Saturday, September 13, 2014

Isu Ketua Jabatan dalam Tatatertib 2

a) Ketua Jabatan tidak menunjukkan komitmen
Terdapat Ketua Jabatan yang melaporkan pelanggaran tatatertib pegawai bawahan tetapi enggan mengemukakan ulasan, syor dan perakuan. Salah satu perkara penting yang diambil kira oleh mana-mana Lembaga Tatatertib yang akan bersidang adalah ulasan oleh Ketua Jabatan kerana ulasan berkenaan akan bertindak sebagai check and balance kepada representasi yang akan dikemukakan oleh pegawai yang sedang diambil tindakan tatatertib.

b) Ketua Jabatan mempunyai konflik terhadap pegawai yang dilaporkan
Kadang-kala terdapat Ketua Jabatan yang mempunyai konflik peribadi dengan pegawai yang melakukan pelanggaran tatatertib yang dilaporkan. Di dalam kes ini, adalah penting bagi Ketua Jabatan memastikan konflik berkenaan tidak menganggu kebolehannya untuk membuat keputusan secara objektif malah perlu kelihatan objektif di dalam membuat laporan berkenaan. Sekiranya perlu, Ketua Jabatan boleh mendapatkan bantuan daripada pegawai atasannya bagi membuat laporan di atas alasan ingin memastikan prinsip keadilan di dalam kes tatatertib dipatuhi.

c) Kurang pendedahan kepada prosedur tatatertib dan peraturan
Terdapat Ketua Jabatan yang menyerahkan tanggungjawab pelaporan pelanggaran tatatertib sepenuhnya kepada pegawai bawahan kerana kurang mahir terhadap prosedur dan peraturan tatatertib. Walaupun penyediaan pelaporan tersebut diserahkan kepada pegawai bawahan, Ketua Jabatan masih lagi perlu bertanggungjawab terhadap pelaporan berkenaan. Ketua Jabatan boleh merujuk kepada urusetia Tatatertib di JPN sekiranya kurang jelas mengenai sesuatu prosedur tatatertib.

d) Bimbang tindakan oleh orang bawahan
Kes saman-menyaman yang biasa berlaku pada masa sekarang menyebabkan ada Ketua Jabatan yang teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pegawai bawahan yang melakukan pelanggaran tatatertib. Perlu diingatkan bahawa Ketua Jabatan yang bertindak mengikut peraturan adalah dilindungi daripada sebarang tindakan undang-undang.

e) Keperluan memberi tumpuan kepada aspek-aspek lain di dalam organisasi
Selain daripada tugas harian lain yang perlu dilaksanakan, aspek tatatertib merupakan salah satu perkara penting di dalam pengurusan sumber manusia. Kegagalan Ketua Jabatan melaksanakan urusan tatatertib dengan cekap dan berkesan boleh mengakibatkan moral kakitangan dan perjalanan organisasi yang diterajuinya terjejas.

Wallahu a’lam.

Toolkit Pengetua dan Guru Besar
BPSM, KPM, 2010

No comments:

Post a Comment