Wednesday, January 15, 2014

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H (1)

Petikan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Alhamdulillah pada hari yang penuh keberkatan ini kita bersyukur bersama-sama dapat berada pada majlis yang bersejarah, iaitulah Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Dalam usaha kita mengharungi era transformasi menuju abad mendatang, sewajarnya kita bersyukur kerana perhimpunan ini merupakan satu usaha yang sangat bermakna untuk kita mengingati kembali detik-detik kelahiran junjungan besar nabi Muhammad saw. Sebagai pembela ummah yang menyuluh dari kegelapan kepada cahaya petunjuk, dari kezaliman kepada keadilan, daripada kefasadan kepada ketauhidan dalam mendaulatkan agama Allah di muka bumi.

Baginda nabi saw dilahirkan sebagai pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat, melalui sifat-sifat mulia sepertimana amanah, shiddiq, tabliq dan fathonah. Menurut sirah, sebelum kerasulan pemimpin Quraisy pernah memberi gelaran iaitu Al-Amin kepada baginda rasul kerana keunggulan baginda dalam memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran Al-Amin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang yang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada baginda.

Sebagaimana bersungguh-sungguhnya kita hari ini mengadakan sambutan ini bagi mengingati baginda rasul saw malah baginda lebih bersungguh-sungguh dalam memperingati kita umat baginda  ini  sehingga pernah rasulullah saw menyebutkan di hadapan sahabat-sahabat baginda. Di mana baginda menyebut: Aku ingin sekali bertemu dengan saudara-saudaraku. Apabila ditanyakan oleh para sahabat, ya rasulullah bukankah kami ini saudaramu ya  rasul. Baginda saw menjelaskan; kamu adalah sahabat-sahabatku tetapi yang dimaksudkan saudara-saudaraku ialah mereka yang beriman denganku  sedangkan mereka tidak pernah melihatku.(HR: Imam Ahmad)

Demikianlah dekatnya di hati rasulullah dengan kita yang ada pada hari ini. Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian, percayalah bahawa nabi saw telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Tuhan dan kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sunnah nabawiyyah……

Yang diberikan keutamaan dalam misi rasulullah menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah. Umat Islam diikat erat dengan konsep tauhid; kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun, pada masa itu baginda juga sentiasa diterjah dengan pelbagai ancaman daripada musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengucar kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan di antaranya termasuk isu-isu agama, sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya  dan hilang intergritinya untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah rasulullah saw.

Dalam soal memelihara keharmonian agama, umat Islam dan bukan Islam mempunyai peranan yang sama penting. Di pihak bukan Islam, sebarang tuntutan yang diajukan perlulah munasabah dan rasional untuk mengelak apa jua pertembungan yang boleh merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan dan terlalu mementingkan diri  perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisma yang berpijakkan keadilan. Walaupun kita menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam penyelesaiannya. Memilih jalan konfrastasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan harus dielak bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara. Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah jika kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama.

Dalam konteks negara Malaysia, agama Islam menjadi anutan majoriti. Oleh itu, sudah tentu nilai Islam menjadi asas kepada membina keharmonian masyarakat.Dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Walaupun kebebasan agama dibenarkan di negara kita, namun ianya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan atau pun agama negara. Bagaimana pun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam, Perlembagaan juga memperuntukkan Perkara 11(iv), sebarang dakyah atas umat Islam adalah amat dilarang. Justeru, agensi agama Persekutuan terutamanya JAKIM akan terus berganding bahu bersama Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri buat mempertahankan Islam daripada sebarang perlanggaran dan penghinaan terhadap Islam, termasuk hak kalimah Allah yang dipertahankan walaupun dengan segala upaya jua berdasarkan kepada peruntukkan perundangan yang diamalkan dalam negara.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian. Di akhir-akhir ini kita dapati pelbagai usaha yang terancang telah diatur bagi menggugat, buat mencabar hak kebebasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Ia bukan sahaja dikeluarkan oleh kelompok-kelompok tertentu di dalam negara, dengan kemudahan dan sokongan media baru malah gerakan ini juga mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa. Usaha untuk mencabar keutuhan, kesusilaan ajaran Islam ini dapat kita dilihat dengan jelas menerusi penganjuran beberapa program yang mempromosikan budaya kebebasan melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia dan perjuangan yang berselindung di atas nama anti dinasti yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu.

Perkara ini khususnya, melalui teladan yang dikenakan terhadap negara kita untuk tunduk dan mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai International Standard and Law bagi membenarkan amalan kebebasan secara mutlak kononnya, sedangkan ianya bertentangan dengan prinsip serta ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan juga semangat Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari semakin berkembang berlaku di negara umat Islam. Justeru, sekiranya kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim maka kita akan terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Bagi pihak kerajaan, kita akan sentiasa mengawal dan mencegah agar unsur-unsur pluralisme ini akan dapat dipantau dengan sebaiknya. Insya-Allah sebarang unsur kebebasan yang bercanggah dengan agama Islam, nilai moral serta adat resam masyarakat di negara ini dapat dihindar dengan sebaik mungkin.

Bertemakan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, marilah kita menyuburkan lagi pendekatan sederhana yang telah sekian lama diajar oleh baginda rasul. Wasatiyyah adalah merujuk tentang pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain. Tetapi pada masa yang sama, Islam terus dihargai dan dimartabatkan.

Bukti Wasatiyyah, kesederhanaan dan keseimbangan ini telah ditunjukkan oleh baginda rasul saw di dalam sirahnya. Semasa rasulullah saw berdepan dengan keadaan untuk meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya, di sisi Kaabah yang baru saja dibina. Di saat pergaduhan hampir tercetus, masing-masing kabilah merasakan, menganggap mereka yang paling layak dan berhak meletakkan semula Hajarul Aswad di tempatnya. Setiap kabilah siap mengasah pedangnya, baginda telah menunjukkan kebijaksanaan dengan meletakkan Hajarul Aswad tersebut di atas sehelai kain. Dan baginda meminta ketua-ketua kabilah itu mengangkat pada setiap bucu dan penjuru secara bersama-sama. Dan baginda sendiri yang meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya.

Inilah yang menunjukkan betapa kebijaksanaan rasulullah dalam membuat keputusan demi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang masalah yang berbangkit. Malaysia sememangnya sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip Wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara kita. Justeru ini, kita dapati tiada dalam sejarah negara, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, jauh peperangan, pergaduhan dan kaedah rigid yang menyusahkan. Sebaliknya, ajaran Islam disampaikan, disebarluaskan oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah, wasatiyyah. Sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan sampai ke peringkat yang sebawah-bawahnya.

Kerana itulah pendekatan kerajaan dengan menunjangi dasar Wasatiyyah yang dibawa oleh rasulullah saw adalah serius. Ia makin terserlah apabila di bawah kepimpinanYAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib, Malaysia telah berjaya menjadi model kepada gagasan Wasatiyyah antarabangsa. Ini terbukti dengan penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya dan Yayasan Pergerakan Kesejahteraan Global. Semuga Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1435H ini akan membawa satu dimensi baru kepada kita buat menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas perpaduan kita. Kita mendoakan semoga generasi hari ini dan masa akan datang, tetap teguh menjadikan bumi Malaysia yang berkat ini aman makmur,maju dan diredai Allah SWT.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, pihak kerajaan Persekutuan telah memilih seramai sembilan orang tokoh untuk diberikan penghargaan. Yang akan disampaikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebentar lagi. Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semuga penganugerahan ini menjadi dorongan dan juga motivasi.

Diakhiri ucapan saya ini dengan seruan; Marilah kita bersama-sama bersatu dalam mengemblengkan  segala sumber kekuatan yang kita miliki buat menegakkan kalimah Allah serta memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan ummah sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam. Oleh yang demikian penyatuan matlamat dan agenda merupakan suatu senarai teratas yang perlu diberi tumpuan. Mudah-mudahan usaha yang tinggi dapat meneruskan kelangsungan sebuah negara Malaysia yang permai lagi harmoni, mendapat pertolongan daripada Allah SWT hendaknya.

Wassalam.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Masjid Putra, Putrajaya
14 Jan 2014

No comments:

Post a Comment