Thursday, January 16, 2014

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H (2)

Petikan ucapan perasmian

….sejarah telah menyaksikan kejayaan nabi Muhammad saw mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar serta keunikan strategi mengintergrasikan pelbagai kaum termasuk suku-suku Yahudi dan Nashrani telah berjaya membentuk dan membawa Madinah menjadi sebagai sebuah negara yang membawa imej kecemerlangan Islam. Demikian jua hal, beta melihat kejayaan ini turut berkait rapat dengan nilai kepimpinan baginda dalam mengurus masyarakat majmuk berlainan latar belakang dan puak. Sebagai pemimpin baginda diiktiraf sebagai seorang yang bijak mentadbir, bijak mengatur strategi membentuk kesepaduan, membina infrastruktur, mengurus, pengurus yang teliti dan penuh diplomasi serta pakar dalam kemanusiaan dan ilmu pengetahuan.

Tepatlah seperti kata para sejarahwan bahawa kemunculan umat Islam ibarat bintang yang dalam sinarnya terkandung khazanah peradaban ilmu pengetahuan, nilai jati diri, kebijaksanaan dan kefahaman yang menyumbang secara tekal kepada kelangsungan tamadun ummah yang dirasai sehingga ke hari ini.

Hadirin sekalian, jika kita meneliti perkara asas dalam ajaran Islam dan pendekatan yang digunakan oleh rasulullah saw iaitu kesederhanaan dan keseimbangan ataupun wasatiyyah dalam beramal, baginda berjaya membuang tabiat buruk dan budaya fanatik di kalangan masyarakat dan menggantikannya dengan budaya toleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Baginda rasulullah saw telah berjaya membuktikan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat samaada dari segi bangsa keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa bukanlah suatu masalah dan penghalang kepada perpaduan. Asalkan kesederhanaan ataupun pendekatan wasatiyyah dijadikan amalan dalam kehidupan.

Dengan budaya sederhana dan berimbang ini baginda berjaya membentuk perpaduan dan kekuatan di kalangan umat Islam dan mengukuhkan perhubungan dengan bukan Islam di sebalik perbezaan yang wujud. Beta yakin sekiranya kita dapat menghayati pendekatan wasatiyyah maka perpaduan akan dapat dicapai dan kecemerlangan akan menjadi kenyataan. Ingatlah kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan banyak menyumbang ke arah memajukan lagi sosiol ekonomi negara kita yang tercinta.

Para hadirin sekalian, akhir-akhir ini beta melihat terdapat segelintir penganut Islam mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing, yang dibawa masuk ke dalam masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini. Di satu sudut perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu yang remeh dan kecil kerana hanya melibatkan isu cabang dan ranting. Namun ingatlah, cara ianya dibahas, dipertikai, dibincangkan secara sinis dan melulu boleh mengundang perbalahan, mencetuskan polemik dan  boleh mengakibatkan perpecahan serta kegelisahan awam.

Sikap umat Islam yang lebih cenderung untuk terus berpolemik dalam perkara yang remeh temeh hanya membawa imej buruk kepada ummah yang dilihat sebagai tidak matang dan gagal menguasai pelbagai bidang ilmu. Sehubungan itu, beta mahu umat Islam di negara ini agar sentiasa berusaha memperkukuh persaudaraan serta mengharmonikan pandangan-pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara. Perpaduan ini wajib dipupuk dan diperteguh agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha meneruskan agenda mereka yang tersendiri.

Hadirin sekalian, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, beta menyeru sekalian rakyat agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan dan membina kekuatan ummah bagi memajukan agama, bangsa dan negara. Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha memperkukuh persaudaraan, pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar oleh nabi Muhammad saw……

Wassalam

Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
Masjid Putra, Putrajaya
14 Jan 2014.

No comments:

Post a Comment