Saturday, January 26, 2013

Ucapan Maulidur Rasul Kebangsaan 1434H ( 3 )


Sambungan petikan teks ucapan...........

Menyusuri sirah rasulullah saw dalam asas pembinaan Madinah, berjaya membentuk masyarakat berbilang agama sebagai landasan persefahaman yang unik. Kaum Muhajirin dan Anshar diikat persaudaraan mereka dengan talian akidah yang sama. Orang Yahudi, Nashrani dan Majusi dikaitkan hubungannya dengan orang Islam berasaskan saifah atau piagam yang sepakat bersama.  Dari situ Madinah berkembang menjadi sebuah kota yang akhirnya menjadi model sebuah tamadun.

Semangat saifah Madinah ini seharusnya menjadi landasan membangunkan masyarakat majmuk. Malaysia sebagai sebuah contoh terbaik negara majmuk boleh mengambil landasan ini sebagai asas membentuk negaranya. Yang berbeza hanya akidah dan kepercayaan kepada Tuhan. Etika perbezaan harus dipupuk dan difahami dan asas persamaan berdasarkan fitrah nilai dan bersama dikongsi harus disuburkan supaya hubungan sosial dan komunikasi antara kaum berdiri atas asas amanah, adil, saksama, timbang rasa, tulus dan juga telus.

Asas nilai ini amat penting menjadi pedoman setiap warga Malaysia kerana daripadanyalah lahir keyakinan dan kepercayaan tinggi di kalangan warganya dan menjadi asas ke arah intergrasi kaum, orientasi pembangunan dan pengurusan negara akan berlaku secara seimbang supaya wujud penyertaan adil ke arah bina negara terarah yang akhirnya bakal melahirkan rasa sejahtera di kalangan setiap warganya.

Piagam Madinah, cukup jelas mengenai hubungan dan hak orang Muhajirin dan Anshar dan hubungan serta hak orang bukan Islam. Golongan Muhajirin dan Anshar menjadi kelompok teratas mencerminkan rasa persaudaraan tinggi dan tauladan yang memperlihatkan contoh dan ikutan rasulullah saw boleh diterima oleh semua kaum sebagai pemimpin, dipercayai menjadi pelindung, kepentingan dan kebebasan orang yang bukan Islam.

Asas ini penting dikembangkan kerana walaupun nabi Muhammad saw seorang Islam tetapi kualiti dirinya memancar rasa amanah yang tinggi, keadilan yang jelas, daya kepimpinan telus dan pengendalian urusan yang amanah. Kualiti nilai ini tidak sahaja penting bagi orang Islam tetapi juga bermanfaat bagi bukan Islam. Yang diutamakan orang bukan Islam ialah pemimpin yang adil, amanah, jujur dan ikhlas. Inilah intisari risalah Quran yang serasi dengan fitrah manusia. Nilai Al-Quran ini yang menganjurkan kemakrufan itu amalan baik dan menolak kemungkaran atau nilai yang buruk.

Pancaran nilai Quran ini tidak hanya terikat, terlihat dalam kekuatan ruhaniah insan tetapi ia terpancar dalam amal. Program memaju dan merubah masyarakat, memperkasa ilmu pengetahuan, tolak ansur terhadap nilai budaya dan tamadun berbeza dalam masa yang sama memanfaatkan nilai budaya yang menyumbang ke arah kebaikan dan pembangunan masyarakat.

Masyarakat Malaysia yang kompleks memerlukan ramuan yang dapat membimbing warganya ke arah persefahaman tinggi dan pengertian mendalam dalam perbalahan bahawa disebabkan adanya perbedaan kepercayaan boleh menyebabkan ketidakstabilan berlaku. Tetapi asas kepercayaan yang memancar nilai dan etika baik harusnya berkembang dan dijadikan sandaran untuk disuburkan. Nilai kasih sayang dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain adalah kualiti komunikasi yang amat penting dalam berjiran, berjual beli dan lain-lainnya.

Apalagi dalam pengurusan negara, orang Islam yang diamanahkan menjadi teras kepimpinan negara agar sentiasa ingat bahawa menzalimi dan menafikan hak orang lain adalah sesuatu yang tidak selari dengan ajaran Al-Quran. Menjadikan kepimpinan Islam sebagai satu contoh adalah menjadi suatu tuntutan supaya maksud rahmah alamiah yang menjadi tujuan utama rasulullah saw dihantar dan Al-Quran diturunkan bakal memberikan rasa selamat dan sejahtera bagi setiap warganya. Ia bakal mencetuskan rasa percaya yang tinggi dan Islam tidak dilihat sebagai agama yang mendalamkan lagi perkauman yang tinggi tetapi sebagai sumber amanah, adil, telus dan juga tulus.

Namun begitu sejarah membuktikan golongan bukan Islam walaupun minoriti mereka tidak pernah dipinggir dan diketepikan. Peruntukkan Perlembagaan memberikan mereka kebebasan dan jaminan untuk mengamalkan apa jua nilai yang diajar oleh agama masing-masing. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita merdeka. Keharmonian ini seharusnya dipelihara dan dipupuk sepanjang masa serta mempertingkatkan dari masa ke semasa.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Putrajaya
24 Jan 2013

No comments:

Post a Comment