Melayu apakah kita,
jika Melayu seperti kambing,
jika kambing itu tidak mengenal lagi,
rumahnya bernama kandang,
padang tempatnya memakan rumput,
rumput itulah membesarkannya.
Melayu apakah kita,
jika Melayu seperti ayam,
jika ayam itu tidak mengenal lagi pondoknya,
bernama reban,
halaman tempatnya memakan dedak,
dedak itulah menyuburkannya.
Jika jadinya ayam,
berkokoklah sepanjang masa,
tanpa mengerti dan mengenal bunyinya,
dirinya siapa.
menjadi harimau dengan belangnya.
Jika Melayulah kita,
menjadi gajah dengan belalainya.
Jika Melayulah kita,
menjadi singa dengan taringnya.
Jika Melayulah kita,
menjadi ular dengan belitannya.
Tidak akan jadi luncai kerana labu-labunya,
terjun di air.
Tidak akan jadi pandir kerana anaknya,
mati dalam kegembiraan.
Tidak akan jadi lebai kerana kambingnya,
terlepas jamuan.
Soalnya, apakah Melayu
tanpa kaca mata,
akan buta Melayu itu.
Soalnya, apakah Melayu
tanpa kaki palsu,
akan tempang Melayu itu.
Soalnya, apakah Melayu
tanpa alat pendengaran,
akan pekak Melayu itu.
Dan soalnya, siapa pecah Melayu,
pecah Melayu kerana perutnya atau,
pecah Melayu kerana mulutnya.
Soalnya, kerana Melayu kehilangan mim
maka menjadi layu.
Kerana itu Melayu ,
lalu kita bersabda,
sepanjang usia kita,
kita ratib dan marhaban.
Bila bulan tidak dipagar maka hilang cahayanya.
Bila laut tidak ditakung maka hilang airnya.
Bila bendang tidak di kandang maka hilang
hijaunya.
Bila dacing tidak berimbang maka hilang
timbangannya.
Pagar itu memakan tuan,
Takung itu melemaskan orang,
Timbang itu menggelapkan pelanggan,
Kandang itu memenjarakan haiwan,
Kita kadangkala menjadi binatangnya.
marhabanlah kita,
sabdalah kita,
bersyairlah kita,
dengan kata :
Tidak keruh air kerana hulunya,
tidak kering rumput kerana panasnya,
kita yang menjernihkannya,
kita yang menghijaukannya,
dan bukan haiwan dan bukan binatang.
Kadangkala kita menjadi haiwan dan binatang,
dan dengan titah kita melaung;
Bukan salah Jebat menderhaka,
salah Bendahara.
Bukan salah Tanggang menderhaka,
salah Permaisuri.
Sebenarnya bukan salah Yusof kerana Zulaikha,
tetapi salah Zulaikha kerana Yusof
dan apakah salah keris kerana menikam
dan apakah salah senapang kerana menembak.
Tentunya salah kita menjadi Melayu,
yang kehilangan kandang, reban dan belang.
Timbangan semakin kehilangan pedoman.
Kalau kita Melayu yang bisu,
jangan tumpang bercakap.
Kalau kita Melayu yang tuli,
jangan datang mendengar,
Kalau kita Melayu yang buta
jangan cuba mengintai
malu dibuatnya,
aib dibuatnya,
hiba lakunya,
sayu bunyinya,
kerana kita bernama Melayu.
Sebenarnya, hendak salah siapa
bila tanah hijauku padang, dibajak
bila sungai jernihku tenang, dikocak
rambutku yang gugur,
mataku yang buta,
telingaku yang pekak,
tanganku yang longlai,
kakiku yang capek,
atau kerana mulutku
Melayu yang celepur
memberi tanpa membenar kata segala,
sesungguhnya pohon itu Melayuku binasa.
erti kemerdekaaan
Tanah Melayu milik kita
segala umbi perlu dijaga.
Itulah Melayuku
warga erti nenek moyang kita
menjunjung sebuah pusaka
inilah Melayu raya kita bersama
Malaysia.
Inilah
pesanan pusaka dalam pustaka
yang
tidak patut menjadi sengketa
sampai bila-bila jika kita luka
oleh
sebarang prasangka yang buta.
Inilah
Melayu,
Malaysia
kita,
yang
aman merdeka.
Wan
Ahmad Ismail
Berkongsi
Mimpi, 2010
No comments:
Post a Comment