Thursday, March 17, 2011

Surah At-Tien ( Buah Tien )

Lapan ayat – turun di Mekah

Dengan nama Allah, Pemurah, Penyayang

Keterangannya telah terdahulu di surah Al Fatihah

1. Perhatikanlah Tien dan Zaitun,
2. Dan gunung Sienaa.
3. Dan negeri yang aman ini,
4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia atas sebaik-baik pendirian,
5. Kemudian Kami jatuhkan mereka di lapisan yang serendah-rendahnya,
6. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; maka mereka ini akan
   mendapat ganjaran yang tidak putus.

Keterangan :

Wat-tieni dan waz-zaituni itu ertinya yang asal ialah demi tien dan zaitun, tetapi sekalian sumpah dari pihak Allah di dalam Al-Quran maksudnya ialah menyuruh kita memperhatikan sesuatu yang Ia bersumpah dengannya. Oleh sebab itulah, saya ertikan sumpah itu dengan ’perhatikanlah’.

Tien itu ada mempunyai beberapa erti :
1)      buah atau pohon ara
2)      nama satu gunung di Damsyiq yang juga dinamakan Thursiena
3)      nama satu masjid di Damsyiq
4)      nama masjid nabi Nuh
5)      nama tempat tinggal nabi Nuh

Zaitun juga ada mempunyai beberapa erti :

1)      buah atau pohon zaitun
2)      nama satu gunung di Baitul-Muqaddas
3)      satu daripada nama-nama Baitul-Muqaddas sendiri lantaran di kelilingnya ada banyak pohon zaitun

Thursieniena itu ialah Thursiena iaitu gunung yang bernama Siena.

Maksudnya perhatikanlah Tien, iaitu masjid atau tempat tinggal nabi Nuh supaya kamu teringat tarikh yang menerangkan kejadian-kejadian di antara nabi Nuh dan matnya dan orang-orang yang semasa dengan dia hingga tofan dan sebagainya; dan perhatikan zaitun iaitu tanah Baitul-Muqaddas dan sekelilingnya yang telah berlaku padanya beberapa kejadian besar.

Dan perhatikanlah Thursiena, gunung yang Allah jadikan nabi Musa terima wahyu dan tempat turun agama yang suci, sesudah dunia di waktu itu penuh dengan kemusyrikan dan kekufuran; 

Dan perhatikanlah negeri Makkah yang aman ini yang daripadanya timbul nabi akhir zaman untuk menerangi dan mengubah keadaan alam yang gelap gulita yang amat sangat itu.

Kalau kamu perhatikan sekalian tarikh-tarikh dan kejadian-kejadian yang berhubung dengan tempat-tempat itu, nescaya kamu dapat tahu, bahawa manusia itu asalnya memang satu makhluk yang sebagus-bagus dan sebaik-baiknya tetapi lantaran kejahatannya dan durhakanya kepada Tuhan yang menjadikan dia, maka Allah jadikan dia lebih rendah daripada makhluk-makhluk yang hina, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal baik sebagaimana diperintah oleh Allah dan RasulNya maka mereka ini akan diberi balasan dan ganjaran yang tidak putus-putus di dunia dan di akhirat dan mereka inilah manusia yang fie ahsani taqwiem.

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Kalau kita membaca sesuatu tarikh tentang seorang atau sesuatu kejadia terutama tarikh Nabi-nabi dan umatnya hendaklah kita fikirkan dengan tadabbur supaya dapat kita mengetahui bagaimana usaha pekerjaaan seseorang Nabi, dan bagaimana sabar dan tekunnya dan bagaimana kezaliman kaumnya dan bagaimana pedihnya aniaya yang diterima oleh seseorang Nabi supaya dapat kita memungut nasihat dan ibarat dari kejadian-kejadian itu untuk kita bekerja di jalan Allah pada mengembangkan dan memuliakan agamaNya walaupun dirintangi atau dihalangi oleh apa saja yang menghalang.

Kalau kita sunguh-sungguhkan perhatian dan tadabbur kita sekalian kejadian-kejadian yang telah lalu, nescaya kita dapat tahu bahawa tidak ada jalan dan tidak ada cara bagi menjadi manusia yang diderajat ahsani-taqwiem itu melainkan dengan beriman kepada Allah dan mengerjakan sekalian kebaikan dunia dan akhirat yang diperintahNya, serta menjauhi sekalian larangan-laranganNya.

7. Maka sesudah itu, apakah yang dapat mendustakanmu tentang agama?
8. Bukankah Allah itu seadil-adil hakim?

Keterangan :

Maksudnya bahawa sesudah engkau perhatikan tarikh zaman dahulu itu, terutama perjalanan Nabi-nabi dan umat-umatnya serta musuh-musuhnya tentulah dapat engkau mengetahui bahawa manusia sekaliannya adalah di dalam kecelakaan dan kesesatan kecuali mereka yang beragama dengan sebenarnya.

Maka sesudah itu, dapatkah apa-apa sesuatu atau siapa-siapa mendustakanmu tentang keperluan manusia pada agama?

Bukahkah Allah itu seadil-adil hakim yang tidak menghukum manusia melainkan sesudah memberi tahu dengan terang-terang, dengan memujuk, dengan mengancam, dengan menyuruh perhatikan hal ehwal zaman-zaman purbakala supaya dapat mereka kembali ke jalan Allah serta jadi makhluk yang fie ahsani taqwiem?

Pelajaran yang kita dapat dari ayat ini :

Yang tidak mahu percaya kepada agama itu ialah orang yang tidak mempunyai perhatian tentang kejadian-kejadian yang telah lalu.

Yang tidak percaya kepada agama itu ialah sebodoh-bodoh manusia lantaran tidak akan sempurna sifat kemanusiaannya melainkan dengan agama.

Tidak patut seseorang menghukum seseorang sebelum didahului dengan pemberitahuan lantaran Tuhan yang begitu berkuasa mengerjakan sesuatu semahu-mahuNya masih memberi peringatan bermacam-macam.

( A. Hassan ;  Al-Hidayah, Pustaka Aman Press 1975 )

No comments:

Post a Comment