Tuesday, October 4, 2011

Abu ad-Darda

Lalai :

Sebelum memeluk Islam, saya adalah seorang peniaga. Apabila memeluk Islam, saya ingin menghimpunkan antara perniagaan dan ibadah. Tetapi apa yang saya inginkan tidak berjalan lancar. Dengan itu saya meninggalkan perniagaan dan menumpukan sepenuhnya kepada ibadah.

Demi Allah yang diri Abu ad-Darda berada di tanganNya, jika saya memiliki sebuah kedai di depan pintu masjid pada hari ini, saya tidak akan menyukainya. Sekalipun dengan itu saya tidak akan ketinggalan menunaikan  sembahyang berjemaah dan pada masa yang sama boleh berjual beli dan mendapat keuntungan 300 dinar.

Saya tidak kata, Allah swt mengharamkan jual beli. Tetapi saya suka sekiranya tergolong di kalangan mereka yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan jual beli untuk mengingati Allah swt.


Ringan di sini.....berat di sana.. :

Rumah kami di sana. Setiap kelengkapan atau kemudahan yang kami perolehi akan segera dihantar ke sana. Kalaulah kami masih mempunyai sesuatu kelengkapan dalam rumah ini nescaya kami telah serahkan kepada kamu.....

Lagi pun dalam perjalanan yang akan kami lalui untuk ke  rumah itu terdapat halangan yang menyusahkan. Membawa bebanan yang ringan lebih baik daripada membawa bebanan yang berat. Kerana itu, kami ingin meringankan bebanan berat kami, mudah-mudahan kami mampu merentasi halangan tersebut.


Ucapan di Damsyiq :

Wahai penduduk Damsyiq, kamu semua adalah saudara seagama, jiran tetangga dan penolong melawan musuh.

Wahai penduduk Damsyiq, apakah yang menghalang kamu daripada mengasihi dan menerima nasihat saya. Padahal saya tidak menuntut apa-apa daripada kamu. Nasihat saya adalah untuk kamu sedangkan nafkah saya bukan kamu yang tanggung.

Kenapa saya lihat para ulama kamu telah meninggal dunia namun orang yang jahil masih tidak belajar?

Saya juga lihat kamu bersungguh-sungguh mengejar perkara yang Allah telah jamin untuk kamu sebaliknya kamu meninggalkan perkara yang diperintahkan kepada kamu?

Kenapa saya lihat kamu mengumpul harta yang kamu tidak makan?

Kamu membina bangunan yang kamu tidak diami?

Kamu berangan-angan perkara yang kamu tidak boleh sampai kepadanya?

Sesungguhnya umat  sebelum kamu telah pun mengumpul harta dan berangan-angan...

Tetapi sekejap sahaja, harta yang mereka kumpulkan itu menjadi hancur dan musnah..

Angan-angan mereka Cuma tipu daya semata-mata.

Dan kediaman mereka menjadi kubur...

Wahai penduduk Damsyiq perhatikan kaum ’Aad, mereka telah memenuhi bumi ini dengan harta dan anak pinak...

Tapi pada hari ini siapakah yang mahu membeli peninggalan ’Aad daripada saya dengan harga dua dirham??...


Ia saudara...  :

Janganlah kamu memaki dan memukulnya. Sebaliknya berilah peringatan dan kesedaran kepadanya. Bersyukurlah kepada Allah yang menyelamatkan kamu daripada terjerumus ke dalam dosa yang telah dilakukan lelaki itu. Dan saya hanya marah kepada perbuatannya. Apabila dia meninggalkan perbuatan itu, dia adalah saudara saya.


Jadilah :

Wahai anakku! Ingatlah Allah sewaktu senang, nescaya Dia akan mengingati kamu sewaktu susah.

Wahai anakku! Jadilah seorang yang berilmu atau seorang yang belajar ataupun seorang yang mendengar ilmu. Jangan kamu menjadi orang yang keempat ( jahil ) kerana kamu akan binasa.

Wahai anakku! Jadikanlah masjid sebagai rumahmu. Sesungguhnya saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda : Masjid-masjid itu adalah rumah setiap orang yang bertakwa.
Allah swt pula telah memberi jaminan kelapangan, kerahmatan dan dapat melintasi titian sirat menuju kerdehaanNya kepada sesiapa yang menjadikan masjid sebagai rumah mereka.


Biara lelaki :

Wahai anakku! Biara seorang lelaki Islam adalah rumahnya. Di sana beliau menahan diri dan pandangannya. Awasilah diri kamu daripada duduk melepak di pasar kerana ia melalaikan dan sia-sia.


Kebaikan untuk anak perempuannya :

Apakah yang kamu jangka akan terjadi kepada ad-Darda...apabila di hadapannya ada hamba yang memberi khidmat dan apabila dia melihat dirinya berada di istana yang kilauannya menyilaukan pandangan?

Apakah yang bakal berlaku kepada pegangan agamanya pada hari itu?.


Musafir :

Hendaklah seseorang mengambil keperluannya di dunia seperti bekalan seorang penunggang ( yang bermusafir )


Kisah-kisah Abu ad-Darda :

Nazak :

Apabila ditimpa sakit dan nazak, para sahabatnya datang menziarahi. Mereka bertanya : Apakah yang kamu ingin adu?

Abu ad-Darda’ menjawab : Dosa-dosaku.

Mereka bertanya lagi : Apakah yang kamu idamkan?

Keampunan Tuhanku, balas beliau.

Kemudian Abu ad-Darda berkata kepada mereka yang ada di sekelilingnya : Talqinkan kepadaku, ( Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu adalah pesuruh Allah ).


Mimpikan Abu ad-Darda :

Setelah Abu ad-Darda kembali ke pangku Ilahi, ’Auf bin Malik al-Asyja’ie bermimpi melihat sebidang padang rumput yang luas menghijau lagi redup. Di sana terdapat sebuah kubah besar yang diperbuat daripada kulit. Di sekeliling kubah itu pula terdapat kumpulan  kambing dan biri-biri yang berbaring istirehat. Tidak pernah dilihat kambing sebanyak itu sebelumnya.

Beliau bertanya : Milik siapakah ini?

Dikatakan kepadanya : Milik Abdul Rahman bin Auf.

Tiba-tiba Abdul Rahman menjenguk dari atas kubah itu. Abdul Rahman memandang dan berkata kepada Auf :

Wahai Ibnu Malik, ini adalah ganjaran yang diberikan oleh Allah swt kerana pahala al-Quran. Jika kamu menjenguk dari tempat tinggi ke arah jalan ini, kamu akan lihat apa yang tidak pernah dilihat oleh matamu. Kamu akan dengar perkara yang tidak pernah didengar oleh telinga kamu, dan kamu akan dapati apa yang tidak pernah terlintas di hati kamu.

Tanya Auf : untuk siapakah semua itu, wahai Abu Muhammad?

Jawab Abdul Rahman bin Auf : Allah swt menyediakannya untuk Abu ad-Darda kerana beliau menolak dunia dengan kedua telapak tangan dan dadanya.

No comments:

Post a Comment