Tuesday, September 23, 2014

Ringkasan Eksekutif Laporan Tahunan PPPM 2013 (4)

Pengajaran untuk penambahbaikan diperoleh pada tahun 2013

Kejayaan yang diraih serta cabaran yang ditempuh pada tahun 2013 telah mencetuskan pemikiran baharu untuk dimanfaatkan oleh Kementerian. Pengalaman yang diperoleh oleh Kementerian pada tahun 2013 menguatkan lagi iltizam untuk menambah baik pelaksanaan, khususnya:

1. Wujud sekolah cemerlang dan amalan terbaik di Malaysia
Sekolah berprestasi tinggi sudah terdapat di Malaysia (yang setara dengan sistem pendidikan terbaik dunia), seperti yang ditunjukkan daripada penilaian PISA 2012. Selain itu, banyak pengalaman daripada sekolah biasa dan sekolahj Amanah yang berhasil menggarap pelibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta sehingga menyumbang kepada kejayaan para muridnya yang boleh dijadikan iktibar bersama-sama semua pihak. Kini, Kementerian perlu mengemblengkan sumber untuk mengenal pasti dan menyebarluaskan amalan terbaik yang diterapkan oleh sekolah cemerlang ini agar dapat dimanfaatkan oleh sekolah lain di Malaysia.

2. Fokus kepada keberhasilan murid
Kementerian mengakui keberkesanan transformasi pendidikan berlaku apabila keberhasilan murid dan penerapan amalan terbaik di sekolah berjaya memperlihatkan peningkatan yang signifikan. Bagi memastikan peningkatan ini berhasil di semua bilik darjah di seluruh negara, Kementerian akan terus memantapkan usaha dengan memberikan fokus kepada inisiatif yang mampu memberikan impak secara langsung terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran, dan keberhasilan murid melalui inisiatif LINUS, KBAT dan ProELT.

3. Penyelarasan yang kemas serta perancangan yang terperinci perlu bagi mengatasi cabaran pelaksanaan.
Sistem pendidikan Malaysia yang kompleks dan rencam, mencakupi lebih 10 000 buah sekolah dan 420 000 orang guru serta skop pentadbiran Kementerian yang begitu luas memerlukan kerjasama yang kemas dan licin antara JPN, PPD dan sekolah.

4. Komunikasi serta pelibatan yang berterusan antara semua pihak berkepentingan adalah amat penting
Kementerian  mengiktiraf bahawa usaha yang signifikan perlu dilaksanakan bagi memastikan semua pihak berkepentingan, iaitu guru, pemimpin sekolah, ibu bapa dan komuniti, perlu terlibat secara lebih aktif untuk menjayakan inisiatif PPPM. Kementerian juga akan terus meraih lebih banyak pelibatan ibu bapa melalui usaha penyebarluaskan Sarana Ibu bapa agar ibu bapa berupaya menyumbang kepada pembelajaran anak-anak mereka.

Wallahu a’lam.

Laporan Tahunan PPPM 2013
KPM, ms 12

No comments:

Post a Comment