Petikan teks ucapan
Alhamdulillah dalam suasana pagi yang penuh keberkatan ini di dalam rumah
Allah, di dalam Masjid Putra, lambang ketauhidan dan penyatuan ummah, marilah
sama-sama kita bersyukur kerana dapat berada dalam majlis yang bersejarah dalam
usaha kita bagi mengharungi era transformasi menuju abad mendatang.
Sewajarnya kita syukuri kerana perhimpunan ini merupakan suatu usaha yang
amat bermakna untuk kita mengingati kembali detik-detik kelahiran rasulullah
saw ke muka bumi sebagai pembela ummah, penyuluh kegelapan, penyeri kehidupan,
penegak keadilan, penghapus kezaliman, pengagung ketauhidan dan penyinar
sekalian alam demi mendaulatkan kalimah Allah swt ke makam yang setinggi-tinggi
dan selayak-layaknya.
Mengimbau kembali ke era sebelum perutusan nabi Muhammad saw, manusia
berada di dalam situasi penderitaan dan kezaliman sekalipun sudah ujud negara-negara
yang dikatakan bertamadun namun penderitaan, penindasan, kezaliman dan
penghambaan sesama manusia tidak pernah terhenti.Yang kaya menindas yang
miskin, yang berkuasa memperhamba rakyat biasa, jenayah kemanusiaan berleluasa,
yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar sehingga dunia
benar-benar kontang dari pedoman dan kebenaran.
Di kala itu jua, wujud agama-agama yang berasal daripada agama wahyu iaitu
Yahudi dan Nasrani yang dibawa nabi dan rasul terdahulu, namun begitu kerana
mengikut hawa nafsu, gilakan pangkat dan harta benda para rahib dan pendeta itu
sanggup meminda ajaran rasul lalu mengubah peribadatan manusia kepada Allah,
kepada peribadatan manusia sesama manusia. Mereka mengubah hukum hakam Allah
swt lalu menukarnya dengan peraturan sendiri sambil mendakwa itulah hukum hakam
yang diturunkan Allah swt semata-mata demi meraih kuasa dan pengaruh.
Mereka inilah golongan yang benar-benar berdusta. Allah swt menempelak
mereka dalam Surah Al-Baqarah ayat 79 :
Kecelakaan besar bagi
orang-orang yang menulis kitab Taurat dengan tangan mereka, lalu mengubah kalam
Allah dengan rekaan mereka. Kemudian mereka berkata : ini ialah dari sisi
Allah, supaya mereka dengan perbuatan itu mereka dapat membeli keuntungan dunia
yang sedikit. Kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis dengan
tangan mereka dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan
itu.
Dalam kekalutan itulah, berita kelahiran dan kemunculan rasulullah saw
sentiasa dinanti-nantikan bahkan mereka amat menyakini bahawa suatu masa nanti
kebangkitan rasul itu pasti terjadi. Kelahiran rasulullah saw bukanlah suatu
kelahiran biasa, ia kelahiran yang penuh dengan hasrat rabaniah yang diatur
oleh Yang Maha Bijaksana. Baginda dilahirkan sebagai insan yang paling terpilih
dan jua dari kalangan insan yang terpilih. Demikian hebatnya persiapan
membangkitkan rasul ini menunjukkan betapa hebatnya risalah dan amanah yang
digalas oleh rasulullah saw.
Tidakkah kita sebagai umat Islam seharusnya merasa bersyukur atas nikmat
iman dan Islam yang telah disampaikan baginda. Apakah kita telah benar-benar
mematuhi dan juga memenuhi apa yang dikehendaki rasulullah saw selama ini.Inilah
apa yang perlu menjadi muhasabah kita pada pagi yang mulia ini dalam kita
menyambut Maulidur Rasul saw 1434H ini.
Datuk Seri Jamil Khir
Baharom
Menteri di Jabatan Perdana
Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013
No comments:
Post a Comment