Tuesday, February 19, 2013

Adab merawat, melawat dan pengurusan pesakit nazak ( 6 )


Amalan sunnah ketika menziarahi orang nazak

Sebelum ini telah dinyatakan beberapa adab ketika menziarahi orang sakit. Di bawah ini dinyatakan pula beberapa perkara yang berkaitan dengan menziarahi orang yang sedang nazak:

1. Mentalkinkan orang yang sedang nazak.
Dituntut untuk talkinkan orang yang sedang nazak dengan kalimah tauhid Lailahaillallah ke telinganya. Ini berdasarkan hadith nabi saw : Talkinkanlah orang-orang yang hampir mati dari kalangan kamu dengan Lailahaillallah.

Muaz bin Jabal meriwayatkan, sabda nabi saw : Sesiapa yag akhir kalamnya dengan Lailahaillallah, wajib untuknya syurga.

Maka sesiapa yang menziarahi orang yang sedang nazak hendaklah mengambil berat persoalan ini. Mereka dituntut untuk mengingatkan orang yang dalam nazak mengucapkan kalimah tauhid.

Namun perlu diberi perhatian, jika dia telah mengucapkannya, atau telah diajarkan kepadanya, maka tidak perlu diulangi lagi, kerana perbuatan ini boleh menganggu orang yang sedang nazak.

Al-Imam al-Nawawi berkata : dan para ulama menganggap makruh memperbanyakkan dan berterusan (mengajarkan talkin kepada orang yang sedang nazak), agar ia tidak merasa gelisah ditambah dengan keadaannya yang amat sukar, sehingga timbul perasaan tidak suka di dalam hatinya, yang boleh menyebabkan dia mengucapkan sesuatu yang tidak wajar. Oleh itu para ulama berkata: Jika dia (orang yang sedang nazak) telah menyebut (kalimah tauhid) sekali, tidak perlu mengulanginya lagi, melainkan jika dia bercakap sesuatu yang lain. Maka diulangi talkin kepadanya, untuk menjadikan akhir kalamnya dengan kalimah tauhid).

Al-Imam al-Zahabi di dalam kitabnya Siyar al-A’lam al-Nubala menyebut kisah Abdullah bin al-Mubarak ketika sakitnya. Di mana datang seorang lelaki mengajarkan kalimah tauhid kepada beliau secara berterusan. Lalu Ibn al-Mubarak berkata kepada orang itu:
Kamu bukan melakukan sesuatu yang baik, aku bimbang kamu akan menyakitkan / menyukarkan seorang muslim yang lain selepas daripadaku. Jika kamu talkinkan aku, dan aku telah menyebut lailahaillallah kemudian aku tidak memperkatakan perkara lain selepasnya, maka tinggalkanlah aku, tetapi jika aku berkata sesuatu perkataan (yang lain), maka talkinkan aku semula sehingga kalimah tauhid itu menjadi ungkapan akhir yang aku ucapkan.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian bahawasanya talkin kepada orang yang hampir mati adalah dengan kalimat tauhid  lailahaillallah sahaja tidak perlu mengajarnya dengan Muhammad rasulullah dan tidak perlu juga mengajarkannya dua kalimah syahadah iaitu Asyhadu....hingga akhir kerana yang disuruh oleh Nabi saw di dalam hadith baginda ialah mengajarkan lailahaillallah sahaja, seperti hadith yang telah disebut di atas.

Demikian juga talkin adalah mengajar orang yang sedang nazak untuk mengucapkan kalimah tauhid, bukan sekadar mendengarkan dia dengan kalimah tersebut.

2- Bacaan Yasin kepada orang yang nazak.
Terdapat beberapa hadith dalam persoalan ini, salah satunya: Bacakanlah Yasin ke atas orang yang hampir mati di kalangan kamu.

Para ulama berbeza pendapat tentang hadith yang menyuruh dibacakan surah Yasin kepada orang yang sedang Nazak. Hadith ini telah dilemahkan oleh sebahagian ulama, antara mereka al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Azkar, demikian juga Ibn Hajar di dalam kitabnya al-Talkhis (2/104) dan berkata: Ibn al-Qattan menganggapnya ber‘illah’ dengan ‘al-Idhtirab’, mauquf dan rawinya Abu Uthman dan bapanya adalah majhul. Ibn al-‘Arabiy pula menukilkan daripada al-Daraqutniy, hadith itu adalah hadith yang lemah sanadnya dan majhul matannya, tidak ada satu hadithpun yang sahih dalam bab ini.

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin berkata : Bacaan Yasin kepada orang yang hampir mati adalah sunnah di sisi kebanyakan ulama berdasarkan hadith Nabi saw. (bermaksud): Bacakanlah ke atas orang-orang yang hampir mati dengan surah Yasin.

Akan tetapi hadith ini telah dilemahkan oleh sebahagian ulama. Maka bagi ulama yang mensahihkan hadith ini, jadilah bacaan surah Yasin kepada orang yang hampir mati adalah sunnah dan bagi ulama yang melemahkannya ia bukan merupakan suatu sunnah, Wallahu a’lam.

Dikesempatan lain beliau menyebut: (Hadith) Bacalah Yasin kepada orang yang hampir mati di kalangan kamu): hadith ini adalah hadith lemah, padanya ada kelemahan. Tempat bacaan (surah Yasin) jika sahih hadith tersebut ialah untuk orang yang sedang nazak, dibacakan untuknya surah Yasin. Sebahagian ulama berkata: Padanya (surah Yasin) ada faedah, iaitu memudahkan ruh keluar, kerana di dalam surah Yasin Allah berfirman (maksudnya): “Dikatakan kepadanya, masuklah ke dalam syurga, lalu dia berkata alangkah baik kaum aku mengetahuinya, dengan pengampunan tuhanku kepadaku dan Dia menjadikan aku dari kalangan orang-orang dimuliakan.

Maka surah Yasin dibaca kepada orang yang sakit hampir mati, jika sahih hadith ini.

Adapun baca (surah Yasin) di kuburan maka tidak ada asal baginya.  Bagi al-Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz pula ia berpandangan: Bacaan surah Yasin kepada orang yang sedang nazak disebut di dalam hadith daripada Mu’aqqal bin Yasar, yang Nabi S.A.W. bersabda: Bacalah ke atas orang yang hampir mati dengan surah Yasin. Hadith ini telah disahihkan oleh sekumpulan ulama, kerana mereka menyangka sanadnya bagus, sanadnya dari riwayat Abi Uthman al-Nahdiy daripada Muaqqal bin Yasar. Sedang sebahagian ulama lain melemahkan hadith ini dan mengatakan: periwayat hadith ini sebenarnya bukan Abi Uthman al-Nahdiy , akan tetapi orang lain yang tidak dikenali. Oleh itu hadith ini diketahui (di sisi sebahagian ulama) sebagai hadith lemah, disebabkan tidak diketahui siapakah Abi Uthman, oleh itu tidak digalakkan membaca surah Yasin kepada orang yang hampir mati. Ulama yang menggalakkan menyangka hadith ini sahih, lalu mereka menggalakkannya. Akan tetapi membaca mana-mana ayat al-Quran kepada orang yang sedang sakit adalah satu perkara yang baik, mudah-mudahan Allah memberi kebaikan kepadanya dengan bacaan tersebut. Adapun mengkhususkan surah Yasin, asalnya dibina dari hadith yang lemah, dan tidak ada jalan untuk mengkhususkannya.

Namun terdapat athar dari sahabat Nabi saw yang meminta dibacakan surah Yasin kepadanya ketika hampir mati. Imam Ahmad (4/105/16521) meriwayatkan daripada Sofwan katanya:  Menceritakan kepadaku guru-guruku bahawasanya mereka menziarahi Ghudaif bin al-Haarith al-Thumali (seorang sahabat Nabi S.A.W.) ketika hampir meninggal dunia, dia berkata : “Adakah dari kalangan kamu seseorang untuk membaca surah Yasin? Maka Soleh bin Syuraih al-Sakuni membacanya, ketikamana sampai hingga ayat yang ke 40, beliau meninggal dunia. Dia (Sofwan) berkata: guru-guruku memberitahu : “Jika dibacakan (surah Yasin) di sisi mayat, diringankan (sakaratul maut) ke atasnya. Berkata Sofwan lagi: dan Isa bin al-Mu’tamir membaca surah Yasin kepada Ibn Ma’bad (ketika sakitnya).”

Tentang hadith ini, Al-Hafidz Ibn Hajar di dalam al-Isobah (5/324) berkata: “Isnad hadith ini hasan”. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga memilih pendapat ini, di dalam al-Ikhtiyaraat (hal. 91) beliau berkata : “Adapun membaca (Yasin) selepas kematian adalah bid’ah, berbeza dengan membaca (Yasin) kepada orang yang hampir mati, kerana sesungguhnya ia digalakkan dengan Yasin.”

Oleh kerana itu, sebahagian ulama berpendapat sunat membaca surah Yasin ini kepada orang yang hampir mati kerana ia mengandungi al-Tauhid, al-Mi’aad (janji) dan khabar gembira dengan syurga bagi sesiapa yang mati dalam tauhid. Iaitulah pada ayat (maksudnya): “Dikatakan kepadanya, masuklah kepada syurga, lalu dia berkata: Mudah-mudahan kaumku mengetahui, dengan pengampunan terhadapku oleh tuhanku, dan Dia menjadikan aku di kalangan orang-orang yang dimuliakan”

Maka ruh mendapat khabar gembira dengan ayat ini, dan ia memudahkan keluarnya dari jasad.
Namun perlu diberi perhatian, bagi sesiapa yang hendak membaca surah Yasih kepada orang yang hampir mati, maka hendaklah dia meraikan adab-adab di bawah:

i. Bacaan Yasin itu tidak mengganggu Talkin Syahadah. Kerana mentalkinkan orang yang hampir mati lebih utama dari membaca surah Yasin atau apa-apa surah kepadanya.

ii. Tidak dilakukan berjamaah. Ini kerana bacaan secara berjemaah kebiasaannya akan mengeluarkan suara yang hiruk-pikuk, ditambah dengan sebahagiannya tidak boleh membaca dengan betul. Keadaan ini sudah tentu akan menganggu orang yang sedang berhadapan dengan sakaratul maut. Selain itu hadith daripada Sofwan yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menunjukkan yang membaca surah Yasin kepada Ghudaif bin al-Harith al-Thumaliy adalah seorang sahaja iaitulah Soleh bin Syuraih al-Sakuuni.

iii. Hendaklah dibaca dengan Tartil, dan menjaga hukum hakam tajwid. Ini kerana membaca al-Quran beserta dengan tajwid adalah fardu atau wajib. Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa meraikan hukum-hakam tajwid akan terdedah kepada kesalahan yang akan merosakkan maksud dan isi kandungan al-Quran. Maka bagaimana hendak diharapkan kebaikan dari bacaan yang salah dan tidak beroleh pahala di sisi Allah swt

Wallaahu a’lam.

( mufti.perlis.gov.my )

No comments:

Post a Comment

Post a Comment