Sambutan tahun 2014 sudah pasti disambut dengan gembira dan duka oleh
rakyat negara ini. Gembira mungkin pada sesetengah wakil rakyat dan pemimpin di
beberapa buah negeri mendapat kenaikan gaji dan elaun. Episod duka mungkin
bertandang di hati rakyat marhaen kerana terpaksa membayar harga cukai pintu
dan tol yang lebih akibat kenaikan dua perkara itu di sesetengah wilayah
menjelang mentari tahun 2014.
Namun dalam kita mengukur kehidupan dengan petunjuk ekonomi dan angka
sebagai sandaran kemajuan, jangan pula kita melupakan fakta penting bahawa kita
meminjam dunia ini dari generasi masa depan. Adakah kita mahu anak-anak kita dibayangi hidup mereka dengan faktor
keduniaan hingga mereka melihat hidup mereka adalah untuk memenuhi nafsu
material bersifat kewangan semata-mata?
Hari ini insya-Allah anak kita menerima keputusan peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) 2013 namun kita lupa adakah anak kita sudah lulus UPSR,
PMR, SPM dan STPM dan MBA untuk persediaan mereka ke dunia akhirat kelak.
Memang peperiksaan yang dinyatakan di atas, kebanyakan dari kita sudah
mengambilnya namun di sebalik peperiksaan tersebut tersimpan makna dan hikmah
untuk dihayati bagi memastikan kita melahirkan generasi masa depan yang mampu mewarisi
negara ini dengan acuan dukhrawi (dunia dan ukhrawi).
Pastikan anak kita lulus dalam Usaha Pratikkan
Sunnah Rasulullah (UPSR) iaitu menjadi seorang manusia yang
bersifat jujur dan bijaksana dalam menjalani kehidupan dalam dunia di hujung
jari. Biarlah amalan mereka bersandarkan sunnah nabi Muhammad saw dalam
menghadapi godaan dunia internet yang ada kalanya lebih bersifat merosakkan
daripada memberi kebaikan.
Dengan kemunculan laman sosial sejak muncul Myspace, Internet Relay
Chat@IRC (laman sembang), Facebook, Twitter, Instagram dan blog-blog interaktif
cabaran mendidik anak-anak muda semakin rumit. Oleh itu adalah penting untuk
sistem pendidikan kita dan ibu bapa sendiri memantau pergerakan anak-anak
semasa melayari laman-laman sosial tersebut. Anggaplah perkara-perkara tersebut
sebagai pisau yang tajam. Boleh membunuh dan memotong sayur untuk dimasak.
Terpulang kepada ibu bapa mendidik anak cara menggunakan pisau dengan
sebaiknya.
Selain UPSR tersebut pastikan anak kita lulus PMR iaitu Puasa Masa Ramadan. Dengan amalan berpuasa
diamal dengan sempurna ia mampu membentuk generasi yang empati terhadap nasib
orang miskin dan kelaparan. Puasa atau as-siyam dalam bahasa arab juga banyak
hikmahnya dari sudut kesihatan. Selama hampir 336 hari kita menyumbat segala
jenis makanan dalam perut, hanya untuk 30 hari kita berpuasa demi memenuhi
rukun Islam yang ketiga.
Setelah lulus UPSR dan PMR pastikan anak kita lulus SPM untuk akhirat iaitu
Solat Pada Masanya. Dengan mengerjakan
amalan solat wajib wajib lima kali sehari, anak-anak kita akan dididik menjadi
manusia yang menepati masa dan menghargai setiap 86400 saat yang diperuntukkan
dalam 24 jam sehari. Solat adalah perkara wajib yang tinggi ganjarannya jika
dilakukan berjemaah. Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak masing-masing
mempunyai fadilatnya yang tersendiri.
Bagi memperbanyakkan amal umat Islam boleh menunaikan solat sunat sebanyak
mungkin. Sebagai tiang agama jika anak kita berjaya lulus SPM versi akhirat ini
sudah pasti kita mempunyai generasi akan datang yang akan melakukan kerja dan
menyiapkan projek mengikut jadual dan akan menjimatkan kos.
Kejayaan dalam SPM tersebut akan memungkinkan kita mewujudkan generasi yang mampu lulus STPM dan MBA. STPM adalah Siapkan Tabungan
Pergi Mekah, pergi bukan setakat pergi melancong tetapi
menunaikan haji atau umrah demi memperkukuhkan diri sebagai seorang muslim yang
sejati.
Rukun Islam yang kelima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan
solat fardhu lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan ramadan, menunaikan
zakat dan mengerjakan haji di baitullah perlu dihayati sebelum lulus kesemua
peperiksaan ini. Setelah lengkap kesemua sijil tersebut barulah layak mengambil
MBA bukannya Sarjana Pentadbiran Perniagaan tetapi Mesti
Bersihkan Aset dengan menunaikan zakat fitrah pada bulan
Ramadhan dan zakat harta jika cukup syaratnya.
Dalam meraikan kejayaan anak-anak kita lulus peperiksaan ingatlah bahawa
anak-anak kita inilah yang akan menjadi kita di masa depan. Jika kita asyik
memberi galakan untuk lulus peperiksaan akademik semata-mata tetapi alpa dengan
peperiksaan yang melibatkan solat, puasa, haji dan zakat anak-anak maka kita
sedang mencipta anak-anak yang hanya pandai bertanya khabar ibu bapa dengan whatsApp dan bertemu di laman sembang
semata-mata.
Justeru, kita perlu mempersiapkan masa depan anak kita hari ini, kerana
kita tidak mahu terus melahirkan generasi masa depan yang hanya mahu cemerlang
sebagai pelajar tetapi tidak sebagai anak, umat Islam yang kukuh akidah dan
amalan selaras Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jangan pula kita lupa pinjaman masa hari ini wajib dibayar pada masa depan
oleh generasi yang kita didik hari ini. Oleh itu jangan pula generasi terdahulu
marah kepada generasi hari ini yang terlalu banyak diberi kebebasan di dunia
maya.
Wallahu alam.
Abdul Razak Idris
Utusan Melayu
20 Disember 2013
No comments:
Post a Comment