Tuesday, December 11, 2012

Doa Majlis Kesyukuran


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala pujian bagiMu. Ya Allah, kebaikan itu untuk orang yang bertakwa. Tidak dimusuhi kecuali mereka yang menzalimi. Selawat dan salam untuk semulia-mulia utusan, dan pengakhiran segala Nabi dan seluruh keluarga dan sahabat baginda.

Ya Allah Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami nilai kesyukuran untuk kami sentiasa mensyukuri segala nikmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan nikmat yang Kau berikan kepada kedua-dua ibu bapa kami, sehingga kami dapat melaksanakan amal soleh yang membawa keredaanMu. Jadikan kebaikan yang kami lakukan meresap masuk ke dalam jiwa anak-anak kami. Dan masukkan kami ke dalam rahmatMu sebagai hamba yang soleh.
              
Ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk melaksanakan perintahMu dan berilah kami kemanisan berzikr. Berilah juga kepada kami kekuatan melahirkan kesyukuran dengan kemuliaanMu. Dan jagalah kami dengan jagaan dan perlindunganMu, wahai Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Ya Allah bantulah kami untuk mengerjakan ibadah. Jauhkanlah kami daripada selaput dosa. Dan berilah kami peluang dan ruang untuk mengingatiMu secara berterusan, dengan taufik hidayah yang kami amat-amat harapkan, wahai Tuhan yang memberi petunjuk kepada orang yang sesat.

Ya Allah, sediakan bagi kami sebahagian daripada keluasan rahmatMu. Berilah kami petunjuk dengan ajaran-ajaranMu. Bimbinglah kami menuju keredaanMu yang penuh dengan kecintaanMu.

Ya Allah, tanamkan dalam diri kami kecintaan melakukan kebaikan dan kebencian melakukan perbuatan maksiat dan fasik. Ya Allah jauhkanlah kami daripada kemurkaanMu dan seksaan api neraka dengan pertolonganMu wahai Tuhan yang menolong orang memerlukan pertolongan.
 
Ya Allah, sesungguhnya hambaMu memohon dikurniakan iman yang sempurna, keyakinan yang sebenar-benarnya dan mantap, rezeki yang luas, hati yang khusyuk, lidah yang sentiasa menyebut-yebut namaMu, barang-barang yang halal yang baik, taubat yang bersungguh-sungguh sebelum mati, keampunan dan rahmat sesudah mati, kemaafan ketika dihitungkan amalan, kejayaan dengan mendapat syurga dan keselamatan dari neraka dengan kasihan belasMu ya Allah, Tuhan Yang Maha Mulia lagi Maha Pengampun.

Ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Mendengar segala permintaan dan pengharapan setiap hambaNya. Berkatilah sisa umur kami, jadikan umur yang tersisa ini membawa kemaslahatan bagi kami, bagi orang tua kami bagi keluarga kami dan bagi sekalian umat Islam.
 
Ya Allah ampunilah segala kelalaian kami. Ya Allah, jadikanlah hari ini menjadi hari ampunan bagi segala dosa kami. Hari yang Engkau gantikan segala kegelapan kepada cahaya di hati kami.

Ya Allah, jangan biarkan kesibukan dunia membutakan hati kami. Jangan biarkan hawa nafsu menjerumuskan kami ke lembah kehinaan.

Ya Allah, tetapkanlah bagi kami kesabaran. Jangan biarkan amarah membuat kami terhina dalam kezaliman.

Ya Allah, sediakanlah untuk kami sebahagian dari rahmatMu yang luas. Berikanlah kami petunjuk kepada ajaran-ajaranMu yang terang.

Ya Allah, hiasilah diri kami dengan ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang membawa kepada keluhuran akhlak kami.
 
Ya Allah, jadikan kami orang yang sentiasa bersyukur dan jadikan kami di kalangan orang yang sabar. Jadikan juga apa yang kami lakukan yang pada penilaian kami amat kecil ertinya tetapi besar pada penilaian di mata manusia.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan akhirat dan selamatkan kami daripada azab api neraka. Aameen.

Ust Hj Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

No comments:

Post a Comment

Post a Comment