Ketika ekonomi negara berada dalam keadaan gawat, dengan kenaikan harga
barang, sambutan tahun baharu dilakukan di sana sini. Persoalannya, perlukah
disambut Tahun Baharu Masihi setiap tahun, sedangkan setiap bangsa (agama)
mempunyai tahun baharunya sendiri?Kalau tidak disambut, apakah negara kita
tidak akan maju? Jika dikumpulkan semua perbelanjaan dan persiapan sambutan
yang telah dibuat selama ini, sudah tentu berbilion telah dikorbankan. Apa
faedah yang diperoleh?
Peliknya, yang menaja sambutan tahun baharu adalah kalangan
korporat-korporat Islam. Tahun Baharu Hijrah tidak pula ditaja. Bayangkan wang
tajaan itu digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan, betapa besarnya
pahala yang diperoleh.Mungkin ada berpandangan, ini salah satu produk pelancongan.
Pada saya tidak, kerana ia adalah sambutan bercorak stereotaip setiap tahun
oleh kebanyakan negara di dunia yakni, dengan countdown, percikan bunga api,
diikuti dengan konsert dan persembahan hiburan yang mengarut.
Kenapa kita perlu terikut-ikut dengan rentak Barat? Inilah bahayanya jika
pemikiran kita tidak diasaskan dengan agama.Kita, rakyat Malaysia ada identiti
sendiri, umat Islam dengan Tahun Baharu Hijrah atau Maal Hijrah yang telah
disambut pada 5 November 2013. Bukankah memudah perkiraan zakat? Begitu juga
dengan orang Cina dengan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 31 Januari
2014. Tidak ketinggalan orang India dan yang lain.
Saya tidak kata, kita tidak boleh langsung menyambut tahun baharu.
Sambutlah, tetapi muliakan jati diri atau identiti sendiri dahulu berbanding
orang lain. Apatah lagi, agama Islam termaktub dalam perlembagaan, yang mana
keutamaan perlu diberikan. Permasalahannya, Tahun Baharu Masihi disambut
bermula jam 12 tengah malam. Waktu yang sudah sangat lewat untuk anak-anak kita
berada di luar rumah. Macam-macam perkara boleh berlaku. Apatah lagi ibu bapa
sudah tidak kisah, sama ada anaknya balik rumah atau tidak. Tidak bolehkah kita
kembali seperti zaman dahulu? Anak-anak sudah berkumpul di rumah menjelang
senja (Maghrib). Kenapa senja atau Maghrib menjadi petanda?
Jawapannya, kerana mengikut perkiraan bulan Islam, waktu tersebut penanda
akan berakhir satu hari dan bermulanya satu hari yang baharu. Jika begitu
keadaan, kenapa jam 12 tengah malam yang ditunggu? Kita meraikan budaya siapa?
Kembalikan waktu Maghrib tu, seperti mana kita menyambut Maal Hijrah. Orang
Cina pun berkongsi perkara sama sebab itulah sambutan Tahun Baharu Cina bermula
dengan makan besar atau reunion dinner pada waktu senja.
Pada saya, tidak menjadi ‘masalah’ untuk kita menyambut Tahun Baharu Masihi
walaupun ia bukan kalendar Islam, tetapi kalendar Gregorian ciptaan Pope
Gregory. Namun, sambutannya biarlah berpada-pada. Jangan sampai menenggelamkan
sambutan perayaan ibadah seperti hari raya dan sebagainya. Jika disambut untuk
meraikan masyarakat berbilang kaum, maka aktiviti-aktiviti yang dijalankan
hendaklah boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan.Tiada unsur
percampuran atau pergaulan bebas lelaki dan wanita yang bukan mahram yang
biasanya boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.
Kandungan keseluruhan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan
Islam dan norma-norma agama lain. Saya paparkan kata-kata nukilan seorang
sahabat, yang juga saya lontarkan selama ini.
Sebenarnya kita lebih gembira menyambut 1 Januari daripada 1 Muharam. Lebih
tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal.Lebih membesarkan hari Ahad
daripada hari Jumaat. Lebih khusyuk mendengar lagu daripada azan dan alunan
ayat al-Quran. Lebih suka lepak, tidur, menonton televisyen daripada
sembahyang. Lebih tahu nama artis-artis daripada nama para Nabi dan sahabat. Lebih
suka menyebut hello, hai, selamat pagi/petang/malam daripada Assalamualaikum.
Lebih suka menyanyi daripada berwirid atau bertasbih.
Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri. Lebih suka membaca
majalah daripada buku agama dan al-Quran. Lebih suka pergi ke konsert merapu
daripada ceramah agama. Lebih suka memaki, mencarut, mengumpat orang daripada
mendoakan atau menasihati mereka. Lebih suka kemungkaran daripada berbuat
kebaikan. Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dengan keimanan
kita. Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat. Lebih suka menuju ke
neraka daripada syurga.
Sampai bilakah negara tercinta ini akan diberkati dan dirahmati Tuhan Yang
Esa jika kita terus mengikut cara hidup barat yang merosakkan? Fikir-fikirkan
wahai pemimpin tercinta.
Wallahu alam.
Ridhuan Tee Abdullah
Sinar Harian
6 Jan 2014
No comments:
Post a Comment