Saturday, December 28, 2013

Ibrah Tasbih nabi Yunus as ( 5 )

Terapi 3T – rumusan ramuan

Inilah rahsia 3T, ramuan 3T yang sangat perlu dimuhasabah, harus koreksi diri. Apakah dalam hidup, dalam hati kita ini ada nilai tauhid, nilai tasbih memuji Allah SWT dan nilai tunduk; mengakui kelemahan, kesilapan pada diri kita sendiri.

Kadang-kadang sebagai seorang ibu, kita terus bersungut tentang sikap anak-anak. Nak buat macam mana lagi, sekolah sekolah agama dah, khatam khatam quran dah tapi perangai menyakitkan hati! Baik ibu-ibu sekalian, sebelum terus menyalahi orang lain, ada baiknya kita tundukkan diri di hadapan Allah mengakui; Wahai Allah sesungguhnya akulah menzalimi diri sendiri. Dulu saat aku mengandungkan anak ini, aku tidak jadikan Kalamullah sebagai bacaan harianku. Orang lain boleh khatam dua tiga kali masa mengandung, tapi aku tergolek-golek ajer melayan hormon, marah-marah hormon, geram-geram hormon! Maka kita dapatlah hasil daripada sikap kita menzalimi diri kita sendiri.

Marilah kita berikan harapan pada diri sendiri untuk kita berikan sedikit ruang masa dalam hidup untuk menilai apakah selama ini yang kita lakukan benar-benar telah kita usahakan. Cuba sekurang-kurangnya kelihatan cubaan itu ketika mana kita berdoa; Wahai Allah, mohon Ya Allah agar amalanku ini Kau angkat dan Kau terima sepertimana amalan orang-orang yang soleh Ya Allah. Kalau amalan ini tidak baik, tidak suci, tidak ikhlas, mohon disucikan Wahai Allah.

Sekurang-kurangnya daripada munajaat kita itu benar-benar kelihatan yang kita sangat ingin mentauhidkan Allah, mengikhlaskan amal kita kepada Allah SWT. Dan kita nilai tasbih, sejauh mana dalam hidup ini kita memegang bahawa yang benar-benar layak menerima puji-pujian hanyalah Allah. Kadang-kadang bila orang bersalin diziarahi akan kedengaran kata-kata apabila ditengok anak kecil yang comel, merah-merah pipinya. Apa yang dikata? Comelnya baby ini, yalah mak ayahnya lawa! Tengok, disangkutkan pada mak ayah! Dia tak tahu, melambak-lambak mak ayah lawa, anak tak lawa atau mak ayah tak lawa, anaknya comel!

Tapi jika dah ajar, dipegang dalam diri, tasbih. Segala puji-puji hanya untuk Allah. Tengok comel, subhanallah. Tengok orang bijak, subhanallah. Inilah ramuan yang sangat penting.

Dan ketiga itu tentang tundukkan diri dengan mengakui kesalahan diri. Sesungguhnya ada satu sikap ego dalam diri kita ini. Kita payah nak terima kebenaran, sebab kita payah nak akui kesilapan kita. Sebenarnya jika kita berdepan dengan maduun (orang yang tidak boleh mengakui kesilapan diri ) memang agak payah. Kalau seorang suami tegur isteri tapi isteri berkata; bukan salah saya, bukan salah awakkah itu? Ini payah untuk cari solusi pada permasalahan yang dihadapi.

Maka beri masa dalam hidup kita untuk melihat tauhid, tasbih dan tunduk kepada Allah. Lazimkan untuk mengulang dan terus mengulang di lidah dan di hati. Laa ilaaha illaa anta subhanaka inni kuntu minazh-zhaalimiin. Dalam apa jua keadaan, Ya Allah akulah yang terlebih dahulu menzalimi diriku sendiri. Ulanglah lafaz-lafaz ini, ulanglah pengakuan ini di hadapan Allah setiap kali kita solat di waktu pagi dan malam dengan perasaan penuh tadharub, tunduk kepada Allah SWT.

Barangkali inilah jalan keluar kepada semua masalah yang kita hadapi kerana Allah berkuasa saja tanpa apa-apa sebab musabab Allah boleh menyelesaikan apa jua masalah, apa jua urusan kita. Tetapi apa yang lebih penting yang Allah ingin melihat bila Allah menguji seorang hamba, pada hamba tersebut  mendapat kemuliaan, sebagai kafarah dosa-dosanya, diangkat darjat dan sebagainya. Tapi jika tiada nilai tauhid, bagaimana Allah SWT nak angkat kedudukan kita.

Mari kita mencari kemuliaan dengan mengaku salah di hadapan Allah SWT, mengaku berdosa di hadapan Allah. Kita lihat bagaimana penjenayah dengan Polis. Bila mana nak serah diri, kena campak senjata. Bila serah diri, salah kalau Polis pergi tembak. Maksudnya bila seseorang telah menyerah diri, dia akan mendapat layanan yang lebih istimewa. Begitulah bila kita menyerah diri di hadapan Allah, mengakui kesilapan di hadapan Allah.

Mudah-mudahan kita mendapat kemuliaan daripada Allah SWT, kerana ada empat perkara sahaja yang menjadikan hidup kita hina :

a) Kalau kita menyerahkan hidup kepada syaitan pada keseluruhan masa atau pada beberapa masa.
b) Mengikuti hawa nafsu.
c) Tidak lagi berbuat ehsan / berbuat baik kepada Allah atau manusia
d) Kehilangan kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah SWT.

Wallahu alam.

Nur Hafizah Musa
UTM

No comments:

Post a Comment