Thursday, February 28, 2013

Benar membawa kebaikan


Permata  28 :

Daripada Abdullah bin Mas’ud ra bahawa rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya benar membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa kepada syurga dan sesungguhnya seorang yang sentiasa bersikap benar akan ditulis di sisi Allah sebagai ahli yang benar. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutiara hikmah :

a) Abu Laith al-Samarqandi ra berkata: Nabi saw telah menyimpulkan semua kebaikan dalam enam perkara:

# Berkata benar, meliputi ucapan tauhid, iaitu benar-benar setelah mengucap kalimah syahadah, benar terhadap Allah swt dan juga terhadap manusia.

# Menepati janji baik terhadap Allah atau terhadap sesama manusia iaitu janji taat sampai ke akhir hayat kepada Allah dan baik kepada sesama manusia.

# Menunaikan amanat. Amanat daripada Allah swt berupa kewajipan-kewajipan yang diwajibkan ke atas semua hamba dan amanat daripada sesama manusia, iaitu perkataan atau anak atau harta atau kehormatan.

# Menjaga kemaluan daripada semua yang syubhat dan haram, memeliharanya dan jangan terlihat oleh orang lain. Ini kerana nabi saw telah mengutuk orang yang melihat dan yang dilihat.

# Pejamkan matamu daripada melihat aurat sesama manusia atau kecantikan wanita yang haram dilihatnya, dan jangan tamakkan dunia.

# Jagalah tanganmu daripada segala perbuatan yang haram, baik berupa harta atau lain-lainnya.

b) Kebenaran itu adalah senjata yang paling ampuh, pasti dizahirkan kesudahannya.

Wallaahu a’lam.

Al-Lu’lu’lil Mukminin Jld 1,
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

No comments:

Post a Comment