Thursday, October 20, 2011

Rahsia kecemerlangan : Prof Muhaya

Mengharapkan sepenuhnya pertolongan Allah dalam setiap apa yang dilakukan menjadikan perjalanan kerjaya Prof  Dr Muhaya Mohamad dilihat begitu mudah.

Bergelar satu-satunya Profesor dalam bidang Oftalmologi di Malaysia dan jauh meninggalkan rakan seangkatan lain menyebabkan beliau tidak putus-putus memanjatkan kesyukuran atas anugerah yang Allah berikan kepadanya.

Jauh sekali untuk berbangga malah beliau sering mengingatkan dirinya agar tidak leka dengan nikmat Allah dan berdoa diberikan kekuatan menghadapi cabaran mendatang.

Sejak di universiti lagi, saya pegang kepada prinsip; lakukan apa yang terbaik dan niat kerana Allah. Ketika kuliah saya tumpukan apa yang diajar pensyarah. Kalau ada yang tidak faham, terus tanya pensyarah.

Tidak cukup dengan itu, saya tanya pula pada rakan lain. Kalau ada rakan yang masih tak faham, saya pula yang ajar mereka. Mungkin kerana sikap saya suka tolong orang maka Allah memudahkan jalan untuk saya.

Saya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan perjalanan kerjaya yang selesa, biarpun ada kalanya terpaksa berdepan dengan cabaran yang tidak diduga, saya masih mampu tanganinya dengan baik, katanya.

Kini bertugas sebagai Perunding Pakar Bedah Mata selain menyandang jawatan Ketua Pusat Mata dan Lasik di Pusat Perubatan Prince Court, Profesor Oftalmologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Profesor Ajung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, kecemerlangan akademik dan personalitinya ketika di UKM melayakkan beliau muncul sebagai penerima sulung Anugerah Toh Puan Rahah pada 1982.

Sebaik menamatkan kursus doktor pelatih pada 1986, beliau kemudian ditawarkan menjadi pensyarah pelatih di UKM sebelum memperolehi Fellowship dalam bidang Uveitis dari Hospital Mata Moorfields di United Kingdom (UK) dan doktor falsafah (PhD) dari University of London dalam bidang Ocular Immunology.

Beliau yang diiktiraf pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan  prosedur lasik dengan mesin Vismax Ferntosecond mengakui banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang bergelar pelajar.

Pernah saya disuruh membuka tudung oleh pensyarah ketika menjalani latihan klinikal di Moorfields Eye Hospital kerana penampilan saya dianggap asing dan bimbang boleh menjejaskan reputasi hospital berprestij itu.

Saya langsung tidak marah sebaliknya berterima kasih atas teguran itu. Namun saya katakan  kepadanya yang saya tidak akan berkompromi dalam soal itu kerana saya yakin Allah akan membantu, katanya.

Amat menitikberatkan aspek agama dalam melaksanakan tugas, beliau berkata, ingatan ayah agar menggunakan pendekatan holistik dan menerapkan nilai keislaman dalam rawatan dipegang kemas.

Baginya menjadi doktor  saja tidak cukup keranan tuntutan sebagai seorang muslim juga perlu disatukan bersama demi memenuhi amanah Allah dengan jujur  dan ikhlas.

Apa saja yang saya lakukan saya pohon pertolongan daripada Allah dan nyata banyak kemudahannya. Jika saya perlu melakukan pembedahan saya amalkan solat hajat selain meminta suami mendoakan untuk saya.

Kalau kita yakin denganNya, insya-Allah kerja pembedahan dapat dijalankan dengan baik tanpa sebarang masalah. Kadang-kala saya juga diuji apabila pesakit yang dibantu tidak menunjukkan tanda semboh setelah menjalani rawatan. Saya tanya kepadanya adakah dia ada melakukan apa-apa kesilapan. Jika benar, saya mohon dia istighfar banyak-banyak, katanya.

Kongsi ilmu

Sedar perkongsian ilmu dan kepakaran amat dituntut dalam islam, Prof Dr Muhaya pernah menerbitkan buku bertajuk How to Become A Good and Successful Medical Student yang ditujukan khas kepada penuntut perubatan atau mana-mana pelajar sekolah yang bercita-cita menjadi doktor.

Buku hasil pengalaman sendiri dan pengamatannya terhadap pelajar perubatan itu diharap dapat membantu dan memberi panduan kepada pelajar untuk menjadi doktor terbaik.

Hakikatnya, profesion doktor bukannya tugas mudah apatah lagi bergelar doktor mukmin. Dalam buku itu saya ibaratkan doktor seperti penyiasat persendirian yang perlu mengkaji segala petunjuk menerusi simpton pada pesakit.

Mereka bertanggongjawab mendapatkan diagnosa yang tepat menerusi gabungan pengetahuan asas sains dan petunjuk klinikal bagi merawat pesakit, katanya.

Menjadi doktor muslim pula katanya memerlukan sahsiah dan prinsip terpuji dalam diri selain kebersihan rohani sebelum mampu merawat pesakit.

Persepsi mengaitkan doktor sebagai profesion glamor dan menjanjikan pendapatan lumayan perlu ditepis kerana hakikatnya kesenangan itu tidak akan mampu dimiliki jika tidak disertai dengan ketakwaan kepada Allah.

Pengajian perubatan tidak sama dengan bidang lain. Ini kerana perubatan ialah satu bidang yang setiap baris dibaca dan setiap fakta asas dipelajari akan digunakan dalam peperiksaan serta amalan harian.

Jangan sekali-kali ponteng kuliah kerana hilang satu jam kuliah ia tidak mampu digantikan dengan lima jam belajar sendirian. Jangan tunggu saat akhir atau dekat masa peperiksaan baru nak bertungkus lumus belajar. Itu pendekatan yang tidak betul, katanya.

( BH, Mac 2011 )

No comments:

Post a Comment