100 Kuota tambahan untuk pelajar miskin yang tercicir ke IPTA
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
berkata pihaknya mendapati ramai pelajar yang menepati syarat kelayakan
memasuki IPTA dan politeknik, namun terkandas kerana tidak mampu bersaing
dengan pelajar cemerlang berasaskan prinsip meritokrasi.
Beliau berkata golongan ini adalah pelajar yang lulus syarat am
dan program tertentu di unversiti dan adalah dalam kategori miskin bandar,
miskin luar bandar, minoriti, kaum asli dan ibu bapanya daripada golongan orang
kurang upaya (OKU).
"Kita ada 32 politeknik dan 20 buah IPTA di seluruh negara,
jadi setiap satu akan menyediakan kuota tersebut, ia akan mula dilaksanakan
tahun ini bagi semua jurusan pengajian bagi program diploma dan ijazah,"
katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Pengajian Tinggi 2013
ke sembilan serta penyampaian cek olok-olok bagi baucar buku 1Malaysia (BB1M) di
sini.
Mohamed Khaled berkata kerajaan memperluaskan lagi akses
pendidikan tinggi selepas mengambil kira golongan pelajar yang layak namun
tidak bernasib baik.
"Buat masa ini, kita akan mulakan dengan jumlah 100
kemasukan supaya tidak menjejaskan kuota yang telah disediakan kepada pelajar
cemerlang berasaskan meritokrasi," katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, sejumlah 160,000 tempat
disediakan untuk kemasukan ke IPTA serta Institut Latihan dan Kemahiran, dan ia
tidak termasuk 130,000 peluang kemasukan ke IPTS.
"Kemasukan pelajar baharu bagi kalendar akademik IPTA sesi
2013 dan 2014 akan bermula pada 1 dan 2 September bagi pelajar STPM dan setaraf
bagi program ijazah pertama, 2 Jun bagi pelajar lepasan SPM dan setaraf bagi
program diploma dan 26 Mei bagi program asasi," katanya.
Sejumlah RM325 juta BBIM diagih kepada pelajar IPTA, IPTS dan
politeknik mulai Sabtu. BERNAMA
mstar.com.my
26 Jan 2013
No comments:
Post a Comment