Wednesday, December 4, 2013

Perut

Wajib berusaha mencari yang halal. Peliharalah daripada memakan yang haram dan subahat. Menuntut yang halal itu suatu kefardhuan ke atas setiap orang muslim. Menurut Imam al-Ghazali; Yang halal itu banyak. Tidak wajib bagimu menyakini sesuatu itu halal pada batinnya, tetapi wajib bagimu memeliharakan daripada apa yang engkau mengetahuinya haram atau yang engkau menyangkanya haram yang terhasil daripada tanda yang nyata berserta dengan harta itu.

Harta yang diyakini haram ialah seperti daging babi, anjing, sekalian binatang haram dan bangkai, harta yang didapati daripada mencuri dan merampas dan sebagainya, harta riba, arak dan harganya dan sebagainya.

Harta yang disyaki haram pula ialah seperti harta raja yang zalim, yang tiada adil yang kebiasaan hartanya itu diperolehi daripada mencukai orang Islam atau kebiasaan hartanya diperolehi daripada menzalimi orang atau menzalimi rakyat. Berlainan pula jika hartanya itu diperolehi daripada usaha yang halal seperti berniaga dengan syaratnya atau daripada berbendang dan sebagainya maka ia halal.

Manakala harta yang subahat, ia disyaki sama ada halal atau haram. Tiada yakin halal dan tiada yakin haramnya. Sabda nabi saw; Yang halal itu nyata dan yang haram itu nyata. Manakala antara kedua-suanya ada beberapa subahat yang tiada diketahui oleh kebanyakkan manusia. Sesiapa yang memelihara daripada yang subahat maka sesungguhnya ia terlepas daripada terjatuh kepada yang haram bagi agamanya dan dirinya. Dan sesiapa yang terjatuh ke dalam subahat itu, nescaya ia terjatuh di dalam haram, seperti orang yang mengembala binatang di sekitar hutan yang ditegah oleh pemerintah maka ia hampir terjatuh kepadanya. Iaitu jika tiada bersungguh-sungguh memelihara binatangnya itu, nescaya binatangnya memakan rumput yang di dalam hutan yang ditegah oleh pemerintah dan dengan itu menjadi sebab kepada binasanya.

Wallahu alam.

Hidayah Salikin
Syeikh Abdul Samad al-Palimbani, 2009

No comments:

Post a Comment