Monday, December 30, 2013

Sarawak

Bumi Kenyalang itulah nama
Negeri Sarawak semakin ternama
Tanahnya subur sejak selama
Rakyat harmoni hidup bersama.

Bandar Kuching semakin ceria
Rakyatnya mewah hidup bergaya
Siapa yang rajin maju nescaya
Yang penting tekun yakin percaya.
 
Gua Niah gua terbesar
Di atas bukit kawah di dasar
Aliran sungai tenang berpusar
Anugerah alam yang Maha Besar.

Gunung Mulu rabung negeri
Dari udara nampak berdiri
Indahnya alam tidak terperi
Ingin melihat datang sendiri.

Jangan lupa Kampung Budaya
Di bumi Santubong seninya kaya
Berkumpul datang ramai berkarya
Menaikkan nama negeri berjaya.

Sungai Rejang sungai ternama
Dimudik orang sejak lama
Jadi hubungan jalan utama
Khazanah alam warisan bersama.

Bujang senang bukan sembarangan
Buaya besar tiada tandingan
Berjemur megah tepi tebingan
Bahaya jangan diambil ringan.

Sagu yang enak makanan ruji
Dimasak berlauk adunan kanji
Makan bersama meneguh kanji
Mengerat hubungan kukuh terpuji.

Terubuk masin adunan juadah
Hasil Sarawak enak di lidah
Di mana-mana terkenal sudah
Dijual merata sampai ke Kedah.

Tanahnya luas hijau lestari
Kaum pelbagai adat berdiri
Bersatu hati mandat diberi
Dipimpin adil junjungan negeri.

Banyak bahagian juga daerah
Sarawak maju terus terarah
Berkat pengalaman kaya sejarah
Menyatu warga semuanya pasrah.

Bumi Kenyalang negeri berkembang
Dari Sarikei sampai ke Limbang
Perpaduan kaum menjadi lambang
Rohani jasmani erat seimbang.

Ghazali Lateh
Negara Tercinta, 2013

No comments:

Post a Comment