Tuesday, January 14, 2014

Doa sambutan Maulidur Rasul

Allahuma Ya Allah;

Kami dengan penuh khusyuk dan tawaduk menadah tangan menzahirkan kesyukuran kami di atas nikmat dan rahmatMu. Maka dapatlah kami berhimpun pada pagi yang penuh bermakna ini dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul, mudah-mudahan dengan rahmat dan inayahMu jua, majlis ini akan berjalan lancar dan sempurna.

Sesunguhnya Engkau telah mengutuskan rasul agung nabi Muhammad saw, menyelamat pada umat di tengah-tengah suasana masyarakat yang kehilangan arah, pada pelbagai kepincangan hidup yang parah, kehidupan masyarakat yang berpecah belah sesama sendiri disebabkan latar belakang kabilah. Dengan penuh bijaksana, rasulMu berjaya melahirkan sebuah masyarakat yang satu, berpaksikan tauhid dan membataskan pengabdian kepada Allah. Akhirnya perpecahan yang berakar umbi di dalam masyarakat dipadamkan dan kembali hidup bersama dengan saksama berkongsi kesenangan dan kesusahan.

Di atas jasa pemimpin agung ini, kurniakanlah kami taufik untuk mencontohi baginda tanpa berbelah bagi. Walau pun dalam apa keadaan, yang tidak goyang bila menghadapi ujian. Bila disogok dengan kurniaan mudah bertukar haluan dan pegangan. Kami insaf kata-kata musuhMu Abu Sufian sebelum memeluk Islam : Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang sepertimana sahabat-sahabat Muhammad mengasihi Muhammad.

Mudah-mudahan, kasih kami kepada baginda akan mengatasi segala-galanya, lebih dari diri sendiri, keluarga dan manusia seluruhnya.

Bimbingkanlah kami dan anak-anak muda kami ke arah kebaikan. Bukan penyumbang kerosakan jauh sekali juara keburukan. Perosak negara, tamadun dan kemajuan. Larangan baginda dijauhi sekalipun pahit tidak tertahan. Semuga keburukan akan berkurangan. Mekar dan subur makruf kebaikan. Kasih sayang terikat hubungan. Masyarakat terselamat daripada kerosakan,kepincangan dan kecelakaan. Akhirnya mendapat keamanan, kesejahteraan dan keredaan. Hati masing-masing pula disandari takwa dan iman.
 
Allahuma Ya Hafidz Ya Alim;

Di saat kami berhimpun di majlis yang diberkati ini, kami memohon dengan rahsia keagungan nama-nama dan sifat-sifatMu agar dikurniakan taufik, kesejahteraan yang berterusan, sihat afiat dalam taat  yang berpanjangan.

Peliharakanlah negara kami, Malaysia dan negara-negara Islam daripada sebarang huru-hara dan bala bencana, ancaman musuh yang ingin menggugat kestabilan dan keharmonian, banjir dan kemarau panjang. Pereratkan di antara kami tali persaudaraan, kukuhkan perpaduan. Mudah-mudahan kami sentiasa berada dalam sejahtera, aman damai yang berpanjangan.

Aameen.

Putrajaya
14 Jan 2014

No comments:

Post a Comment