggungjawab, peranan dan fungsi anakanda berdua dalam kehidupan
berkeluarga. Menurut ketentuan agama, suami memikul tanggungjawab sebagai ketua
keluarga. Jadi tanggungjawab terbesar dan terberat adalah menjaga agar bahtera
keluarga selalu berjalan menuju visi abadi iaitu kebahagiaan dunia akhirat dan
terhindar daripada seksa api neraka. Sempurnakanlah dan tunaikanlah hal
tersebut dalam perjalanan anakanda berdua membangun rumah tangga. Semoga terus
dirahmati dan diberkati Allah SWT.
Fungsi pakaian selain untuk
keindahan adalah juga untuk menutupi aurat. Maka suami isteri harus saling
menutupi kelemahan pasangannya. Seandainya anakanda melihat kelemahan pada
pasangan anakanda, maka berdoalah agar di sebalik kelemahan itu, terdapat
kebaikan yang tidak terduga.
Tingkatkanlah bakti anakanda
berdua kepada ayah dan ibu yang telah dengan penuh kasih sayang dan kesabaran
menghantar anakanda berdua hingga ke jenjang untuk memulai hidup baru. Anakanda
perlu ingat bahawa cinta dan kasih sayang mereka tidak akan pernah pudar, walaupun
anakanda berdua kini telah mendirikan rumah tangga sendiri.
Wallahu alam.
Anis Ayuni
Cinta yang kurasa
No comments:
Post a Comment