Monday, February 4, 2013

Mufti kelima Kelantan


Dato’ Hj Che Idris b Hj Che Hassan.

Mufti kerajaan Kelantan pertama yang bergelar Dato’. Ayahanda kepada Sheikh Abdul Rahim Idris Al-Kelantani. Lahir di bandar Kota Bharu. Dalam tahun 1300H / 1882M. Belajar membaca Al-Quran dengan Hj Wan Mahmud Bomoh (kemudian menjadi mertuanya). Pada tahun 1312 H / 1894 M belayar ke Mekah dan menuntut di Masjidil Haram dan berguru dengan Sheikh Wan Ahmah Al-Fathoni, Pak Cik Musa, Tok Kenali dan ramai lagi.

Beliau merupakan seorang pelajar yang cerdas kerana sikit belajar banyak boleh. Pulang ke negeri Kelantan lapan tahun kemudian lalu diberi penghormatan mengajar di Masjid Besar Kota Bharu ( di samping di suraunya sendiri di Kampong Lorong Che Su, Kota Bharu). Murid-muridnya : Hj Abdul  Manan Sabak (berasal dari Sumatera), Hj Muhammad Nur Kedai Mulong, Hj Muhammad Saad (Penggawa Telung), Hj. Wan Mamat Pasir Pekan, Hj. Che Yaakub (Imam Mukim Baka), Lebai Ismail Kampung Paloh / Tendong dan Hj Abdullah Kampong Bunut Sarang Burung.

Pada awal 1920 beliau dilantik menjadi anggota Majlis Agama Islam Kelantan merangkap Setiausaha Majlis Ulama’ (kini Jemaah Ulama’ Majlis). Mulai 5 Mac 1921 beliau diangkat ke jawatan Mufti secara automatik menjadi yang Dipertua Majlis Ulama’ (kini dikenali Pengurus Jemaah Ulama’). Pada 23 Julai 1921 beliau digelarkan Dato’ Mufti setelah pada 21 Julai 1925 dikurniakan Darjat Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Kelantan.

Dato’ Hj Che Idris merupakan seorang anak yang menghormati ibu. Beliau telah mengambil cuti selama 45 hari (31 Ogos 1924 hingga 14 Oktober 1924) apabila ibunya, Hjh Che Som bt Che Idris Besut meninggal dunia.

Hj Idris sendiri terkenal peramah dan baik hati dan tidak payah berkira ini kembali ke rahmatullah pada jam 3.00 ptg Rabu 20 Jamadil Akhir 1346 bersamaan 14 Disember 1927 ketika berusia 46 tahun (hijrah) sesudah demam enam hari (sejak malam jumaat 8/9 Disember 1927). Jenazahnya dikebumikan pada hari Khamis di Kubor Banggol, Kota Bharu. Isterinya, Hjh Wan Kalsom bt Hj. Wan Mahmud yang berusia lanjut meninggal pada malam Sabtu 20 Rejab 1394, 9 Ogos 1974 iaitu berselang 48 tahun 1 bulan (hitungan hijriah).

Anak-anaknya ialah Che Bedah, Che Abdullah (mati kecil), Che Abdul Rahman atau Che Ngah, Che Abdul Rahim (Sheikh Abdul Rahim Mekah), Che Zainab, Che Sofiah dan Hj Abdul Hamid.

Pemangku Mufti Hj Wan Hassan :

Selepas kematian Hj Idris jawatan Mufti dipangku oleh Wan Hassan dan Hj. Wan Ahmad, iaitu Qadhi Besar Pertama di negeri Kelantan. Hj. Wan lahir di Batu Karang / Tualang Sakah, Kampar Perak. Tarikh kelahirannnya tidak diperolehi. Semasa kecil mengaji dengan ayahandanya sendiri, iaitu Hj Wan Muhammad b Wan Hussin. Kemudian berguru dengan Tuan Hussin Kedah. Selepas itu beliau berpindah ke Terengganu dan berguru dengan Hj Mat Syafie Losong dan Hj Hassan b Hj Daud Besut. Selanjutnya datang ke Kelantan, menggurui Hj Umar Sungai Keladi, Tok Kenali dan lain-lain. Akhir sekali pergi ke Mekah dan kembali menetap di Kelantan.

Jawatan awalnya ialah sebagai kerani Mahkamah Ulang bicara (mulai 9 April 1907) dengan diberi gaji RM12 sebulan. Pada 2 Mac 1912 beliau dilantik menjadi Penolong Hakim Mahkamah Syariah. Mulai 20 April 1920 beliau dinaikkan pangkat menjadi Qadhi Besar serta telah diamanahkan memangku jawatan Mufti Kerajaan selama dua bulan, bermula 4 Januari 1928, selepas bersara beliau berkhidmat sebagai guru agama di penjara lama (kini Pejabat Rancangan Kawalan Penyakit Bawaan Biktu, Kota Bharu).

Hj Wan Hassan merupakan tokoh yang gemar berdamping dengan tukang-tukang lagu. Beliau meninggal dunia pada pukul 3.45 pagi Selasa 15 Mac 1965 dan dikebumikan berhampiran dengan pusara Tok Kenali (gurunya) di Kubang Kerian, Kota Bharu.

Wallaahu a’lam.

Buletin Mufti Jabatan Mufti Negeri Kelantan
Bil. 2/2012

No comments:

Post a Comment