Kebanyakkan kita biasa dengan persepsi bahawa
menuntut dalam bidang perubatan untuk bergelar doktor adalah sesuatu yang
sukar. Selain itu, kita golongan orang
biasa-biasa ini sering berasakan untuk menghafaz 30 juzuk sebuah al-Quran
adalah sesuatu yang agak payah apatah lagi bukan berlatarbelakangkan pendidikan
di sekolah tahfiz.
Bagaimanapun kedua-dua sangkaan yang menghalang
minda untuk menuju kejayaan itu berjaya diharungi oleh Dr Fatimah Zaharah Rosli,
29. Doktor muda itu yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Tampin, Negeri
Sembilan, membuktikan balajar di bidang perubatan dan dalam masa sama menghafaz
sebuah al-Quran bukanlah sesuatu yang mustahil.
Menceritakan sejarahnya yang tekad menjadi
hafizah, Dr Fatimah berkata, ia bermula hanya ketika mula mengenali seorang
wanita tempatan di Mesir dikenali sebagai Syeikhah Effat yang merupakan guru
kelas bahasa Arabnya. Ketika itu beliau dalam tahun pertama di Universiti Ain
Shams, Kaherah di negara padang pasir itu. Menurutnya, perkenalan tersebut
merupakan titik tolak dalam hidupnya membuatkannya tekad untuk menghafaz
al-Quran sebelum menamatkan ijazah.
Syeikhah Effat menceritakan pengalamannya yang
mula menghafaz al-Quran pada usia 40 tahun, manakala ibunya pada usia 60 tahun.
Dalam kelas beliau juga ada yang terdiri daripada pelajar Arab dan Malaysia.
Beliau adakan
kuiz-kuiz untuk uji kecerdasan minda, dan alhamdulillah selalunya saya antara
yang boleh jawab dengan pantas. Melihat minat dan kefahaman saya dalam bidang
ini, beliau terus memotivasikan saya menghafaz dan mengkhatamkan 10 qiraat.
Terus terang saya katakan, sekiranya beliau tidak memberikan sokongan penuh dan
mengikuti perkembangan hafazan saya, kemungkinan saya tak mampu nak lakukan, katanya.
Menurutnya, biarpun bersekolah di SMA
Persekutuan Labu (1999-2001) namun ketika itu tidak secara serius mahu
menghafaz al-Quran tetapi mula menghafal surah-surah pilihan seperti surah
As-Sajdah dan al-Waqiah dengan inisiatif sendiri selain motivasi ustaz dan
ustazah di sekolah.
Dr Fatimah memohon biasiswa JPA ke Mesir untuk
melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran. Pada masa sama beliau turut
mendapat tawaran biasiswa Bank Negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang
ekonomi di United Kingdom., namun ditolak atas dasar lebih meminati bidang
perubatan dan ingin mendalami ilmu lain yang boleh didapati di tanah Arab
seperti bahasa Arab dan al-Quran.
Tidak ada istilah
tidak cukup masa atau sukar malahan sejak mula mendalami al-Quran, saya rasa
lebih cergas dan cerdas. Pembelajaran di universiti dapat diserap dengan lebih
mudah dan saya juga cergas dalam melakukan aktiviti persatuan dan
kemasyarakatan. Antara hobi saya di sana ialah menziarahi adik-adik junior
untuk memberikan tunjuk ajar seberapa banyak yang boleh. Saya juga sering
mengajar mereka al-Quran dan tajwid selain mata pelajaran medikal. Bagi saya
berkongsi ilmu cara terbaik untuk kita menguasai ilmu tersebut. Selain itu saya
juga mengajar tuisyen kepada anak pegawai diplomat di sana, katanya.
Semasa belajar di Mesir, beliau turut merasakan
peningkatan kepada keputusan peperiksaan setelah mula mendalami ilmu al-Quran
secara lebih serius. Mengagumkan, beliau mendapat Jayyid Jiddan pada
tahun-tahun lain dan Jayyid Jiddan secara keseluruhan dalam masa yang sama
beliau menghafaz 30 juzuk al-Quran bermula pada cuti musim panas tahun 2003
sehingga 2006. Beliau turut mempelajari ilmu qiraat yang merupakan cara
pembelajaran Quran berbeza-beza. Alhamdulillah, saya berjaya mengkhatamkan 10
qiraat asshatubiyyah dengan syeikh di Mesir. Mendalami bahasa Arab dan berjaya
menghabiskan pengajian 12 peringkat di institusi bahasa Arab, katanya.
Pernah menjadi Timbalan Presiden Perubatan di
Mesir dan Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Mesir dan sekarang masih
aktif sebagai aktivis Isma di Malaysia serta menjadi AJK Biro Luar Negara.Dr.
Fatimah bersyukur diberi peluang belajar di Mesir.
Saya berasakan saya dapat the best of both worlds. Saya dapat belajar
untuk dunia dan akhirat saya. Di Mesir juga saya belajar rtyi dan nikmat
bersaudara. Sokongan rakan-rakan serumah yang seperti adik beradik sendiri juga
berikan kekuatan untuk saya Berjaya. Kami saling membantu di musim
peperiksaan dan dalam pelajaran al-Quran.
Hidup dengan
rakan-rakan yang sentiasa ingatkan saya dosa dan pahala serta syurga dan
neraka, memberikan ketenangan yang luar biasa.
Sesuatu boleh menjadi ikutan, Dr Fatimah
percaya setiap orang boleh melakukan apa diingini asalkan menanam cita-cita
dari awal dan sentiasa bergantung harap kepada Allah walaupun pada mulanya ia
mungkin kelihatan agak mustahil.
Saya bercita-cita
untuk menjadi pakar jantung terulung di Malaysia, Insyaallah saya akan berusaha
ke arahnya sehingga berjaya. Doa dan tawakal seiring dengan usaha merupakan
tangga kejayaan, katanya.
Sejak kecil pendidikan agama dititikberatkan oleh kedua ibu bapa wanita
cemerlang ini dengan menyusun kelas mengaji untuk memastikan mereka semua lima
beradik khatam al-Quran. Menurutnya, sewaktu di Mesir ibunya akan menghantar
adik-beradik lain ke Mesir di waktu cuti semester untuk pengajian bahasa Arab
dan al-Quran.
Ibu bapa sering jadikan anak-anak kenalan yang
hafiz atau hafizah sebagai role model
dengan memuji mereka dan sering nyatakan hasrat agar salah seorang anaknya
menjadi hafizah, katanya. Ibu kepasa Ezzat Salman, 3 dan Abdulrahman Salman, 2
bulan ini dalam pada itu sempat menasihati ibu bapa dalam membesarkan anak.
Dalam mendidik anak, kesabaran amat penting terutama masa menghadapi karenah
mereka dalam usia yang muda.
Sangat penting menerapkan
konsep akidah dan cinta kepada Allah dan rasul kepada anak-anak. Walaupun ramai
ibu bapa sangat mementingkan pencapaian kognitif seperti tahu membaca, mengira,
menulis dan sebagainya, namun yang lebih penting ialah menanamkan nilai-nilai
murni dan agama dalam diri anak-anak sejak usia muda, katanya.
Wallahu alam.
Sinar Harian
15 Disember 2013
No comments:
Post a Comment