Tuesday, November 3, 2015

Aku mahu kau lukis mawar


Jika kau melukis mawar
aku mahu melingfkarnya di dinding perseteruan
semoga segala percakaran di meja sidang
mengerling damai yang tersisih
begitu lama

Jika kau melukis mawar
biarlah lembut kelopaknya
membenah luka di wajahku
kerana aku tidak bisa ketawa lagi
tawa hanya milik anak-anak
yang tidak pernah kenal dosa dunia
wajahku yang dulu pun tidak kukenal
sepertinya sudah tersepuh
dengan sisa cinta yang kumal

Jika kau melukis mawar
yang kembang menadah angina benua
bawalah harumnya
menebar ke serata buana
biar tercium wanginya malam perkasihan
dengan kelopaknya berbutir embun
biarlah terbasuh rusuh wajah dunia
dengan nyaman dinginnya
biarlah teresap ke hati
hati yang terbilas embun
menjadi sejuk dan pemaaf

Aku mahu kau lukis mawar
yang membisik cinta di kisuran angin
menyingkir kel;adak dendam
dari hati kelam
hanya hati yang jernih
bisa menyalakan kasih insani

Rositah Ibrahim
Puncak Alam Selangor
Mingguan Malaysia
1Nov 2015

No comments:

Post a Comment