Saturday, October 8, 2011

Amir bin Shurahabil

Ingatan :

Saya tidak pernah menulis walaupun setitik dakwat. Setiap kali seseorang membacakan sebuah hadis, saya pasti akan menghafalnya. Jika saya mendengar seseorang berkata sesuatu yang menarik, saya tidak perlu meminta dia mengulanginya.

Berfaedah :

Jika seseorang berjalan dari hujung Syam hingga ke hujung Yaman untuk menghafal satu perkataan yang boleh memberi manfaat untuk hari mukanya, bagi saya perjalanannya itu tidak sia-sia.

Syair :

Ilmu yang paling sedikit saya pelajari ialah syair. Walau bagaimanapun jika mahu saya boleh bacakan syair-syair itu untuk kamu selama sebulan tanpa mengulanginya.

Tidak melihatmu :

Apabila Abdul Malik membacakan surat daripada Maharaja Rom yang berbunyi : Saya kagum dengan orang Arab, bagaimana mereka boleh melantik seorang raja yang lain daripada pemuda ini.....

Al-Sha’bi membalasnya : Dia berkata demikian kerana dia tidak pernah melihat khalifah. Jika dia melihat khalifah....sudah tentu dia tidak akan berkata begitu.....

Faqih dan Alim :

Apabila orang berkata kepadanya : Jawablah soalan saya wahai orang faqih dan alim. Beliau lantas membalas : Alangkah baik jika engkau tidak kaitkan saya dengan apa yang tidak ada pada saya. Orang faqih ialah orang yang warak terhadap apa yang diharamkan oleh Allah dan orang alim ialah orang yang takutkan Allah. Sesungguhnya saya tidak layak dengan gelaran itu.

Pendapat Umar dan Ali :

Suatu ketika beliau ditanya tentang suatu masalah lalu beliau menjawab : Dalam masalah ini Umar bin al-Khattab berpandangan........Ali bin Abu Talib berpandangan......

Beliau terus ditanya : Jadi apakah pula pandangan tuan, wahai Abu Amru. Sambil tersenyum beliau menjawab : Adakah engkau perlu pandangan saya setelah engkau dengar pandangan Umar dan Ali.


Tiada kena mengena :

Demi Allah, saya tidak berhasrat sama sekali untuk bermusuh dengan Uthman bin Affan ra atau dengan Ali bin Abu Talib ra di hari akhirat kelak.

Bila dicerca :

Jika tuduhan itu benar, moga-moga Allah ampunkan saya. Jika tuduhan itu dusta, moga-moga Allah ampunkan engkau.

Belajar dari sesiapapun:

Ada seorang Arab Badwi sering mengunjungi majlis ilmunya tetapi dia lebih suka mendiamkan diri. Bila ditanya oleh al-Sha’bi, beliau menyatakan :

Jika saya diam, lebih selamat dan jika saya mendengar, lebih banyak ilmu yang saya dapat. Apa yang diterima oleh seseorang melalui telinganya akan menguntungkannya. Apa yang dikeluarkan oleh seseorang melalui lidahnya akan menguntungkan orang lain.

Selepas mendengar kata-kata badwi tersebut, al-Sha’bi sering menyebut-nyebutnya sepanjang hayatnya.

Demi kebenaran :

Wahai gabenor, jika engkau memenjara mereka tanpa sebab yang sah, kebenaran akan membebaskan mereka. Jika engkau memenjara mereka dengan sebab yang sah, keampunan akan melapangkan mereka.

Tidak hadir :

Suatu hari beliau ditanya : Siapakah nama isteri Iblis...Beliau menjawab : Maaf kerana saya tidak pernah pergi ke majlis perkahwinannya.

Sifat Mulia :

Saya tidak pernah mencari sesuatu yang sentiasa mendapat perhatian manusia. Saya tidak pernah memukul hamba saya. Apabila seorang saudara saya meninggal dunia dan dia berhutang, saya yang akan melunaskannya.

No comments:

Post a Comment