Salam dari Soekarno-Hatta.
Seperti saya titipkan dari Doha dua tahun lepas, lapangan terbang masih suatu
tempat aneh untuk saya.Terpuruk antara pelbagai zon waktu, terperangkap dalam
transit antara destinasi, dipenuhi pula fizikal insan yang berbeza dan bahasa
pelik – persis dalam twilight zone sahaja.Lazimnya, masa terluang dalam
penantian akan saya isi dengan memerhati gelagat manusia, tapi kali ini sorotan
pendapat dalam The Jakarta Post telah mencuri perhatian saya secara total.
Gordon La Forge – seorang guru
lawatan di Kalimantan dan Sumatra melalui program pertukaran pendidikan
bilateral – telah menulis kepada sidang redaksi akhbar tersebut tentang
pengamatan beliau selama berada dalam sistem pendidikan Indonesia.Beliau mendapati
pelajar Indonesia kerap meniru dan merujuk nota ketika menempuhi apa-apa
peperiksaan.
Lalu saya terfikir, sejauh mana
keberkesanan peperiksaan atau ujian dalam
sistem pendidikan yang berhasrat untuk melahirkan insan syumul? Pujangga
Inggeris, Robert Frost, punya pendapat berbeza tentang pendidikan secara amnya:
“I am not a teacher, but an awakener.” Sekiranya tugas seorang guru itu untuk
menyalakan obor, membakar semangat ingin tahu, mendorong rasa untuk menjajah
setiap zon pengetahuan – bukan untuk mengajar secara robotik – maka pencapaian
akademik tidak boleh dijadikan kayu ukur kecemerlangan seseorang.
Benar, peperiksaan peringkat
nasional seperti Sijil Pelajaran Malayasia (SPM) masih relevan untuk mengukur
kecenderungan dan kemampuan seseorang sebelum melangkah ke menara gading. Apa
yang dipersoalkan sekarang adalah sejauh mana keberkesanan peperiksaan atau
ujian semester di peringkat sekolah? Perlukah kita bertungkus-lumus memastikan
anak-anak meraih “A” dalam setiap mata pelajaran?
Sistem pendidikan Eropah,
khususnya Finland
telah membuat keputusan sangat tepat 50 tahun lalu, apabila mereka membebaskan
pendidikan negara dari sistem ortodoks. Secaranya ringkasnya, guru-guru di
Finland mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan jalan terbaik dalam mendidik
anak muridnya menghadapi kehidupan apabila dewasa kelak. Finland juga
tidak percaya pada ujian dan peperiksaan, hanya ada satu peperiksaan perlu
ditempuh pelajar yang setara dengan SPM di Malaysia. Tiada sekolah swasta,
manakala orang-orang yang menentukan hala tuju sistem pendidikan Finland adalah
pendidik, bukan ahli politik.
Anak-anak di Finland meluangkan banyak masa di luar kelas dan
pilihan mata pelajaran mereka juga lebih unik seawal darjah satu lagi: Bahasa Finland ,
Matematik, Sains, Muzik, Sukan, Agama dan Kraf tangan Tekstil. Kombinasi mata
pelajaran peringkat awal negara itu jelas menunjukkan mereka berusaha mencari
jalan untuk melengkapkan insan, bukan mencipta robot. Hasilnya sekarang Finland dinobat
antara negara yang punyai sistem pendidikan terbaik seantero dunia.
Saya percaya jalan pendidikan untuk
Bukan itu saja, kita juga perlu
menitikberatkan bidang vokasional dalam sistem pendidikan negara. Kalau
anak-anak tidak gah pencapaian akademik, jalan menuju cemerlang masih boleh
dirintis melalui kemahiran pentadbiran, perniagaan, pertanian, teknologi
maklumat, automobil, latihan makmal dan pustakawan.
Saya galas harapan pendidikan
untuk generasi akan datang di bahu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025. Walau indah di kertas, pelaksanaan perlu dipantau habis-habisan jika
kita mahukan hasil yang mantap. Jangan lupa, masalah PPSMI perlu dilangsai
segera. Usah jadi enau dalam belukar, galak melepaskan pucuk sendiri tapi masa
depan anak-anak tersangkal dalam megalomania orang lain.
Merintihlah watan, merangkaklah
cendekiawan jika kita terus-terusan mengagungkan pencapaian akademik semata.
Elviza Michele Kamal
Sinar Harian
1 Jan 2015
No comments:
Post a Comment