Showing posts with label Teks Ucapan. Show all posts
Showing posts with label Teks Ucapan. Show all posts

Thursday, January 16, 2014

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H (2)

Petikan ucapan perasmian

….sejarah telah menyaksikan kejayaan nabi Muhammad saw mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar serta keunikan strategi mengintergrasikan pelbagai kaum termasuk suku-suku Yahudi dan Nashrani telah berjaya membentuk dan membawa Madinah menjadi sebagai sebuah negara yang membawa imej kecemerlangan Islam. Demikian jua hal, beta melihat kejayaan ini turut berkait rapat dengan nilai kepimpinan baginda dalam mengurus masyarakat majmuk berlainan latar belakang dan puak. Sebagai pemimpin baginda diiktiraf sebagai seorang yang bijak mentadbir, bijak mengatur strategi membentuk kesepaduan, membina infrastruktur, mengurus, pengurus yang teliti dan penuh diplomasi serta pakar dalam kemanusiaan dan ilmu pengetahuan.

Tepatlah seperti kata para sejarahwan bahawa kemunculan umat Islam ibarat bintang yang dalam sinarnya terkandung khazanah peradaban ilmu pengetahuan, nilai jati diri, kebijaksanaan dan kefahaman yang menyumbang secara tekal kepada kelangsungan tamadun ummah yang dirasai sehingga ke hari ini.

Hadirin sekalian, jika kita meneliti perkara asas dalam ajaran Islam dan pendekatan yang digunakan oleh rasulullah saw iaitu kesederhanaan dan keseimbangan ataupun wasatiyyah dalam beramal, baginda berjaya membuang tabiat buruk dan budaya fanatik di kalangan masyarakat dan menggantikannya dengan budaya toleransi dan saling memahami antara satu sama lain. Baginda rasulullah saw telah berjaya membuktikan bahawa kepelbagaian dalam masyarakat samaada dari segi bangsa keturunan, pegangan agama, budaya dan bahasa bukanlah suatu masalah dan penghalang kepada perpaduan. Asalkan kesederhanaan ataupun pendekatan wasatiyyah dijadikan amalan dalam kehidupan.

Dengan budaya sederhana dan berimbang ini baginda berjaya membentuk perpaduan dan kekuatan di kalangan umat Islam dan mengukuhkan perhubungan dengan bukan Islam di sebalik perbezaan yang wujud. Beta yakin sekiranya kita dapat menghayati pendekatan wasatiyyah maka perpaduan akan dapat dicapai dan kecemerlangan akan menjadi kenyataan. Ingatlah kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum akan banyak menyumbang ke arah memajukan lagi sosiol ekonomi negara kita yang tercinta.

Para hadirin sekalian, akhir-akhir ini beta melihat terdapat segelintir penganut Islam mudah terpengaruh dengan fahaman luar dan asing, yang dibawa masuk ke dalam masyarakat kita. Fahaman ini didapati ada yang tidak sesuai dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan amalan lazim umat Islam negara ini. Di satu sudut perbezaan pandangan atas dasar perbezaan mazhab yang berlainan dianggap isu yang remeh dan kecil kerana hanya melibatkan isu cabang dan ranting. Namun ingatlah, cara ianya dibahas, dipertikai, dibincangkan secara sinis dan melulu boleh mengundang perbalahan, mencetuskan polemik dan  boleh mengakibatkan perpecahan serta kegelisahan awam.

Sikap umat Islam yang lebih cenderung untuk terus berpolemik dalam perkara yang remeh temeh hanya membawa imej buruk kepada ummah yang dilihat sebagai tidak matang dan gagal menguasai pelbagai bidang ilmu. Sehubungan itu, beta mahu umat Islam di negara ini agar sentiasa berusaha memperkukuh persaudaraan serta mengharmonikan pandangan-pandangan yang berbeza dalam menilai sesuatu perkara. Perpaduan ini wajib dipupuk dan diperteguh agar umat Islam tidak dipandang rendah oleh musuh yang sentiasa berusaha meneruskan agenda mereka yang tersendiri.

Hadirin sekalian, bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, beta menyeru sekalian rakyat agar bersama-sama mengekal dan memperkukuhkan perpaduan dan membina kekuatan ummah bagi memajukan agama, bangsa dan negara. Marilah kita sama-sama menjayakan setiap usaha memperkukuh persaudaraan, pembaharuan dan perubahan dengan menggunakan acuan Islam sebagaimana yang diajar oleh nabi Muhammad saw……

Wassalam

Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
Masjid Putra, Putrajaya
14 Jan 2014.

Wednesday, January 15, 2014

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1435H (1)

Petikan ucapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Alhamdulillah pada hari yang penuh keberkatan ini kita bersyukur bersama-sama dapat berada pada majlis yang bersejarah, iaitulah Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Dalam usaha kita mengharungi era transformasi menuju abad mendatang, sewajarnya kita bersyukur kerana perhimpunan ini merupakan satu usaha yang sangat bermakna untuk kita mengingati kembali detik-detik kelahiran junjungan besar nabi Muhammad saw. Sebagai pembela ummah yang menyuluh dari kegelapan kepada cahaya petunjuk, dari kezaliman kepada keadilan, daripada kefasadan kepada ketauhidan dalam mendaulatkan agama Allah di muka bumi.

Baginda nabi saw dilahirkan sebagai pemimpin yang memenuhi fitrah manusia sejagat, melalui sifat-sifat mulia sepertimana amanah, shiddiq, tabliq dan fathonah. Menurut sirah, sebelum kerasulan pemimpin Quraisy pernah memberi gelaran iaitu Al-Amin kepada baginda rasul kerana keunggulan baginda dalam memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat. Gelaran Al-Amin ini telah membangkitkan rasa kasih sayang yang berterusan sebahagian besar masyarakat Quraisy kepada baginda.

Sebagaimana bersungguh-sungguhnya kita hari ini mengadakan sambutan ini bagi mengingati baginda rasul saw malah baginda lebih bersungguh-sungguh dalam memperingati kita umat baginda  ini  sehingga pernah rasulullah saw menyebutkan di hadapan sahabat-sahabat baginda. Di mana baginda menyebut: Aku ingin sekali bertemu dengan saudara-saudaraku. Apabila ditanyakan oleh para sahabat, ya rasulullah bukankah kami ini saudaramu ya  rasul. Baginda saw menjelaskan; kamu adalah sahabat-sahabatku tetapi yang dimaksudkan saudara-saudaraku ialah mereka yang beriman denganku  sedangkan mereka tidak pernah melihatku.(HR: Imam Ahmad)

Demikianlah dekatnya di hati rasulullah dengan kita yang ada pada hari ini. Sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian, percayalah bahawa nabi saw telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara. Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Tuhan dan kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sunnah nabawiyyah……

Yang diberikan keutamaan dalam misi rasulullah menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah. Umat Islam diikat erat dengan konsep tauhid; kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun, pada masa itu baginda juga sentiasa diterjah dengan pelbagai ancaman daripada musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengucar kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan di antaranya termasuk isu-isu agama, sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya  dan hilang intergritinya untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah rasulullah saw.

Dalam soal memelihara keharmonian agama, umat Islam dan bukan Islam mempunyai peranan yang sama penting. Di pihak bukan Islam, sebarang tuntutan yang diajukan perlulah munasabah dan rasional untuk mengelak apa jua pertembungan yang boleh merugikan semua pihak. Sikap emosional, keterlaluan dan terlalu mementingkan diri  perlu dibatasi dengan kewarasan dan rasionalisma yang berpijakkan keadilan. Walaupun kita menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam penyelesaiannya. Memilih jalan konfrastasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan harus dielak bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara. Hakikatnya, kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah jika kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama.

Dalam konteks negara Malaysia, agama Islam menjadi anutan majoriti. Oleh itu, sudah tentu nilai Islam menjadi asas kepada membina keharmonian masyarakat.Dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Walaupun kebebasan agama dibenarkan di negara kita, namun ianya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan atau pun agama negara. Bagaimana pun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Dalam usaha mengukuhkan Islam, Perlembagaan juga memperuntukkan Perkara 11(iv), sebarang dakyah atas umat Islam adalah amat dilarang. Justeru, agensi agama Persekutuan terutamanya JAKIM akan terus berganding bahu bersama Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri buat mempertahankan Islam daripada sebarang perlanggaran dan penghinaan terhadap Islam, termasuk hak kalimah Allah yang dipertahankan walaupun dengan segala upaya jua berdasarkan kepada peruntukkan perundangan yang diamalkan dalam negara.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian. Di akhir-akhir ini kita dapati pelbagai usaha yang terancang telah diatur bagi menggugat, buat mencabar hak kebebasan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Ia bukan sahaja dikeluarkan oleh kelompok-kelompok tertentu di dalam negara, dengan kemudahan dan sokongan media baru malah gerakan ini juga mendapat sokongan kelompok liberal antarabangsa. Usaha untuk mencabar keutuhan, kesusilaan ajaran Islam ini dapat kita dilihat dengan jelas menerusi penganjuran beberapa program yang mempromosikan budaya kebebasan melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan hak asasi manusia dan perjuangan yang berselindung di atas nama anti dinasti yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu.

Perkara ini khususnya, melalui teladan yang dikenakan terhadap negara kita untuk tunduk dan mengikut apa yang kononnya dikatakan sebagai International Standard and Law bagi membenarkan amalan kebebasan secara mutlak kononnya, sedangkan ianya bertentangan dengan prinsip serta ajaran Islam, nilai tradisi masyarakat negara ini dan juga semangat Perlembagaan Persekutuan.

Saya ingin menyatakan bahawa inilah propaganda fahaman pluralisme agama yang semakin hari semakin berkembang berlaku di negara umat Islam. Justeru, sekiranya kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan kita dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan seseorang muslim maka kita akan terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Bagi pihak kerajaan, kita akan sentiasa mengawal dan mencegah agar unsur-unsur pluralisme ini akan dapat dipantau dengan sebaiknya. Insya-Allah sebarang unsur kebebasan yang bercanggah dengan agama Islam, nilai moral serta adat resam masyarakat di negara ini dapat dihindar dengan sebaik mungkin.

Bertemakan Maulidur Rasul pada tahun ini dengan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, marilah kita menyuburkan lagi pendekatan sederhana yang telah sekian lama diajar oleh baginda rasul. Wasatiyyah adalah merujuk tentang pelaksanaan Islam secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama lain. Tetapi pada masa yang sama, Islam terus dihargai dan dimartabatkan.

Bukti Wasatiyyah, kesederhanaan dan keseimbangan ini telah ditunjukkan oleh baginda rasul saw di dalam sirahnya. Semasa rasulullah saw berdepan dengan keadaan untuk meletakkan Hajarul Aswad pada tempatnya, di sisi Kaabah yang baru saja dibina. Di saat pergaduhan hampir tercetus, masing-masing kabilah merasakan, menganggap mereka yang paling layak dan berhak meletakkan semula Hajarul Aswad di tempatnya. Setiap kabilah siap mengasah pedangnya, baginda telah menunjukkan kebijaksanaan dengan meletakkan Hajarul Aswad tersebut di atas sehelai kain. Dan baginda meminta ketua-ketua kabilah itu mengangkat pada setiap bucu dan penjuru secara bersama-sama. Dan baginda sendiri yang meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya.

Inilah yang menunjukkan betapa kebijaksanaan rasulullah dalam membuat keputusan demi memastikan ia tidak menimbulkan sebarang masalah yang berbangkit. Malaysia sememangnya sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip Wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara kita. Justeru ini, kita dapati tiada dalam sejarah negara, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, jauh peperangan, pergaduhan dan kaedah rigid yang menyusahkan. Sebaliknya, ajaran Islam disampaikan, disebarluaskan oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah, wasatiyyah. Sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan sampai ke peringkat yang sebawah-bawahnya.

Kerana itulah pendekatan kerajaan dengan menunjangi dasar Wasatiyyah yang dibawa oleh rasulullah saw adalah serius. Ia makin terserlah apabila di bawah kepimpinanYAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib, Malaysia telah berjaya menjadi model kepada gagasan Wasatiyyah antarabangsa. Ini terbukti dengan penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya dan Yayasan Pergerakan Kesejahteraan Global. Semuga Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1435H ini akan membawa satu dimensi baru kepada kita buat menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas perpaduan kita. Kita mendoakan semoga generasi hari ini dan masa akan datang, tetap teguh menjadikan bumi Malaysia yang berkat ini aman makmur,maju dan diredai Allah SWT.

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, pihak kerajaan Persekutuan telah memilih seramai sembilan orang tokoh untuk diberikan penghargaan. Yang akan disampaikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sebentar lagi. Saya bagi pihak kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah. Semuga penganugerahan ini menjadi dorongan dan juga motivasi.

Diakhiri ucapan saya ini dengan seruan; Marilah kita bersama-sama bersatu dalam mengemblengkan  segala sumber kekuatan yang kita miliki buat menegakkan kalimah Allah serta memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan ummah sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam. Oleh yang demikian penyatuan matlamat dan agenda merupakan suatu senarai teratas yang perlu diberi tumpuan. Mudah-mudahan usaha yang tinggi dapat meneruskan kelangsungan sebuah negara Malaysia yang permai lagi harmoni, mendapat pertolongan daripada Allah SWT hendaknya.

Wassalam.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Masjid Putra, Putrajaya
14 Jan 2014

Wednesday, April 17, 2013

Buka bicaranya


Puji-pujian bagi Allah Tuhan semesta alam, segala puji bagi Allah yang menyebut diriNya untuk  diriNya, segala puji bagi Allah yang memberi nikmat, yang memberi kurnia  kepada para kekasihNya, Dialah yang telah menghiasi tanah bumi ini dengan para auliatNya, lalu para auliat itu menjadi gugusan bintang-bintang ,gugusan bulan dan mentari di langit kewalian. Syukurlah kepada Allah atas ehsanNya, syukur kepada Allah atas kebaikanNya, atas rahmat dan kurniaNya, atas madat dan kelembutanNya, atas penjagaanNya, atas cahayaNya, atas utuhNya, atas taufikNya, atas pertolonganNya.

Selanjutnya selawat dan salam ke atas baginda, seafdal-afdal yang Allah pilih untuknya. Itulah baginda kita  saidina mualana Muhammad saw, penghulu segala nabi dan khatam para mus’alim juga ke atas ahli keluarga baginda yang baik, yang suci. Yang mereka itu mendapat keistimewaan beroleh kemuliaan maknawi dan isi  daripada baginda. Juga para sahabat baginda yang mukarabin, yang bercahaya pandangan hati mereka dengan cahaya mentari baginda saw berserta salam dengan sebanyak-banyaknya, selagi cahaya mentari tarekat masih bersinar dan selagi cahaya hakikat masih terjadi.

Wallahu a’lam

Sheikh Dr Mahmud Al-Maghlani
Madinah almunawarah
29 Mac 2013

Saturday, January 26, 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 4 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Bersempena tema Maulidur Rasul pada tahun ini, Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah, marilah kita mengukuhkan lagi pendekatan sederhana yang sekian lama diajar oleh baginda rasul saw. Malaysia sememangnya sebuah negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Al-Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara kita.

Justru kita dapati tiada dalam sejarah negara, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah yang menyusahkan. Nabi saw sendiri memberi peringatan keras tentang lawan kepada sifat sifat wasatiyyah ia itulah alwulu, melampau dan ekstrem.

Jauhilah melampau ( wulu )  dalam agama kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama.


      ( HR : Ibnu Majah dan Al-Nasai dalam sanad yang sahid )                   

Kita semua sedia maklum semua agama menyeru kepada kebaikan dan kerukunan dalam perhubungan sesama manusia. Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan atau agama keamanan sangat menuntut umatnya supaya menghormati sesama manusia meskipun anutan agama mereka berbeza dari Islam. Kalaupun menghadapi masalah, semua pihak harus memilih perundingan dalam menyelesaikannya. Memilih jalan konfrantasi dan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti melakukan keganasan  harus dielak bagi menjamin keutuhan sesebuah masyarakat dan negara.

Hakikatnya kestabilan dan keharmonian yang sedia terjalin akan musnah, kalau kita gagal memelihara keharmonian dan nilai yang dibawa oleh agama. Dalam konteks negara Malaysia, agama Islam sebagai anutan majoriti oleh itu sudah tentu nilai Islam menjadi asas kepada pembinaan keharmonian masyarakat dan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Ini bermakna sifat wasatiyyah yang perlu diyakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan samaada dari sudut akidah, syariah dan akhlak secara individu atau berkumpulan.

Di samping itu, kita perlu menyakini bahawa  wulu atau ekstrem di dalam agama bakal merosakkan akidah, syariah dan akhlak samaada secara individu atau berkumpulan kerana itu hasrat kerajaan untuk menunjangi gagasan wasatiyyah yang dibawa oleh  rasulullah saw amat serius. Ia makin terserlah apabila di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia telah berjaya menjadi model kepada gagasan wasatiyyah antarabangsa. Ini terbukti dengan penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya dan Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global.

Semoga tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah sempena Maulidur Rasul pada tahun 1434 ini akan membawa satu dimensi baru kepada kita untuk menyedari bahawa nilai-nilai kesederhanaan perlu dijadikan asas kepada perpaduan kita.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 3 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Menyusuri sirah rasulullah saw dalam asas pembinaan Madinah, berjaya membentuk masyarakat berbilang agama sebagai landasan persefahaman yang unik. Kaum Muhajirin dan Anshar diikat persaudaraan mereka dengan talian akidah yang sama. Orang Yahudi, Nashrani dan Majusi dikaitkan hubungannya dengan orang Islam berasaskan saifah atau piagam yang sepakat bersama.  Dari situ Madinah berkembang menjadi sebuah kota yang akhirnya menjadi model sebuah tamadun.

Semangat saifah Madinah ini seharusnya menjadi landasan membangunkan masyarakat majmuk. Malaysia sebagai sebuah contoh terbaik negara majmuk boleh mengambil landasan ini sebagai asas membentuk negaranya. Yang berbeza hanya akidah dan kepercayaan kepada Tuhan. Etika perbezaan harus dipupuk dan difahami dan asas persamaan berdasarkan fitrah nilai dan bersama dikongsi harus disuburkan supaya hubungan sosial dan komunikasi antara kaum berdiri atas asas amanah, adil, saksama, timbang rasa, tulus dan juga telus.

Asas nilai ini amat penting menjadi pedoman setiap warga Malaysia kerana daripadanyalah lahir keyakinan dan kepercayaan tinggi di kalangan warganya dan menjadi asas ke arah intergrasi kaum, orientasi pembangunan dan pengurusan negara akan berlaku secara seimbang supaya wujud penyertaan adil ke arah bina negara terarah yang akhirnya bakal melahirkan rasa sejahtera di kalangan setiap warganya.

Piagam Madinah, cukup jelas mengenai hubungan dan hak orang Muhajirin dan Anshar dan hubungan serta hak orang bukan Islam. Golongan Muhajirin dan Anshar menjadi kelompok teratas mencerminkan rasa persaudaraan tinggi dan tauladan yang memperlihatkan contoh dan ikutan rasulullah saw boleh diterima oleh semua kaum sebagai pemimpin, dipercayai menjadi pelindung, kepentingan dan kebebasan orang yang bukan Islam.

Asas ini penting dikembangkan kerana walaupun nabi Muhammad saw seorang Islam tetapi kualiti dirinya memancar rasa amanah yang tinggi, keadilan yang jelas, daya kepimpinan telus dan pengendalian urusan yang amanah. Kualiti nilai ini tidak sahaja penting bagi orang Islam tetapi juga bermanfaat bagi bukan Islam. Yang diutamakan orang bukan Islam ialah pemimpin yang adil, amanah, jujur dan ikhlas. Inilah intisari risalah Quran yang serasi dengan fitrah manusia. Nilai Al-Quran ini yang menganjurkan kemakrufan itu amalan baik dan menolak kemungkaran atau nilai yang buruk.

Pancaran nilai Quran ini tidak hanya terikat, terlihat dalam kekuatan ruhaniah insan tetapi ia terpancar dalam amal. Program memaju dan merubah masyarakat, memperkasa ilmu pengetahuan, tolak ansur terhadap nilai budaya dan tamadun berbeza dalam masa yang sama memanfaatkan nilai budaya yang menyumbang ke arah kebaikan dan pembangunan masyarakat.

Masyarakat Malaysia yang kompleks memerlukan ramuan yang dapat membimbing warganya ke arah persefahaman tinggi dan pengertian mendalam dalam perbalahan bahawa disebabkan adanya perbedaan kepercayaan boleh menyebabkan ketidakstabilan berlaku. Tetapi asas kepercayaan yang memancar nilai dan etika baik harusnya berkembang dan dijadikan sandaran untuk disuburkan. Nilai kasih sayang dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain adalah kualiti komunikasi yang amat penting dalam berjiran, berjual beli dan lain-lainnya.

Apalagi dalam pengurusan negara, orang Islam yang diamanahkan menjadi teras kepimpinan negara agar sentiasa ingat bahawa menzalimi dan menafikan hak orang lain adalah sesuatu yang tidak selari dengan ajaran Al-Quran. Menjadikan kepimpinan Islam sebagai satu contoh adalah menjadi suatu tuntutan supaya maksud rahmah alamiah yang menjadi tujuan utama rasulullah saw dihantar dan Al-Quran diturunkan bakal memberikan rasa selamat dan sejahtera bagi setiap warganya. Ia bakal mencetuskan rasa percaya yang tinggi dan Islam tidak dilihat sebagai agama yang mendalamkan lagi perkauman yang tinggi tetapi sebagai sumber amanah, adil, telus dan juga tulus.

Namun begitu sejarah membuktikan golongan bukan Islam walaupun minoriti mereka tidak pernah dipinggir dan diketepikan. Peruntukkan Perlembagaan memberikan mereka kebebasan dan jaminan untuk mengamalkan apa jua nilai yang diajar oleh agama masing-masing. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita merdeka. Keharmonian ini seharusnya dipelihara dan dipupuk sepanjang masa serta mempertingkatkan dari masa ke semasa.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 2 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Sempena hari yang bersejarah ini, saya ingin mengimbau sejarah yang mencetuskan gagasan Maulidur Rasul saw. Ia sebenarnya bermula pada era pemerintahan panglima Islam yang terkenal iaitu Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Ketika ummah semakin dibelai  dengan kilauan dunia, jiwa semakin dihimpit dengan penyakit wahan, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati, Sultan Salahuddin tampil dengan membawa satu gagasan, gagasan yang tidak lain bertujuan untuk menyemai dan membangkitkan semangat perjuangan.

Umat Islam yang leka dibuai mimpi digerakkan lalu dibangunkan. Setiap detik, sirah peninggalan nabi Muhammad saw dijejak satu persatu, setiap lembaran dihadami dan disulami dengan semangat jihad dan perjuangan. Akhirnya segala-galanya telah terbukti. Sultan Salahuddin berjaya mengelodak seluruh jiwa umat untuk bangkit membebaskan Al-Aqsa, semangat umat Islam dalam menghadapi perang Salib bergelora kembali. Hari Jumaat 27 Rejab bersamaan 538H menjadi saksi Baitul Makdis kembali ke tangan ummah.

Hari ini kita melihat kembali Baitul Makdis berada di dalam gengaman bukan umat Islam tetapi Baitul Makdis yang mendapat kemuliaan Al-Quran, bumi yang mendapat kemuliaan daripada Allah swt dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Sesungguhnya kita mengharapkan akan ada nanti Salahuddin Al-Ayubi yang ke-2, akan ada nanti tentera-tentera Islam yang ke-2 yang membebaskan Baitul Makdis.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 1 )


Petikan teks ucapan

Alhamdulillah dalam suasana pagi yang penuh keberkatan ini di dalam rumah Allah, di dalam Masjid Putra, lambang ketauhidan dan penyatuan ummah, marilah sama-sama kita bersyukur kerana dapat berada dalam majlis yang bersejarah dalam usaha kita bagi mengharungi era transformasi menuju abad mendatang.

Sewajarnya kita syukuri kerana perhimpunan ini merupakan suatu usaha yang amat bermakna untuk kita mengingati kembali detik-detik kelahiran rasulullah saw ke muka bumi sebagai pembela ummah, penyuluh kegelapan, penyeri kehidupan, penegak keadilan, penghapus kezaliman, pengagung ketauhidan dan penyinar sekalian alam demi mendaulatkan kalimah Allah swt ke makam yang setinggi-tinggi dan selayak-layaknya.

Mengimbau kembali ke era sebelum perutusan nabi Muhammad saw, manusia berada di dalam situasi penderitaan dan kezaliman sekalipun sudah ujud negara-negara yang dikatakan bertamadun namun penderitaan, penindasan, kezaliman dan penghambaan sesama manusia tidak pernah terhenti.Yang kaya menindas yang miskin, yang berkuasa memperhamba rakyat biasa, jenayah kemanusiaan berleluasa, yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar sehingga dunia benar-benar kontang dari pedoman dan kebenaran.

Di kala itu jua, wujud agama-agama yang berasal daripada agama wahyu iaitu Yahudi dan Nasrani yang dibawa nabi dan rasul terdahulu, namun begitu kerana mengikut hawa nafsu, gilakan pangkat dan harta benda para rahib dan pendeta itu sanggup meminda ajaran rasul lalu mengubah peribadatan manusia kepada Allah, kepada peribadatan manusia sesama manusia. Mereka mengubah hukum hakam Allah swt lalu menukarnya dengan peraturan sendiri sambil mendakwa itulah hukum hakam yang diturunkan Allah swt semata-mata demi meraih kuasa dan pengaruh.

Mereka inilah golongan yang benar-benar berdusta. Allah swt menempelak mereka dalam Surah Al-Baqarah ayat 79 :
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis kitab Taurat dengan tangan mereka, lalu mengubah kalam Allah dengan rekaan mereka. Kemudian mereka berkata : ini ialah dari sisi Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu mereka dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis dengan tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

Dalam kekalutan itulah, berita kelahiran dan kemunculan rasulullah saw sentiasa dinanti-nantikan bahkan mereka amat menyakini bahawa suatu masa nanti kebangkitan rasul itu pasti terjadi. Kelahiran rasulullah saw bukanlah suatu kelahiran biasa, ia kelahiran yang penuh dengan hasrat rabaniah yang diatur oleh Yang Maha Bijaksana. Baginda dilahirkan sebagai insan yang paling terpilih dan jua dari kalangan insan yang terpilih. Demikian hebatnya persiapan membangkitkan rasul ini menunjukkan betapa hebatnya risalah dan amanah yang digalas oleh rasulullah saw.

Tidakkah kita sebagai umat Islam seharusnya merasa bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang telah disampaikan baginda. Apakah kita telah benar-benar mematuhi dan juga memenuhi apa yang dikehendaki rasulullah saw selama ini.Inilah apa yang perlu menjadi muhasabah kita pada pagi yang mulia ini dalam kita menyambut Maulidur Rasul saw 1434H ini.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013