Saturday, September 20, 2014

Ringkasan Eksekutif Laporan Tahunan PPPM 2013 ( 3 )


Kejayaan awal diraih pada tahun 2013

Beberapa kejayaan awal telah diraih pada tahun 2013 termasuklah perubahan ketara yang mula menyerlah di bilik darjah. Hal ini bererti bahawa perubahan ketara dan pantas tidak mustahil boleh berlaku.

Kementerian merasa  amat bangga atas segala yang ditunjukkan oleh pihak guru, pemimpin sekolah dan pegawai kementerian di seluruh Malaysia. Mereka telah berkorban masa dan tenaga serta memberikan komitmen untuk menggerakkan inisiatif serta melaksanakan pembaharuan dalam bilik darjah. Sumbangan mereka dan impak awal yang jelas dilihat telah menguatkan iltizam dan keyakinan kementerian bahawa transformasi pendidikan bukanlah sesuatu perkara yang mustahil boleh berlaku. Antara contoh kejayaan awal termasuklah seperti berikut:

1. Program Transformasi Daerah (DTP)
Program Transformasi Daerah  bertujuan melicinkan penambahbaikan sekolah dan merapatkan jurang pencapaian dalam kalangan sekolah dan antara negeri-negeri di Malaysia. Program rintis DTP telah diperkenalkan di Sabah dan Kedah iaitu dua buah negeri dengan tahap pencapaian sekolah yang paling rendah. Pada tahun 2013, program rintis ini memperlihatkan keberhasilan yang signifikan apabila kadar peningkatan keputusan peperiksaan kebangsaan (UPSR,ang tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Malahan pencapaian peperiksaan kebangsaan yang diraih ini adalah yang terbaik bagi kedua-dua negeri tersebut dalam tempoh 10 tahun. Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar di Sabah dan Kedah juga jatuh mendadak, iaitu jauh lebih baik daripada purata bagi seluruh negara. Keberhasilan DTP di Kedah dan di Sabah memberikan keyakinan kepada kementerian untuk memperluaskan program tersebut di semua daerah di seluruh negara pada tahun 2014.

2. Peningkatan Profesiensi Guru Bahasa Inggeris (ProELT)
Golongan ibu bapa serta orang awam amat prihatin terhadap tahap profisiensi bahasa Inggeris dalam kalangan guru. Buat pertama kalinya Kementerian telah menjalankan ujian penguasaan bahasa Inggeris secara besar-besaran melibatkan 61 000 orang guru, guru pelatih dan pensyarah. Keputusan penilaian tersebut membolehkan seramai 14 000 guru dikenalpasti untuk menjalani program peningkatan bahasa. Kelompok pertama yang terdiri daripada 5 000 orang guru telah dilatih di bawah program ProELT. Hasilnya, sejumlah 76% daripada mereka berjaya mempertingkatkan penguasaan bahasa dengan peningkatan sekurang-kurangnya satu aras (band).

3. Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS)
Literasi dan numerasi yang dipupuk dari peringkat sekolah rendah menjadi teras yang kukuh kepada pembelajaran Bahasa Malaysia serta numerasi asas dalam kalangan murid telah meningkat, iaitu daripada 81% dan 90% masing-masing pada tahun 2010, kepada 99% bagi kedua-dua tahap. Pada tahun 2013, ujian saringan mata pelajaran Bahasa Inggeris telah dimulakan bagi murid Tahun 1 dan berjaya memperlihatkan peningkatan daripada 50% murid pada awalnya kepada 63% murid dalam tempoh enam bulan.

4. Inisiatif Enrolmen Prasekolah
Usaha yang digerakkan oleh Kementerian bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak memperoleh pendidikan awal kini berjaya. Kadar enrolmen prasekolah telah meningkat sehingga 81.7% hasil kerjasama antara pihak Kementerian dengan pelbagai agensi kerajaan dan pengusaha prasekolah swasta bagi mempertingkatkan kualiti dan bilangan murid prasekolah serta menyediakan bantuan yuran kepada keluarga berpendapatan rendah.

5. Piagam Pemimpin: Pemilihan kepimpinan sekolah akan dibuat berdasarkan merit.
Kini, kriteria pemilihan untuk kenaikan pangkat sebagai pengetua atau guru besar tidak lagi dibuat berdasarkan tempoh perkhidmatan. Calon pengetua atau guru besar dikehendaki menjalani program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL).
 
6. Kemahiran Berfikir Aras Tinggi
Bagi memantapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi dalam kalangan murid, program i-THINK yang berfokuskan kepada penggunaan peta minda dan bertujuan mempertoingkatkan pembelajaran murid telah dilancarkan di 500 buah sekolah. Sepuluh sekolah juga telah mengorak langkah ke fasa pencalonan bagi Program International Baccalaureate (IB) Middle Years.

7. Transformasi Pendidikan Vokasional
Peratusan murid lepasan PMR yang meneruskan pengajian vokasional kini mencecah 4.6% berbanding dengan 4% pada tahun 2012. Kementerian berjaya menambah bilangan Kolej Vokasional (KV) daripada 15 buah kepada 72 buah pada tahun 2013, lantas membuka peluang bagi lebih ramai murid meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang vokasional. Kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA dan ILKS) melalui tajaan yuran bagi murid yang ingin meneruskan pengajian dalam kursus yang tidak dotawarkan di KV.

Wallahu a’lam.

Laporan Tahunan PPPM 2013
KPM, ms 10 - 11

No comments:

Post a Comment