Tuesday, January 21, 2014

Anugerah Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H / 2014 ( 2 )

005. Itulah nombor pelajar yang mengesahkan status beliau sebagai pelajar Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia atau UKM. Sejarah negara yang dicatatkan pada tahun 1970 ini turut menjadi kenangan terindah kepada bekas pelajar Kolej Islam Malaya yang bernama Datin Hajjah Rusmiati Harun. Bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau JAKIM, Datin Hajjah Rusmiati cukup dikenali sebagai ikon kekeluargaan. Beliau sering menjadi wakil bagi membuka mata masyarakat tentang institusi keluarga. Atas keprihatinan serta ilham Datin Hajjah Rusmiati, kursus kekeluargaan diperkenalkan pada awal 1980-an kemudian dipanjangkan menjadi kursus pra perkahwinan, iaitu syarat yang perlu dipenuhi bagi pasangan Islam yang  akan mendirikan rumahtangga sehingga ke hari ini.

Meskipun telah mengakhiri tempoh perkhidmatan pada tahun 2001, nadi dan hati Datin Hajjah Rusmiati tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat. Selain daripada turut memberi khidmat nasihat sebagai pendakwah bebas dan Kauselor Masjid Negara, beliau juga aktif dalam menyumbang tenaga ke arah membina masyarakat penyayang bersama beberapa badan bukan kerajaan atau NGO.

Kita semua tahu bahawa dalam kehidupan yang amat mencabar pada hari ini, banyak keperluan yang kita sempurna dalam hidup ini. Kita mahu ekonomi, sosial, pembangunan, politik yang stabil tetapi semuanya itu tidak akan boleh terlaksana dengan sempurna dan baik tanpa pendinding, tanpa ada asas yang kukuh iaitu akidah, kestabilan rohani bagi setiap orang.

Oleh sebab itu, setiap orang dan keluarga mesti memikirkan terlebih dahulu untuk membangunkan kehidupan ini, tentang mantapnya akidah atau nilai agama, menghayati nilai agama itu dalam kehidupan keseluruhannya.

Tambahan pula kita tahu pada hari ini, begitu banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi dan ujian yang berbagai-bagai. Oleh sebab itu, keluara ini yang pertama-tama perlu kukuh, stabil. Apabila kita lihat jumlah penceraian yang wujud di negara kita pada hari ini, lebih kurang 20% kebanyakkan daripada sebabnya adalah kerana retaknya hubungan kekeluargaan antara suami. Apabila hubungan antara suami isteri sudah tidak stabil lagi, tentu anak-anak juga tidak dapat diberi perhatian, kasih sayang, didikan tentang agama, rohaninya. Ini adalah salah satu sebab yang remaja-remaja kita hari ini, terbabas dan tidak dapat hidup seperti yang dikehendaki; menjadi pengganti kepada pucuk pimpinan negara di masa hadapan. Dengan itu keluarga mesti dimantapkan.

Di peringkat sekolah, apapun aliran sekolah yang ada di negara ini, mesti ada untuk memantapkan kerohanian. Dan kita lihat sekarang dalam hal ini pada saya tidak begitu dapat memainkan peranan. Kalau belajar Sejarah, Sejarah sahajalah. Tetapi di dalam hal yang berkaitan dengan rohani, tidak banyak yang dikaitkan. Sebab itu anak-anak kita apabila habis daripada sekolah; sekolah rendah, sekolah menengah kalau mereka tidak pergi ke sekolah agama, rohani mereka nipis dan mereka amat mudah diceroboh ataupun dihantui oleh dugaan-dugaan yang wujud di luar sana.

Begitu juga di peringkat menengah, universiti mesti ada satu unit khas yang berusaha memikirkan, menilai, memantapkan akidah anak-anak ini sehingga apabila anak-anak ini apabila keluar nanti mempunyai akidah yang baik. Dan hasil daripada mempunyai akidah yang baik, yang sempurna itu mereka akan mempunyai sifat-sifat terpuji di dalam kehidupannya. Iaitu jujur, ikhlas, amanah, tidak membuat fitnah, tidak melakukan penipuan, penindasan kepada orang lain, tidak mencuri, tidak membuat maksiat dan sebagainya.

Itulah yang kita nak fikirkan, lahirkan generasi yang akan datang. Dan ini bukanlah tugas sesuatu pihak sahaja tetapi ia bermula daripada rumah, ibubapa sampai ke sekolah, universiti, pejabat sama ada pejabat kerajaan atau pejabat berkaitan institusi lain, iaitu swasta.

Dan begitu juga mengenai kursus perkahwinan itu sendiri. Tidak cukup dengan kursus pra perkahwinan yang ada sekarang ini, perlu banyak wujud lagi kursus pemantapan keluarga dari masa ke semasa.

Datin Rusmiati Harun
Mantan Pengarah Bahagian Latihan 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Wallahu alam.

Masjid Putra,
Putrajaya
14 Jan 2014

No comments:

Post a Comment